Friday, September 24, 2010

TEKNIK KLOZ DALAM KARANGAN

Guru-guru yang mengajar kelas terbelakang, tentunya menghadapi kesukaran untuk mengajar karangan kepada pelajar-pelajarnya. Masakan tidak, karangan memerlukan pelajar menjana idea, kemudia menyusun ke dalam satu bentuk yang betul dari struktur tatabahasanya.


Oleh itu, tidak hairanlah jika ada segelintir guru yang mengambil jalan singkat dengan menyuruh pelajar menyalin bulat-bulat karangan daripada sumber tertentu. Hal ini memang memberikan kelebihan kepada guru, antaranya ialah:
a. mudah untuk menanda kerana tidak banyak kesalahan tatabahasa dan ejaan.
b. tidak perlu membetulkan kesalahan struktur ayat.

Namun, bagi pihak pelajar pula, terdapat kelemahannya, iaitu:
a. guru menafikan hak pelajar sebagai seorang pelajar
b. guru menyekat kreativiti pelajar
c. pelajar tidak dapat menilai kelemahannya dalam menulis karangan

Perlu diingat, penulisan itu juga sebahagian daripada pembelajaran sepanjangan masa. Hal ini kerana hampir setiap kali proses menulis itu akan timbul pertanyaan, 'betul ke ni?'. Jadi, apabila salah, maka tugas guru ialah membetulkannya.

Salah satu teknik yang boleh digunakan oleh guru ialah teknik kloz. Teknik ini merupakan hasil gabungan idea pelajar dan guru. Secara tidak langsung, guru telah mengiktiraf idea pelajar dalam proses penulisan.

Berikut merupakan langkah yang boleh diikuti jika guru ingin menggunakan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran.

Langkah 1
- Guru menunjukkan gambar. Misalnya untuk mengajar tajuk 'Kepentingan Hutan Kepada Kehidupan', maka gambar hutan boleh ditunjukkan kepada pelajar.
- Pada masa ini, strategi penyoalan memainkan peranan penting dalam mencungkil pengetahuan sedia ada pelajar.
- Segala idea pelajar boleh dicatat pada papan tulis.

Langkah 2:
- Guru memberitahu tajuk penulisan.
- Guru meminta pelajar mengemukakan sekurang-kurangnya empat isi penting kepentingan hutan kepada kehidupan.
- Setiap isi penting perlulah diikuti dengan isi sokongan atau huraian.
- Jika pelajar terlalu lemah, guru boleh memberi klu sebelum membantu pelajar.

Langkah 3:
- Guru menulis beberapa perkataan sebelum meminta pelajar menyambungkannya dengan isi yang telah dikemukakan.
- Guru boleh membantu pelajar dalam menulis perenggan pendahuluan.

Contoh:

Dewasa ini, terlalu banyak _________________. Walaupun kerajaan telah ____________________, namun tindakan ini sebagai sia-sia belaka. Terdapat pelbagai ____________________.

Antaranya ialah hutan _______________________. Kepanasan yang _____________________ selain pembebasan gas beracun yang lebih dikenali sebagai kluoroflorokarbon (CFC). Semakin banyak ________________, maka semakin ______________________.

Selain itu, hutan juga ______________________. Terdapat pelbagai pokok yang dijadikan ubat-ubatan antaranya ialah ____________________. Pokok-pokok ini juga mempunyai _____________________ memandangkan ada di antaranya yang sukar ditemui ketika ini.

Bukan itu sahaja, hutan juga menjadi salah satu ________________________. Negara kita dikurnai dengan ___________________________ yang cukup menarik. Sebagai contohnya, negara kita mempunyai __________________. Keindahan hutan kita telah berjaya ______________________________.

Di samping itu, hutan juga menjadi __________________. Disebabkan kepentingan inilah kerajaan telah __________________ sebagai kawasan hutan simpan negara, misalnya _________________. Ringkasnya, hutan dapat ___________________.

Natijahnya, hutan ___________________________. Oleh itu, kerajaan perlu __________________________________. Khazanah hutan perlu dijaga kerana __________________________________.


Dengan teknik ini, tentunya pelajar tidak takut untuk berhadapan dengan kesalahan sehingga menyesakkan mata memandang, lebih-lebih lagi jika dia seorang pelajar yang lemah. Saya cukup yakin, jika teknik ini diaplikasikan dengan betul, maka pelajar akan lebih berminat untuk menulis karangan, seterusnya meminati mata pelajaran bahasa Melayu!

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Penyakit yang berdamping pada masyarakat kita pada hari ini berpunca daripada amalan hidup yang tidak sihat.
Tulis sebuah rencana tentang amalan yang hidup yang sihat yang perlu dilakukan oleh masyarakat.

Pendahuluan:
- Tajuk: Amalan Gaya Hidup yang Sihat untuk Semua (ditengah-tengah)
- Nama: Roslan Daud (di bawah tajuk, juga ditengah-tengah)
- Pelbagai penyakit seperti obesiti, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, taun, TiBi, demam denggi dan sebagainya berpunca daripada amalan hidup yang tidak sihat.
- Kesannya, kesihatan individu dan orang sekeliling akan terancam.
- Terdapat pelbagai langkah yang perlu diambil oleh individu untuk memastikan kesihatan mereka berada pada tahap yang baik.

Isi 1:
- Mengamalkan pemakanan seimbang
- Menu berdasarkan piramid makanan - gizi seimbang yang mencukupi untuk keperluan tubuh
- Kurangkan gula, garam dan minyak dalam masakan - elakkan obesiti dan penyakit kronik
- Menu mesti ada buah-buahan, sayur, ikan ataupun ayam

Isi 2:
- Menjaga kebersihan diri dan persekitaran
- Elakkan berkongsi alat peribadi seperi tuala - mengelakkan penyakit kulit seperti panau
- Sentiasa menjaga kebersihan anggota badan
- Membersihkan kawasan persekitaran rumah - ambil masa seminggu sekali - mengelakkan diri daripada demam denggi

Isi 3:
- Bersukan dan beriadah
- Mengeluarkan peluh, menyihatkan badan, badan cerdas, otak cergas
- Mengelakkan diri daripada obesiti
- Perlu bersenam atau beriadah sekurang-kurangnya satu minggu sekali

Isi 4:
- Pemeriksaan kesihatan secara berkala
- Penting terutamanya kepada pesakit kronik - penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi
- Usah malu berjumpa doktor sekiranya sakit
- Mendapatkan nasihat doktor jika terdapat kemusykilan tentang sesuatu perkara

Isi 5:
- Mengelakkan diri daripada merokok dan minum minuman beralkohol
- Rokok mengandungi beribu-ribu bahan kimia yang menjejaskan fungsi anggota dalaman
- Minuman beralkohol mengancam sistem hati, juga mendatangkan rasa khayal
- Boleh mencuba pil 'Nequitin'

Isi 6:
- Rehat yang mencukupi
- Tidur dan rehat pada waktu yang sesuai
- Elakkan daripada berjaga pada waktu malam dan kerja lebih masa sehingga menimbulkan keletihan yang berpanjangan
- Sebaiknya, seorang dewasa memerlukan tidur selama tujuh hingga lapan jam sehari

Penutup:
- Kesihatan perlu dijaga dengan rapi untuk keselesaan hidup
- Menghindarkan diri dengan pelbagai aktiviti tidak sihat seperti merokok
- Mengawal perasaan sehingga boleh menimbulkan stress yang terlampau
- Wang ringgit tidak boleh membeli kesihatan, tetapi kesihatan boleh mendapatkan wang ringgit

Thursday, September 23, 2010

FAKTOR-FAKTOR KEBEJATAN AKHLAK REMAJA

Sering kali kita melihat paparan media massa tentang kebejatan akhlak remaja masa kini.
Analisiskan faktor-faktor yang mendorong kepada permasalahan ini.

Pendahuluan:
- Remaja boleh diibaratkan sebagai batu-batan yang berfungsi mendirikan sebuah bangunan yang agam, manakala bangunan yang terdiri daripada batu-batan itulah negaranya.
- Jika remaja mempunyai keperibadian yang rapuh, maka negaranya juga mudah untuk ditakluk oleh musuh.
- Paparan seperti pembuangan bayi, gengsterisme, vandalisme, lumba haram, ponteng sekolah, memukul guru dan sebagainya boleh dianggap sebagai isu lapuk yang memualkan.
- Walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh setiap pihak, tetapi masalah ini tidak pernah menemukan noktahnya.
- Apakah sebenarnya yang menjebloskan diri remaja ke dalam kancah yang tidak sihat ini?

Isi 1:
- Kelemahan yang wujud dalam diri pelajar sendiri
- Kurang menghayati ajaran agama dan nilai-nilai murni
- Terlalu kagum dengan budaya hendonistik
- Kurang ilmu pengetahuan
- Semangat inkuiri yang membuak-buak

Isi 2:
- Kepincangan dalam institusi kekeluargaan
- Hubungan anggota keluarga yang dingin - tiada tolak ansur dalam keluarga
- Sikap materialistik oleh ibu bapa
- Kurang mencerminkan teladan yang baik kepada anak-anak
- Kurang menerapkan pengajaran agama kepada anak-anak

Isi 3:
- Sikap masyarakat yang kurang prihatin
- Mengambil sikap enau dalam belukar
- Takut dianggap menjaga tepi kain orang
- Kurang menganjurkan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong

Isi 4:
- Kelemahan di sekolah
- Ketidaksesuaian sukatan pelajaran
- Sistem pendidikan yang berorintasikan peperiksaan
- Aktiviti kokurikulum yang tidak berjaya menarik minat pelajar

Isi 5:
- Sikap kurang telus kerajaan menjalankan dasar
- Penguatkuasaan undang-undang yang lemah
- Ketidakberkesanan kempen
- Sikap media massa suka menimbulkan kontroversi
- Pemimpin kurang prihatin

Penutup:
- Semua pihak perlu sedar akan peranan masing-masing
- Jangan suka menunding jari
- Lebih prihatin dengan keadaan sekeliling
- Kata-kata hikmat: Jika ingin melihat bagaimana negara pada masa hadapan, lihatlah remaja pada hari ini.

LANGKAH MENGELAKKAN REMAJA TERLIBAT DENGAN MASALAH SOSIAL

Remaja masa kini terlalu terdedah dengan pelbagai gejala sosial.

Bincangkan langkah-langkah perlu dilakukan oleh remaja untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala ini.



Pendahuluan:

- Paparan di dada akhbar tentang pelbagai gejala sosial yang melibatkan pelajar boleh dianggap terlalu menyesakkan dada sejak sedekad yang lalu.
- Terdapat pelbagai faktor yang mendorong mereka melakukan salah laku seperti ponteng sekolah, gangsterisme, vandalisme, merokok, buli, dan sebagainya.
- Apakah yang boleh dilakukan oleh remaja bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam lembah yang penuh ranjau ini.


Isi 1:

- Mendindingkan diri dengan tembok keimanan yang kukuh.
- Sebagai senjata paling ampuh bagi mengelakkan diri salah memilih jalan.
- Selalu berpegang kepada kalam Allah, 'amal makruf, nahi mungkar'.
- Contohnya, sentiasa mendekatkan diri dengan Pencipta seperi tidak meninggalkan solat.


Isi 2:

- Memilih rakan sebaya daripada golongan yang mempunyai keperibadian yang mulia.
- Kata bijak pandai ada menyebut, jika berkawan dengan orang yang menjual minyak wangi akan terkena wanginya, tetapi jika berkawan dengan orang pembuat besi, maka kita akan terkena asapnya.
- Sentiasa bersikap selektif dan perlu meninjau latar belakang kehidupannya
- Misalnya, bertanyakan kepada rakan-rakan juga orang yang dekat dengan mereka tentang keperibadian orang yang ingin berkawan itu.


Isi 3:

- Memenuhkan telaga hati dan sungai minda dengan ilmu yang bermanfaat
- Menonton rancangan televisyen yang ilmiah, bukan hanya hiburan semata-mata
- Mengelakkan diri daripada menonton rancangan dan filem yang berunsurkan seks dan aksi ganas yang melampau.
- Sebagai contohnya, cerita KL Drift tidak wajar ditonton oleh pelajar kerana bimbang aksi sebegitu akan menjadi ikutan.


Isi 4:

- Mengisi masa senggang dengan aktiviti yang bermanfaat
- Mengelakkan daripada melepak dan terdorong ke dalam kancah moral
- Memerlukan perancangan yang rapi oleh pelajar
- Misalnya, pelajar boleh menyertai aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah


Isi 5:

- Berbincang dengan keluarga secara terbuka jika ada masalah
- Mengelakkan hubungan dingin antara ahli keluarga - berkongsi masalah
- Menghindari diri daripada bertindak luar batas untuk mendapatkan perhatian keluarga, terutamanya ibu bapa
- Pelajar boleh meminta pendapat ahli keluarga dalam menyelesaikan masalah


Penutup:

- Pelajar perlu menjaga keperibadian diri dengan baik
- Elakkan disuntik oleh pengaruh luar yang sukar diubati
- Mendekatkan diri dengan Tuhan dan mengetahui sebab kewujudannya merupakan kunci utama mengelakkan diri daripada terjerumus dengan kebejatan moral
- Kata hikmat: Remaja hari ini merupakan cerminan pada masa hadapan


Perhatian: Soalan ini persis soalan Percubaan Negeri Johor 2009
Skema ini disediakan sendiri oleh pengarang

FAKTOR-FAKTOR PENCEMARAN AIR

Pencemaran air merupakan masalah yang semakin meruncing dewasa ini.
Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang mendorong kepada permasalahan ini?

Pendahuluan:
- Pencemaran air dikatakan berlaku apabila air telah mengandungi benda-benda asing seperti minyak, najis, toksik dan sebagainya sehingga tidak lagi selamat untuk digunakan.
- Apabila pencemaran air berlaku, sudah tentu keadaan ini telah menjejaskan fungsi air sebagai sumber air bersih.
- Laporan Kualiti Alam Sekeliling pada tahun 2007 telah mendapati punca sumber air bersih telah berkurang sebanyak 43 peratus.
- Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada permasalahan ini.

Isi 1
- Aktiviti perindustrian
- Sebab mencapai status negara maju
- Banyak pengusaha kilang tidak bertanggungjawab melepaskan sisa toksik ke dalam sungai
- Kajian menunjukkan tidak kurang dari 1 juta kilogram sisa buangan dimasukkan ke dalam sungai akibat daripada industri getah dan kelapa sawit.

Isi 2
- Kegiatan perikanan dan perdagangan lautan
- Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadi jalan sutera kepada kapal yang berdagang
- Laut itu juga merupakan lubuk emas kepada nelayan
- Kemalangan telah menyebabkan tumpahan minyak, tidak kurang ada kapal yang sengaja membuang minyak ke dalam laut.
- Pada tahun 2009, akibat perlanggaran dua buah kapal telah menyebabkan berlaku tumpahan minyak di Selat Melaka sepanjang 37 kilometer.

Isi 3
- Kegiatan pertanian dan perladangan
- Penggunaan baja kimia di kebun dan pelepasan najis haiwan ke tali air
- Contohnya, Sungai Tiram telah dicemari oleh sisa pertanian dari ladang yang berhampiran.

Isi 4:
- Aktiviti penggondolan hutan dan pembalakan haram
- Balak yang ditebang berhampiran sungai mungkin tumbang ke dalam sungai sehigga menyebabkan air berkeladak
- Balak yang ditebang di lereng bukit menghilangkan fungsi semulajadi penahanan tanih, seterusnya berlaku gelonsoran tanah apabila hujan lebat
- Laporan oleh Ketua Audit Negara pada tahun 2009 menyatakan sungai di Sarawak seperti Sungai Limbang dan Sungai Rejang tercemar teruk akibat pembalakan di pesisir sungai itu.

Penutup:
- Perlu mencari penawar dengan segera
- Semua pihak perlu mengembleng tenaga
- Kerajaan perlu lebih tegas dalam melaksanakan undang-undang dan hukuman kepada pesalah
- Sediakan payung sebelum hujan

Wednesday, September 22, 2010

AYAT DALAM KARANGAN

Dalam membina karangan, pelajar perlu mengetahui sekurang-kurangnya sembilan jenis ayat. Berikut diterangkan jenis ayat tersebut.


Ayat pengenalan

Ayat pengenalan merupakan pembuka kepada karangan. Ayat ini boleh dalam bentuk pendefinisian atau memberi penjelasan kepada sesuatu konsep, boleh juga dalam bentuk pemaparan statistik, data, kajian serta laporan.

Perlu diingat, ayat pengenalan memberikan persepsi awal terhadap keseluruhan karangan. Jika ayat ini dibuat dengan penuh bergaya, maka tentulah pemeriksa akan menelah bahawa karangan itu tentunya baik.

Ayat pengenalan tidak ada penanda wacana yang khusus. Namun, pelajar boleh menggunakan penanda wacana seperti ini:
- Dewasa ini … / Dasawarsa ini …
- Seperti yang telah digembar-gemburkan oleh pihak media …
- Sejak dahulu lagi, kita sering mendengar berita …
- Era pascaperindustrian telah menjerumuskan kita …
- Pada zaman pascamodenisasi yang semakin memuncak ini …
- Hakikat yang selalu kita dengar tetapi jarang kita telan ialah …
- Dada-dada akhbar dan kaca televisyen sering diwarnai dengan …



Ayat arah

Sesuai dengan namanya sebagai ayat arah, ayat ini berfungsi sebagai menetapkan haluan karangan pelajar. Dalam kata lainnya, ayat ini boleh dicipta melalui kehendak soalan yang dipaparkan. Berikut merupakan contoh bagi soalan karangan.

Pencemaran air merupakan salah satu masalah yang kian meruncing. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang mendorong kepada permasalahan ini?

Kehendak soalan ini ialah memerlukan pelajar menghuraikan faktor-faktor yang mendorong kepada masalah pencemaran air. Jadi, ayat arah boleh ditulis sebagai:
- Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah pencemaran air.
- Natijahnya, banyak punca yang menyebabkan masalah pencemaran air semakin berleluasa.
- Jadi, apakah faktor yang mendorong kepada permasalah ini?



Ayat topik

Ayat topik akan menggariskan isi penting bagi sesebuah perenggan. Oleh itu, pelajar diingatkan bahawa menyusun isi yang dikemukakan mengikut susunan keutamaan, iaitu daripada yang paling penting atau efektif kepada yang kurang penting atau lemah.

Ayat topik perlulah segar dengan penggunaan kata-kata yang dapat menarik perhatian pemeriksa dengan isi yang dipaparkan. Oleh itu, elakkan menggunakan perkataan yang berulang-ulang. Ayat topik tidak perlu panjang, cukup untuk pelajar menyebut isi yang akan dihuraikan dalam ayat huraian.

Berikut penanda wacana yang boleh digunakan dalam setiap ayat pertama dalam karangan.
- Antaranya ialah … / Antaranya adalah dengan …
- Cara perdana … / Faktor perdana … / Kesan yang paling mendesak ialah …
- Di samping itu …
- Selain itu … / Selain itu juga
- Tidak kurang juga ...
- Bukan itu sahaja
- Malahan …
- Bahkan …



Ayat huraian

Selain ayat pengenalan, dalam karangan juga perlulah ada ayat huraian. Ayat huraian juga dapat dikatakan sebagai ayat lanjutan kepada isi yang telah diketengahkan. Ayat huraian biasanya menjawab persoalan mengapa dan apa, misalnya apa kesannya?

Perlu diingat bahawa ayat huraian yang baik perlulah padat dengan segala informasi yang berkaitan dengan isi yang digariskan pada setiap ayat. Berikut merupakan contoh penanda wacana yang boleh digunakan dalam membuat ayat huraian.
- Satu hakikat yang payah untuk dikesampingkan ialah …
- Realitinya, kita memang tidak dapat menyangkal …
- Seperti yang kita sedia maklum …
- Bertitik tolak daripada itu …
- Disebabkan kelebihan inilah … / Berpunca daripada kepincangan inilah …
- Hal ini secara tidak langsung …
- Lantaran itu … / Ekoran daripada tindakan itu …
- Keadaan ini tentunya menyumbang kepada …
- Kenyataannya ialah banyak di antara kita yang memandang masalah ini dengan enteng kerana …
- Perkara yang paling ketara ialah … / Fenomena yang begitu menyesakkan dada ialah …
- Walaupun pelbagai langkah telah dilakukan …
- Kendatipun menggunakan cara kekerasan …
- Serupa juga dengan situasi yang tercermin di …
- Sungguhpun tidak banyak yang mengetahuinya …



Ayat contoh

Ayat contoh merupakan pembuktian yang ingin dibuat, selain bertujuan mengukuhkan isi yang telah dinyatakan. Contoh boleh wujud dalam pelbagai bentuk, antaranya ialah contoh berbilang-bilang, contoh tunggal, statistik, kajian, laporan, juga dalam bentuk analogi yang terdiri daripada kias ibarat, simile, perumpamaan dan sebagainya.

Berikut merupakan penanda wacana yang boleh digunakan untuk menulis ayat ini.
- Sebagai contoh …
- Misalnya …
- Bukti yang paling jelas ialah …
- Biar kita ambil contoh yang begitu ketara …
- Contoh yang paling dekat dengan kita ialah …
- Bagi mengukuhkan hal ini, biar kita paparkan …



Ayat penegas

Ayat ini digunakan untuk menegaskan pendirian pelajar terhadap isi yang telah dinyatakan. Ayat penegas hanya mengulang isi yang telah dinyatakan bagi memperlihatkan kekuatan pendirian pelajar terhadap perenggan tersebut. Antara penanda wacana bagi ayat penegas ialah:
- Tegasnya …
- Natijahnya …
- Ringkasnya …
- Jelasnya …
- Sesungguhnya …
- Jadi …



Ayat kesimpulan

Ayat kesimpulan dibuat untuk memperlihatkan pendirian pelajar setelah berhujah dan menghuraikan isi dengan panjang lebar. Kesimpulan yang baik perlulah meliputi kesemua pihak kerana suatu matlamat tidak akan tercapai jika setiap pihak gagal melaksanakan peranan masing-masing. Berikut merupakan antara contoh penanda wacana bagi membuat ayat kesimpulan.
- Intihanya …
- Sebagai kesimpulannya …
- Akhirul kalam …
- Bagi menutup perbicaraan ini …
- Secara rumusannya …



Ayat cadangan
Ayat cadangan dibuat untuk mengemukakan usul atau tindakan yang paling efektif dalam menyelesaikan kepincangan sedia ada. Walaupun begitu, jika soalan sudah meminta pelajar mengemukakan langkah-langkah, maka cadangan yang dikemukakan perlulah mengambil kira pelbagai faktor seperti keberkesanan, kesesuaian, holistik, penglibatan semua pihak dan sebagainya. Berikut diperturunkan beberapa ayat cadangan yang boleh digunakan.
- Oleh hal yang demikian, kita perlulah
- Sewajarnya kerajaan perlu mencari pencerahan dalam usaha …
- Tidak menjadi satu kesalahan dominan jika …
- Sudah tiba masanya ibu bapa bertindak …



Ayat harapan

Ayat harapan digunakan untuk menyampaikan emosi pelajar sebagai penulis dan perenung kepada sesebuah peristiwa dan isu. Sudah tentu sesuatu masalah mahu diselesaikan atau dihapus terus. Oleh itu, harapan itu perlulah menghala ke arah penyelesaian secara berhemah. Pelajar boleh menggunakan penanda wacana seperti di bawah ini untuk membuat ayat harapan.
- Dengan itu, diharapkan …
- Besar harapan generasi mendatang untuk …
- Kecil tapak tangan, lautan mereka hamparkan seandainya generasi kita pada hari ini dapat menyelamatkan ….



Selamat mencuba!

Sunday, September 19, 2010

PERKARA ASAS DALAM KAJIAN NOVEL

1. Biodata penulis
• biodata penulis
• kaitkan pengalaman penulis dengan novelnya

2. Tajuk novel
• jelaskan maksud tajuk novel
• peristiwa yang menggambarkan tajuk novel

3. Sinopsis novel
• sinopsis secara keseluruhan

4. Tema
• huraikan tema novel

5. Persoalan
• huraikan beberapa persoalan dalam novel
• jelaskan satu persoalan beserta contoh peristiwa
- persoalan ketabahan
- persoalan maruah
- persoalan kasih sayang

6. Plot
• huraikan plot novel
• jelaskan kepentingan plot
• huraikan satu plot dengan peristiwa penting
- permulaan
- perkembangan
- konflik / perumitan
- kemuncak
- peleraian

7. Teknik plot
• huraikan 3 teknik plot
- imbas kembali
- imbas muka
- monolog, monolog dalaman
- pemerian
- dialog
- suspens
- kejutan
• berikan sebab mengapa penulis suka menggunakan plot-plot tertentu

8. Watak dan perwatakan
• jelaskan perwatakan watak utama
• jelaskan sebab watak utama diberi perhatian
• huraikan cabaran yang dilalui oleh watak utama
• huraikan kejayaan yang dikecapi oleh watak utama
• jelaskan perwatakan watak sampingan
• watak sampingan yang mempengaruhi kehidupan watak utama
• berikan kepentingan watak sampingan kepada watak utama
• jelaskan satu watak sampingan yang tidak wajar dicontohi
• huraikan cabaran yang dihadapi oleh satu watak sampingan
• huraikan bagaimana watak sampingan membantu watak utama menyelesaikan konflik

9. Latar
• latar masa
- kepentingan latar masa
- jelaskan tiga latar masa dalam novel yang anda kaji
• latar tempat
- kepentingan latar tempat
- jelaskan tiga latar tempat dalam novel yang anda kaji
• latar masyarakat
- kepentingan latar masyarakat
- jelaskan tiga latar masyarakat dalam novel yang anda kaji
- jelaskan tigak kepincangan masyarakat yang disentuh oleh pengarang

10. Gaya bahasa
• jelaskan kepentingan gaya bahasa
• huraikan empat contoh gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang anda kaji

11. Nilai
• terangkan empat nilai yang terdapat dalam novel
• bagaimanakah penulis menerapkan nilai
• huraikan nilai tertentu beserta dengan contoh-contohnya.
- kerajinan
- ketabahan
- tanggungjawab

12. Pengajaran
• jelaskan empat pengajaran yang diperoleh
• bagaimanakah penulis menyampaikan pengajarannnya

13. Lain-lain
• sumbangan penulis kepada pembaca
• kelebihan membaca novel

Perhatian: Tajuk-tajuk ini berdasarkan analisis peperiksaan lepas. Soalan bagi perbandingan, akan dikemukakan dalam post akan datang.

PANDUAN MERUMUS PETIKAN

Merumus petikan memerlukan kecekapan yang tersendiri. Walaupun rumusan merupakan sebahagian daripada kemahiran menulis, tetapi merumus petikan memerlukan kefahaman tersendiri memandangkan soalan ini mengandungi format tersendiri.

Berikut merupakan panduan untuk merumus petikan.

1. Baca petikan sekali imbas untuk mendapatkan gambaran secara kasar.

2. Baca arahan soalan dan gariskan kehendak soalan. Frasa yang ditebalkan dahulu ialah kehendak isi tersurat manakala frasa yang ditebalkan terkemudian ialah kehendak isi tersirat.
Contoh soalan: …kepentingan sektor pelancongan dan langkah-langkah memajukan industri ini.
kepentingan sektor pelancongan – isi tersurat
langkah-langkah memajukan industri ini – isi tersirat

3. Baca petikan dengan perlahan dan kenal pasti kemudian gariskan isi-isi tersurat yang terdapat dalam petikan. Cari isi tersurat sekurang-kurangnya 6 dan biasanya terdapat 8 hingga 10 isi tersurat dalam petikan.

4. Selepas mendapat isi tersurat, pelajar perlu menukar sinonim (perkataan sama erti) bagi perkataan awal pada kehendak isi tersurat. Berikut ialah diperturunkan kehendak soalan yang biasanya dijumpai.
a. faktor – sebab, punca, penyebab
b. langkah – usaha, cara, ikhtiar, inisiatif, tindakan
c. masalah – kekangan, halangan, kesulitan, kerumitan
d. kebaikan – manfaat, kelebihan, faedah, hikmat, kepentingan
e. keburukan – kekurangan, kelemahan, kepincangan
f. kesan – impak, efek, ekoran, padah
g. tanda – ciri, gejala, simptom

5. Pelajar boleh menulis pendahuluan seperti ini:
Petikan membincangkan / memperkatakan / mengetengahkan / membicarakan / membahas … (kehendak isi tersurat).

6. Kemudian, pelajar perlu membuat perenggan kedua yang mengandungi isi tersurat, iaitu kehendak soalan. Pelajar boleh gunakan penanda wacana seperti ini:
a. Antara manfaatnya ialah …
b. Kedua, Ketiga, Keempat, Seterusnya ...
c. Selain itu ..., Di samping itu ...
d. dan, serta, juga

7. Perlu diingat, pelajar perlu membezakan isi, huraian dan contoh semasa mencari isi tersurat. Huraian dan contoh perlu diketepikan dan jangan sesekali memasukkannya ke dalam isi.

8. Sesudah itu, bagi perenggan ketiga, pelajar perlu mengemukakan sekurang-kurangnya dua isi tersirat, iaitu bagi fasa kedua dalam kehendak soalan (selepas perkataan dan). Tidak ada kunci lain bagi menjawab bahagian ini selain membanyakkan membaca.

9. Bahagian kesimpulan boleh ditulis seperti ini:
a. Kesimpulannya ……….. supaya ……………..
b. Konklusiknya ……….. agar …………..

10. Sila semak ejaan dan tatabahasa. Pastikan tiada kesalahan bagi kedua-duanya kerana markah akan dipotong jika terdapat kesalahan ejaan dan tatabahasa.

11. Kirakan bilangan patah perkataan dan tulis di sebelah kanan pada akhir rumusan.

PENDIDIKAN ALAM SEKITAR

Pendidikan alam sekitar amat bermanfaat memandangkan langkah ini merupakan penggerak kepada pelestarian alam sekitar dan mengelakkan masalah pencemaran alam sekitar.
Pada pendapat anda, bagaimanakah pendidikan alam sekitar ini dapat diterapkan di sekolah?

Pendahuluan:
- Definisi pendidikan alam sekitar
- Sebab pendidikan alam sekitar diperkenalkan
- Kepentingan pendidikan alam sekitar

Isi 1 : Kempen Sayangi Alam Sekitar
- menghidupkan peranan Kelab Alam Sekitar
- mengadakan pertandingan

Isi 2 : Mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar sebagai subjek elektif
- mengekalkan pendidikan alam sekitar dalam subjek sedia ada
- sebagai persediaan kepada menangani masalah pencemaran alam sekitar

Isi 3 : Gotong-royong
- membersihkan kawasan sekolah
- menanam pokok-pokok

Isi 4 : Mengenakan peraturan baru kepada penggunaan air dan elektrik
- mengawal penggunaan air dan elektrik
- menutup lampu selepas jam8.30
- tanggungjawab pengawas dan ketua kelas

Isi 5 : Program kitar semula di sekolah
- memperluas konsep kitar semula
- melabelkan tong kitar semula dengan perkataan

Isi 6 : mendapatkan bantuan idola dan artis
- menyanyikan lagu tema kempen alam sekitar
- melantik sebagai jurucakap kempen

Kesimpulan
- perlu juga bermula sejak di rumah
- peranan ibu bapa, guru dan kerajaan
- alam hanya pinjaman daripada generasi akan datang, perlu dipelihara