Monday, October 25, 2010

KESALAHAN HUKUM ANEKSI PERSONA

Hukum Aneksi Persona? Mungkin itulah yang akan kita ungkapkan apabila membaca tajuk ini. Hukum ini merupakan salah satu hukum yang termaktub dalam tatabahasa. Disebabkan hukum ini tidaklah sepopular Hukum D-M, maka kesalahannya jarang dapat kita kesan.
Hukum Aneksi Persona menyatakan: Apabila terdapat kata kerja transitif dalam sesuatu ayat, maka perlu diikuti oleh objek secara berentetan, tanpa disisipkan dengan sebarang unsur lain seperti kata hubung.
Lihat ayat ini:
a. *Ali memberikan kepada Ahmad bungkusan hadiah itu.
b. *Adik menendang dengan kuat bola itu.
c. *Rencana ini menerangkan tentang langkah yang perlu diambil bagi mencegah wabak denggi.
d. *Beliau berpendapat bahawa perlembagaan itu perlulah dimansuhkan.
e. *Pak Mat tidur beralaskan dengan tikar mengkuang.
Semua perkataan yang dicondongkan ialah kata kerja transitif, iaitu kata yang perlu diikuti oleh objek.
Sebenarnya, mengikut Hukum Aneksi Persona, segala unsur lain, selain objek tidak boleh diletakkan. Oleh itu ayat yang betul ialah:
a. Ali memberikan Ahmad bungkusan hadiah itu.
b. Adik menendang bola itu dengan kuat.
c. Rencana ini menerangkan langkah yang perlu diambil bagi mencegah wabak denggi.
d. Beliau berpendapat perlembagaan itu perlulah dimansuhkan.
e. Pak Mat tidur beralaskan tikar mengkuang.

KESALAHAN HUKUM D-M

Hukum D-M menyatakan bahawa unsur yang diterangkan perlu mendahului unsur yang menerangkan. Biasanya, segala rangkai kata dalam bahasa Inggeris akan diterbalikkan, misalnya:
a. cyber cafe - kafe siber (bukannya siber kafe)
b. others person - orang lain (bukannya lain orang)
Berikut disenaraikan beberapa rangkai kata yang menepati Hukum D-M.
a. perkara-perkara lain
b. pisang goreng / ubi goreng / keledek goreng
c. pendingin hawa
d. Kedai Buku Cahaya Ilmu
e. Pusat Tuisyen Bestari
f. Restoran Santap Beradab
g. sos cili / sos tomato / sos tiram
h. kawasan-kawasan lain
i. satu setengah jam
j. bas mini
k. promosi praraya
l. mi Maggie
Namun, terdapat juga pengecualian dalam Hukum D-M, misalnya:
a. Perdana Menteri (sepatutnya Menteri Perdana)

KESAN-KESAN PENCEMARAN AIR

Pencemaran air merupakan masalah yang semakin meruncing dewasa ini. Masalah ini mendatangkan pelbagai impak negatif.
Huraikan kesan-kesan pencemaran air.


Pendahuluan:
- Sungai dikatakan tercemar apabila terdapat perubahan warna, bau dan rasa.
- Terjadi disebabkan dua faktor utama, semula jadi dan aktiviti manusia.
- Memberikan impak yang negatif kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Isi:

1. Menambahkan bebanan kerajaan
- kos pembersihan meningkat
- umpamanya, dalam RMK-8, sebanyak RM250 juta telah diperuntukan bagi pembersihan dan pengindahan sungai
- kempen ‘Cintai Sungai Kita’ perlu diperkasakan lagi
- membazir kerana lebih perlu disalurkan untuk pembangunan negara

2. Kepupusan hidupan akuatik
- menjejaskan binatang marin seperti ikan, udang, batu karang juga ekologi dan rantaian makanan
- membunuh tumbuhan air seperti rumpai dan pokok bakau
- burung pula jika terkena minyak akan menyebabkan sukar terbang seterusnya mati
- spesis terancam semakin pupus, contohnya penyu
- sebagai contoh, pembuangan plastik di perairan Terengganu suatu masa dahulu menyebabkan penyu mati kerana termakan plastik yang disangkakan makanan

3. Menjejaskan sumber pendapatan nelayan
- menyebabkan ikan berpindah habitat yang lebih selamat
- tumpahan minyak menyebabkan segala peralatan nelayan rosak
- meningkatkan kos pemulihan
- misalnya, tumpahan minyak di Pengerang telah menjejaskan pendapatan nelayan di situ memandangkan sumber pendapatan utama penduduk sekitarnya bekerja sebagai nelayan

4. Menjejaskan kesihatan
- sumber air bersih berkurangan
- laporan Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan 1.4 ribu juta dari penduduk di muka bumi ini tidak dapat bekalan air bersih bagi menampung keperluan harian mereka
- penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan
- penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan keracunan makanan meningkat
- Pada tahun 2005, WHO memperkirakan sekitar 1.6 juta penduduk meninggal akibat air yang tidak bersih

5. Menjejaskan industri pelancongan
- tumpahan minyak menyebabkan bau yang tidak selesa
- kawasan terumbu karang boleh terjejas teruk apabila berlaku pencemaran air
- pulau dan pantai akan kurang dikunjungi seandaianya tarikan alam marin ini terjejas dan musnah

6. Aktiviti rekreasi tidak lagi sesuai
- sungai dan tasik yang digunakan sebagai tempat berekreasi seperti berenang, berkayak dan memancing hilang fungsinya
- persekitaran yang telah tercemar tidak lagi sesuai sebagai tempat menenangkan fikiran dan diri

Penutup:
- Pendidikan alam sekitar – melentur buluh biar dari rebungnya
- Pelbagai langkah drastik perlu dilakukan bagi kepentingan bersama
- Alam hanya pinjaman dari generasi mendatang, usah kita musnahkannya.

Sunday, October 24, 2010

PUNCA MASALAH DISIPLIN

Lihat rajah di bawah dengan teliti. Berikan pendapat anda tentang punca-punca masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Pendapat anda mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.
PUNCA MASALAH DISIPLIN PELAJAR
i. Diri sendiri
ii. Keluarga
iii. Masyarakat
iv. Sekolah

Contoh jawapan:

...........Masalah disiplin yang melibatkan pelajar seperti vandalisme, ponteng sekolah, dan gansterisme bukan isu baru. Sebenarnya, mengapakah remaja mudah terjeblos ke dalam kancah moral ini?

..........Antara faktornya ialah kelemahan diri sendiri. Remaja mempunyai semangat inkuiri yang tinggi, misalnya ingin mengetahui rasa rokok. Lebih teruk, remaja sebegini biasanya mempunyai pegangan agama yang rapuh.

...........Selain itu, kelemahan institusi kekelurgaan juga salah satu penyebab. Segelintir ibu bapa bersifat materialistik sehingga tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anak, menyebabkan mereka bertindak mencari kawan.

...........Di samping itu, sikap masyarakat yang tidak prihatin juga penyumbang masalah ini. Masyarakat zaman pascamoden bersikap seperti enau dalam belukar. Bahkan, mereka khuatir dicop sebagai penyibuk.

...........Konklusinya, semua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing. Remaja hari ini mencerminkan negara pada masa akan datang.

(121 patah perkataan)

Nota: Pelajar tidak perlu menghuraikan semua isi yang dikemukakan. Boleh menghuraikan dua hingga tiga sahaja, bergantung kepada kepanjangan huraian.

JAWAPAN SET 3 BAHASA MALAYSIA

1. A
A. menggalas - meletakkan sesuatu di bahu
B. mendukung - meletakkan sesuatu di belakang badan
C. menjunjung - meletakkan sesuatu di kepala
D. mengelek - meletakkan sesuatu di ketiak atau pinggul

2. D
A. terbuai-buai - berbolak-balik, terayun-ayun (buaian)
B. terayun-ayun - berbolak-balik, terbuai-buai (buaian)
C. tergegar-gegar - tergoncang-goncang
D. terhinggut-hinggut - tergoyang-goyang, tergerak-gerak (cth: kereta melalui jalan lekuk)

3. C
A. berdialog - bercakap, berbicara tentang perkara biasa
B. berunding - bercakap dengan bersungguh-sungguh, berbincang untuk mendapatkan kata sepakat, terdapat dua pihak atau lebih
C. berbincang - bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara yang penting
D. bermuafakat - bermesyuarat, berunding untuk mencapai kata sepakat

4. C
A. maju - bergerak ke hadapan (pergerakan), bertambah baik (keadaan)
B. kental - beku (ais), karib (persahabatan), teguh (semangat)
C. mantap - tetap hati (fikiran), stabil (kedudukan)
D. sentosa - aman (suasana)

5. B
A. belum - tidak lagi berlaku
B. sudah - telah berlaku
C. masih - sedang berlaku
D. akan - tidak lagi berlaku

6. A
A. daya usaha - inisiatif, ikhtiar
B. daya saing - kemampuan untuk bersaing
C. daya upaya - kemampuan, kebolehan (tenaga)
D. daya cipta - kebolehan mencipta

7. D
A. untuk - buat, bagi
B. dari - menyatakan waktu dan tempat
C. tentang - perihal, berkenaan
D. daripada - menyatakan selain daripada waktu dan tempat
a. abstrak (pendapat, pandanga)
b. asal sesuatu
c. orang / haiwan
d. perbandingan
e. keanggotaan

8. C
Kesalahan imbuhan, sepatutnya diletakkan imbuhan 'ber'

9. D
Tiada kesalahan

10. B
Perkataan 'akan' tidak diperlukan kerana kata kerja transitif 'menyimpan' perlu diikuti dengan kata nama 'barang kemasnya'.

11. D
Tiada kesalahan

12. B
Perkataan 'pada' digunakan untuk menyatakan waktu, selain bermaksud:
a. dengan - Buku itu ada pada Ali.
b. menurut - Pada pendapat saya, cadangan itu perlu digugurkan.
Bagi menyatakan sasaran (orang atau sesuatu), perkataan 'kepada' perlu digunakan.

13. D
Tiada kesalahan

14. A
'menggoyangkan' bermaksud mengoncangkan, mengayunkan (buaian, pendirian)
perkataan yang paling tepat ialah 'menggelengkan' yang bermaksud menggoyangkan ke kiri dan ke kanan (kepala).

15. C
Perkataan 'jelas' bermaksud:
a. terang (perkataan, pemandangan, perlakuan) - I, II dan III
b. selesai (hutang, pekerjaan)
Perkataan 'jelas' dalam pilihan IV paling tepat digantikan dengan perkataan 'jarang' yang bermaksud nipis sehingga menampakkan bahagian dalam.

16. B
Perkataan 'menghebahkan' bermaksud:
a. memberitahu, menyiarkan (berita) - II dan III
b. menyebarkan, mengembangkan (agama, bahasa, fahaman)
Perkataan 'menghebahkan' dalam pilihan I paling tepat digantikan dengan perkataan 'menghebohkan' yang bermaksud menimbulkan keadaan gempar, riuh
Perkataan 'menghebahkan' dalam pilihan IV paling tepat digantikan dengan perkataan 'menghamburkan' yang bermaksud membaling, membuang ke merata-rata, menyerakkan, menaburkan.

17. A
Perkataan 'memangku' bermaksud
a. meriba (anak kecil, barangan) - II
b. membawa sesuatu dengan lengan yang dibengkokkan ke hadapan (orang sakit)
c. memegang jawatan sementara - I
Perkataan 'memangku' dalam pilihan III paling tepat digantikan dengan perkataan 'menatang' yang bermaksud membawa dengan berhati-hati
Perkataan 'memangku' dalam pilihan IV paling tepat digantikan dengan perkataan 'memaku' yang bermaksud memantakkan, memasang paku pada ...

18. B
Perkataan 'saling' tidak perlu diikuti dengan kata ganda. Jika mahu digandakan, maka perkataan 'saling' perlu digugurkan.
Perkataan bila merupakan kata tanya bagi mendapatkan jawapan waktu dan masa. Bagi menyatakan masa dan waktu, maka kata 'apabila' perlu digunakan.

19. B
Perkataan 'adalah' digunakan bersama-sama kata tugas mahupun kata sendi. Perkataan 'ialah' digunakan bersama-sama kata nama.
Perkataan 'di antara' digunakan untuk menyatakan ruang. Bagi tiada ruangan, maka perkataan 'antara' perlu digunakan.

20. C
Kata kerja pasif bagi kata ganti nama diri pertama dan kedua tidak boleh disisipkan sebarang kata tugas.
Kata tugas hanya boleh diletakkan sebelum kata ganti nama diri pertama dan kedua.

21. C
Perkataan 'se' bermaksud sama dengan.

22. C

23. B

24. D

25. B
Pilihan I salah kerana perkataan 'ia' digunakan bagi merujuk manusia. 'Ia' merupakan kependekan bagi perkataan 'dia'.
Pilihan II salah kerana perkataan 'goreng keledek' tidak memenuhi Hukum D-M, sepatutnya keledek goreng.

26. A
Pilihan II salah kerana perkataan 'menghadiahkan' perlu diikuti oleh objek. Apabila ada orang, maka imbuhan meN-...-i perlu digunakan.
Pilihan III salah kerana perkataan 'rakyat' sudah membawa maksud jamak / banyak.

27. A
Pilihan III salah kerana kesalahan Hukum D-M. Kata yang menepati Hukum D-M ialah perkara-perkara lain.
Pilihan IV salah kerana kesalahan imbuhan 'ber'. Imbuhan yang sepatutnya ialah 'ke' yang membawa maksud kata bilangan himpunan.

28. C
Pernyataan itu tentang usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai kejayaan
A. bermaksud membuat sesuatu biarlah sampai sudah
B. bermaksud orang kurang bijak jika diajar boleh juga menjadi pandai
C. bermaksud kejayaan pasti ada bagi orang yang berusaha
D. bermaksud perkara yang dilakukan perlahan-lahan akan berhasil / berjaya juga

29. A
Pernyataan itu tentang fikiran yang sempit kerana tidak berjaya menerima perubahan sekelilingnya.
A. bermaksud tidak terbuka (tentang fikiran, pandangan, cara hidup)
B. bermaksud mengikut perintah tanpa bantahan
C. bermaksud mendapat sesuatu yang dihajati / diinginkan
D. bermaksud kembali ke asal

30. B
Pernyataan itu tentang kemampuan berdasarkan pendapatan.
A. bermaksud biar menanggung kerugian kecil, jangan menanggung kerugian besar
B. bermaksud berbelanjalah mengikut kemampuan
C. bermaksud banyak pendapatan / hasil, banyak juga belanjanya
D. bermaksud biar membeli barang yang mahal tetapi tahan lama

Wednesday, October 20, 2010

SIMPULAN BAHASA (HATI)

1. Ada hati
- bermaksud kemahuan, keinginan, kehendak
- Abang ada hati mahu memikat gadis yang diidamkan oleh seluruh pemuda di kampung kami.

2. Besar hati
- bermaksud bangga, megah
- "Besar hati kami apabila mendapat tahu tuan akan hadir ke majlis itu nanti," kata Ali kepada Tuan Farid.

3. Buah hati
- bermaksud kekasih
- "Buah hati saya akan pulang dari London minggu depan," ujar Halim kepada Karim.

4. Lembut hati
- bermaksud pemaaf
- Ibu memuji sikap kakak yang dikatakan lembut hati kerana mudah memaafkan orang lain.

5. Makan hati
- bermaksud merana, kecewa
- Kakak makan hati dengan sikap abang yang suka berfoya-foya sejak akhir-akhir ini.

6. Murah hati
- bermaksud pemurah, tidak lokek, tidak kedekut
- Abang sangat murah hati dengan anak-anak buah kerana kerap menghadiahi mereka dengan pelbagai jenis hadiah.

7. Kecil hati
- bermaksud kecewa, terkilan
- "Kecil hati aku apabila mendengar sindiran Hazirah yang mengatakan bahawa aku ini tidak masuk ajar," luah Dira.

8. Mengambil hati
- bermaksud memujuk
- Ayah cuba mengambil hati ibu dengan cara menghadiahkan sepasang baju kurung.

MELEPASI

1. Menembusi
- bermaksud masuk terus ke sebelah dan ke dalam
- Cahaya itu menembusi jeriji tingkap.
- Paku itu menembusi papan lapis.

2. Melepasi
- bermaksud lepas dari sesuatu palang atau aras
- Air sudah melepasi paras bahaya.
- Atlet itu berjaya memenangi pingat emas kerana berjaya melepasi palang lompat galah itu.

3. Melintasi
- bermaksud menyeberangi (berkenaan jalan), mengharungi (berkenaan sungai)
- Kakak melintasi jalan untuk membuang sampah.
- Ayah melintasi sungai untuk pergi ke kampung sebelah.

4. Merentasi
- bermaksud memintas, melalui, melintasi
- Kebudayaan Melayu merentasi serata buana.
- Pasukan Rumah Hijau berjaya merentasi hutan tanpa sebarang masalah.

Monday, October 4, 2010

FORMAT KARANGAN PIDATO

Karangan ini hampir sama formatnya dengan karangan syarahan, ucapan mahupun ceramah. Namun, dalam persamaan itu masih terdapat beberapa perbezaannya.

1. Kata alu-aluan
- Disusun mengikut pangkat dan kedudukan
- Contohnya:
a. Pengerusi majlis
b. Hakim (jika pertandingan)
c. Pengetua / Dif kehormat
d. Hadirin

2. Kata penghadapan
- Ditulis selang dua perenggan
- Contoh kata penghadapan:
a. Hadirin yang dihormati sekalian,
b. Hadirin yang saya muliakan,
c. Sidang dewan intelektual sekalian,
d. Para hadirin bestari yang saya kasihi,

3. Isi
- Untuk pidato,
a. Isi pertama dimulai dengan kupasan definisi tajuk
b. Isi kedua dan seterusnya perlu ditandai dengan kata kunci tertentu, misalnya ekonomi, pendidikan, teknologi, politik, sosial dan sebagainya.
c. Antara ayat pertama dalam setiap perenggan yang boleh digunakan ialah:
i. Saya akan rungkaikan persoalan ini di bawah kata kunci …
ii. Hujah saya yang kedua terangkum dalam aspek …
iii. Idea saya yang ketiga berpandukan perspektif …

4. Penutup
- Bahagian penutup perlu ada.
- Bahagian ini perlu:
a. menegaskan pendirian pemidato
b. ada kata-kata minta maaf jika ada kekurangan

5. Karangan pidato anda akan lebih menarik jika:
a. memetik kata-kata tokoh atau kata mutiara sebelum menulis kata-kata aluan.
b. menyelitkan peribahasa atau kiasan dalam setiap perenggan
c. mengakhiri dengan serangkap pantun
d. menggunakan bahasa yang indah, tegas dan berkesan.

Soalan:
Anda telah terpilih bagi mewakili sekolah anda dalam pertandingan pidato peringkat daerah. Tajuk pidato itu ialah “Kepentingan Meneroka Sains Angkasa”.
Tulis teks pidato anda selengkapnya.