Sunday, July 31, 2011

KESAN RASUAH KEPADA NEGARA

Karangan yang dipaparkan di sini merupakan hasil nukilan anak didik saya. Terdapat beberapa kesalahan tatabahasa yang minimum telah saya betulkan sebelum menyiarkannya. Harap boleh dijadikan panduan.

Contoh 1

.....Rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Namun, kes ini semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Terdapat pelbagai kesan rasuah yang timbul kepada negara sekiranya amalan ini berlarutan.

.....Antaranya ialah menjejaskan imej negara. Apabila kes ini berlaku, kes ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan sistem perundangan di negara kita di samping menganggu kehidupan masyarakat dan birokrasi pemerintahan.


.....Selain itu, kes ini akan menjejaskan kualiti infrastruktur. Ramai pemaju sekarang hanya mementingkan wang daripada kualiti infrastruktur tersebut. Akibatnya, bangunan yang dibina mudah rosak dan tidak berkualiti.

.....Di samping itu, jenayah rasuah juga hanya membazirkan perbelanjaan kerajaan. Wang yang diberikan oleh kerajaan untuk melakukan kebajikan disalahgunakan. Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana hanya menjejaskan nama baik negara kita.

.....Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan yang berlaku akibat gejala ini. Ada yang berpendapat, rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang bisa menumbangkan pohon besar kerana kerjanya tidak nyata tetapi mampu melumpuhkan pembangunan negara.

(Nur Syahireen bt Yusoff, 3 Harmoni)



Contoh 2


.....Rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Gejala rasuah telah banyak berlaku di negara kita. Persoalannya, apakah kesan rasuah kepada negara kita?

.....Kesan perdana ialah rasuah boleh menjejaskan imej negara. Jika kes rasuah tidak ditangani dengan cepat, pelabur asing di negara kita akan berkurangan kerana takut ditipu oleh syarikat di negara kita. Natijahnya, pendapatan negara kita juga akan berkurangan.

.....Selain itu, gejala rasuah boleh menyebabkan pembaziran perbelanjaan kerajaan. Wang yang rasuah sepatutnya disalurkan ke arah dan kebajikan rakyat telah disalahgunakan. Keadaan ini mampu melumpuhkan ekonomi negara.

.....Di samping itu, rasuah boleh menjejaskan kualiti infrastruktur. Pelaku rasuah ini akan mengaut keuntungan yang lebih tanpa memikirkan kualiti bangunan yang akan menyebabkan kebocoran dan keretakan.

.....Akhirul kalam, langkah secara holistik perlu digembleng. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketat lagi agar timbul rasa takut dalam kalangan masyatakat.

Amirul Asyraf bin Che Azhar, 3 Harmoni)

Monday, July 25, 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN JENAYAH RASUAH

PMR

Berdasarkan rajah di bawah, tulis pendapat anda tentang langkah-langkah mengurangkan jenayah rasuah. Panjangnya pendapat anda tidak melebihi 120 patah perkataan.

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN JENAYAH RASUAH
1. Menguatkuasakan undang-undang
2. kempen Perangi Rasuah
3. Tempoh penyiasatan dan perbicaraan kes disegerakan


.....Mayapada, rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Persoalannya, bagaimanakah jenayah rasuah dapat dikurangkan?

.....Strategi perdana ialah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang seperti melalui Akta Pencegahan Rasuah 1997. Oleh itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu bertindak lebih agresif dengan menghukum perasuah yang didakwa bersalah.

.....Selain itu, kempen Perangi Rasuah perlu disebarluaskan melalui media massa. Ceramah dan seminar merupakan dua cara untuk memerangi rasuah melalui pendidikan kesedaran tentang bahaya rasuah kepada negara.

.....Malahan, tempoh penyiasatan dan pembicaraan kes rasuah mestilah disegerakan. Realitinya, kes yang lama akan digugurkan seterusnya memberi keyakinan kepada pelaku bahawa kerajaan tidak begitu komited.

.....Akhirul kalam, langkah secara holistik perlu digembleng. Ada yang berpendapat, rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang bisa menumbangkan pohon besar kerana kerjanya tidak nyata dan tersembunyi tetapi mampu melumpuhkan pembangunan sesebuah negara.

(121 patah perkataan)


SPM


Berdasarkan rajah di bawah, tulis pendapat anda tentang langkah-langkah mengurangkan jenayah rasuah. Panjangnya pendapat anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Langkah-langkah mengurangkan jenayah rasuah:
1. Menguatkuasakan undang-undang
2. Kempen Perangi Rasuah
3. Menyegerakan tempoh kes rasuah


.....Mayapada, rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Apakah yang dimaksudkan dengan rasuah? Rasuah merupakan perbuatan memberi dan menerima sama ada berupa wang tunai, hadiah mahupun kuasa yang sebenarnya mempunyai niat yang tersembunyi, kata orang tua-tua dahulukala, ada udang di sebalik batu. Sejarah rasuah amat panjang dan kewujudannya di Tanah Melayu ini sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu semasa pembahagiaan kuasa yang Tun Muktakhir terhadap kroni-kroninya . Persoalannya, bagaimanakah jenayah rasuah dapat dikurangkan?


.....Strategi perdana ialah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang seperti melalui Akta Pencegahan Rasuah 1997. Ada pendapat yang mengatakan, undang-undang dibuat untuk dipatuhi, bukan untuk dilanggar. Salah satu tujuan undang-undang diwujudkan adalah untuk mendisiplinkan masyarakat. Sebagai tamsilannya, bagi Akta 575 pula, tiga jenis penalti dikenakan iaitu pemenjaraan, denda atau melucutkan harta. Seksyen 16 memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh minimum 14 hari dan tempoh maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang ditawarkan atau diterima, jika dapat dinilaikan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi. Sewajarnya, nilai denda perlulah dilipatgandakan supaya pelaku berasa lebih gerun.


.....Selain itu, kempen Perangi Rasuah perlu disebarluaskan melalui media massa. Pengunaan media massa secara holistik, yakni daripada siaran di surat khabar sehinggalah internet, perlulah dibuat. Hal ini demikian kerana pada masa kini, penyebaran sebarang informasi lebih mudah dan cepat dicapai oleh masyarakat melalui satu klik sahaja. Seharusnya kita perlu membugarkan bangga di dada kerana kerajaan memerangi gejala tumbuk rusuk ini secara habis-habisan. Bukan itu sahaja, ceramah dan seminar juga merupakan dua cara perlulah diadakan dari semasa ke semasa. Kata orang, melentur buluh biar dari rebungnya. Memegang kata-kata ini, pendidikan di sekolah juga perlulah diberikan keutamaan kerana merekalah yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.


.....Malahan, tempoh penyiasatan dan pembicaraan kes rasuah mestilah disegerakan. Realitinya, kes rasuah antara kes yang mengambil masa perbicaraan yang begitu lama. Hal ini disebabkan oleh pengumpulan maklumat dan bukti perlu dilakukan dengan berhati-hati. Akibatnya, banyak kes yang digugurkan begitu sahaja seterusnya memberi keyakinan kepada pelaku bahawa kerajaan tidak begitu komited dalam memerangi gejala yang tidak sihat ini. Untuk tujuan itu, pegawai penyiasat perlulah bertindak dengan lebih teliti dalam menghidu suspek yang boleh membantu proses penyiasatan berjalan dengan lebih lancar dan cepat diselesaikan. Bahkan, pelapor yang memberikan maklumat yang tepat dan benar, sewajarnya diberikan imbuhan serta pengiktirafan bagi menghargai sumbangan mereka dalam usaha membantu membanteras jenayah kolar putih ini.


.....Akhirul kalam, langkah secara holistik perlu digembleng oleh semua pihak. Ada yang berpendapat, rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang bisa menumbangkan pohon besar kerana kerjanya tidak nyata dan tersembunyi tetapi mampu melumpuhkan pembangunan sesebuah negara. Sekiranya diteliti, memang benar pendapat itu kerana anai-anai yang bersifat pemusnah kerjanya dilakukan secara implisit tetapi kesan akhirnya akan terdedah apabila pembongkaran berjaya dilakukan. Anda mahu terlibat dalam gejala ini? Tepuk dada, tanya minda.


Perbendaharaan kata:
a. Kroni – rakan dan saudara terdekat
b. Gerun – takut
c. Informasi – maklumat
d. Membugarkan – menyegarkan, menonjolkan
e. Komited – bersungguh-sungguh
f. Holistik – menyeluruh
g. Implisit – tersembunyi, tidak nyata


Friday, July 15, 2011

semuanya tentang MEMOTONG

1. memotong
mengerat sesuatu

2. membelah
menjadikan sesuatu kepada dua bahagian.
Kakak membelah buah tembikai untuk dihidangkan kepada tetamu.

3. memayang (mayang) / menghiris
memotong halus-halus dan nipis-nipis (bawang, daun)
Ibu memayang daun pandan untuk dijadikan bunga rampai.

4. menyembelih
memotong leher binatang dengan benda tajam sehingga putus merihnya
Pak Hamdan menyembelih tiga ekor ayam menggunakan pisau yang cukup tajam.

5. memenggal (penggal) / memancung (pancung)
memotong kepala
Mereka memenggal kepala musuh dan menggantungkannya di pintu masuk rumah.

6. mencantas /memangkas (pangkas)
memotong sesuatu dengan sekali hayun
Ayah mencantas dahan pokok rambutan yang menghalang pandangan.

7. menebang (tebang)
memotong pokok kayu yang besar-besar
Pekerja itu sedang menebang pokok kelapa yang semakin condong ke rumah nenek.

8. menebas (tebas) / merambah / membabat
memotong pokok-pokok kecil seperti lalang, semak
Datuk kelihatan menebas lalang yang semakin meninggi ketika kami tiba di kampung.

9. menoreh (toreh)
memotong kulit kayu / pokok dengan tidak berapa dalam
Selepas subuh, Nek Yang akan menoreh getah bagi menyara hidupnya.

10. menarah (tarah)
meratakan sesuatu (kayu, dll) dengan menggunakan kapak dll
Bapa menarah kayu merbah untuk dibuat lantai.

Tuesday, July 12, 2011

KARANGAN ULASAN BUKU : TUMBUH DI TENGAH BADAI

Anda telah memenangi sayembara menulis esei yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Antara hadiahnya ialah sebuah novel. Setelah membaca novel itu, anda ingin mengulasnya untuk disiarkan di papan kenyataan sekolah.
Ulaskan novel yang telah anda baca itu.


.......‘Tumbuh di Tengah Badai’ begitulah judul novel yang dikarang oleh novelis Indonesia, Herniwatty Moechiam. Melalui tajuknya saja telah menggendong seribu satu makna tersirat. Menyelak halaman pertama daripada 237 halaman kesemuanya membuatkan pembaca akan benar-benar disuntik kesegaran melalui bait-bait bahasa yang disusun sebegitu segar. Novel ini telah diterbitkan oleh PTS Litera yang diadaptasikan daripada cebisan kisah benar. Dengan menggabungkan tiga foto, iaitu seorang lelaki sedang memegang biola, seorang ibu tua dan sawah padi yang berbumbungkan langit kelabu, ternyata sudah menyelak sedikit demi sedikit rahsia intipati novel ini.

.......Benar seperti kata pengarang lewat pengenalan novel ini: Hidup ini sebenarnya memberikan banyak pilihan…. Novel ini juga menyingkap pengorbanan dan manifestasi kesabaran seorang ibu yang terpaksa berhadapan dengan anak keempatnya, Catra yang menghidapi penyakit disfungsi minimal otak yang akhirnya menyebabkan pertumbuhan mental anaknya itu tidak seperti anak-anak yang sebaya dengannya. Berhadapan dengan Wim, suami yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya tidak sempurna, cukup memeritkan. Hari-hari yang ditempuh bagaikan melalui bara yang membakar telapak kaki.
.

......Disebabkan sikap panas baran Wim, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai setelah masing-masing tidak lagi semesra sebelum Catra dilahirkan. Keperitan yang dilalui oleh seorang ibu tunggal lebih terserlah apabila terpaksa memperjudikan nasib dan keadaan untuk membesarkan keempat-empat anak yang masih kecil. Walaupun begitu, dengan berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, akhirnya Catra membesar sebagai seorang manusia, yang memiliki bakat semula jadi bermain biola. Malahan, Catra mampu belajar dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan sehingga dapat menyambungkan pengajian di pusat pengajian tinggi dalam bidang sastera.

.......Novel bercirikan Islamik ini mengangkat ketabahan seorang wanita dalam mengharungi kehidupan dengan dihujani badai dan gerimis ujian Allah. Hal ini ditonjolkan melalui perwatakan Aku (ibu Catra) yang dilihat begitu kuat menggenggam amanah Tuhan. Semasa suaminya, Wim cuba meloloskan diri daripada tanggungjawab dan tidak mahu bercerminkan kenyataan, Aku mengggumpul sejuta kekuatan untuk menjaga Catra yang cacat dan memerlukan perhatian yang lebih berbanding Yann dan Tantri. Catur Putra yang meninggal dalam kandungannya tidak pula sempat melihat dunia yang fatamorgana ini. Persoalan dalam novel ini begitu besar, antaranya ketidakmampuan untuk berhadapan dengan kenyataan, seperti watak Wim yang tidak mampu menelan kenyataan bahawa Catra tidak dapat membesar seperti Yann dan Tantri.

.......Selain itu, terdapat juga persoalan tentang hubungan manusia dengan Pencipta. Mungkin pembaca sejak awal pembacaan bertanya-tanya: Mengapa Aku begitu sabar mengasuh dan mendidik anak yang tidak sempurna itu? Walaupun Catra begitu ruwet untuk dijaga, bahkan membuatkan diri Aku terkongkong kerana Catra tidak boleh berhadapan dengan bunyi bising seperti di pasar raya? Jawapannya sederhana, kerana dia percaya bahawa Allah sedang menguji dirinya. Oleh sebab itulah, Aku tidak sesekali pernah mengalah sebaliknya mengumpul sejuta ketabahan untuk berhadapan dengan ujian maha hebat itu.

.......Walaupun novel ini dibina plotnya secara tidak kronologi, iaitu tidak mengikut susunan, namun pemahaman pembaca terhadap jalan ceritanya masih baik. Kesinambungan antara bab begitu signifikan kerana pergerakan plot berjalan secara sistematik. Unsur suspens, kejutan, imbas kembali dan sebagainya membuatkan pembaca tidak berasa bosan untuk menikmati karya ini sehingga selesai. Jalinan teknik plot yang pelbagai, serta tempo jalan cerita yang sesekali dipercepat membuatkan novel ini berada di kedudukan yang tersendiri. Konflik yang ditimbulkan dalam diri Aku juga antara Aku dengan persekitarannya dalam keadaan yang tidak diduga memberi kesan yang baik. Misalnya, Aku akhirnya berbaik dengan Wim setelah hubungan mereka berantakan angkara Catra tanpa disangka-sangka.

.......Keistimewaan novel ini juga dilihat daripada segi watak dan perwatakannya. Pada hemat saya, kelebihan penulis sebagai seorang wanita telah memberikan ‘jiwa’ kepada watak Aku yang juga seorang ibu. Kata Bhiku Parekh, jiwa perempuan hanya mampu diselami oleh golongan itu. Membaca novel ini, saya membenarkan kata-kata itu. Masakan tidak, diranjau oleh cabaran membesarkan anak yang tidak boleh bertutur dengan sempurna, selain sifatnya yang dianggap aneh, mampu digalas oleh watak Aku dengan begitu cemerlang. Sesungguhnya, jiwa Herniwatty Moechiam telah meresap dalam setiap perilaku Aku sehingga dapat dihidu oleh pembaca.

.......Satu hal yang saya begitu terkesan ketika membaca novel ini ialah ekspresi bahasanya. Walaupun novel ini merupakan terjemahan daripada bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia, ketulenan gaya bahasa yang membuai perasaan langsung tidak berubah. Penggunaan metafora dan persoanfikasi yang segar membuatkan novel ini cukup enak untuk dihadam. Tambahan pula, novel yang dipenuhi ungkapan berbunga dan berfalsafah membuatkan karya ini begitu istimewa. Tidak percaya? Nikmati petikan kata-kata ini: “Tuhan memberkati kami dengan memberikan hadiah istimewa-Nya. Namun, hamparan langit yang kuning menjingga berubah warna menjadi merah darah sebelum memekat dan bercampur warna kelabu. Nah, bukankah bait-bait itu begitu mempesona?”.

.......Dalam novel ini, terlalu banyak nilai dan pengajaran yang boleh dikutip oleh pembaca. Novel pembangunan rohani ini sesuai dijadikan bahan bacaan terapi minda, khususnya bagi golongan yang hampir putus asa dengan keadaan anak yang dilahirkan cacat sejak lahir. Pembaca harus meneladani sikap Aku yang tidak pernah menyerah dengan keadaan, sebaliknya sering memanjatkan doa kepada Allah supaya memberi kekuatan kepadanya menghadapi segala ketentuan. Seawal pembacaan, khalayak sudah dihidangkan dengan unsur didaktik yang menggunung, iaitu kepercayaan Aku kepada takdir Tuhan.

......Akhirul kalam, novel ini sememangnya sesuai dijadikan bahan bacaan oleh semua peringkat umur. Novel ini secara implisit memberi peringatan kepada kita bahawa tidak semua kekurangan yang kita nampak pada mata kasar itu adalah tidak baik. Dalam menelusuri kehidupan, sewajarnya kita mencontohi sikap Aku yang bersabar dalam keadaan apa sekalipun. Ingatlah, Allah tidak pernah menguji makhluk-Nya melebihi kemampuan makhluk itu sendiri. Tiada kata yang paling sesuai untuk dikongsi melainkan, silalah baca dan nikmatilah setiap bait di dalamnya.

KARANGAN GAMBARAN : KEBAKARAN

.......Pada petang itu, aku pulang lewat ke rumah kerana Cikgu Amir mengadakan pemilihan pemain bola sepak sekolah. Kebetulan Syah dan Hakim juga mahu bersaing pulang ke rumah memandangkan rumah mereka tidaklah begitu jauh dari rumahku. Kami bercadang untuk melalui jalan pintas yang memerlukan kami melalui sebuah kampung, iaitu Kampung Bunga Raya.


.......Sepanjang perjalanan, kami bercerita tentang harapan untuk mewakili sekolah. Sesekali, kami ketawa apabila Hakim yang memang terkenal dengan sikap suka berlawak, membuat jenaka. Dari jauh, kami ternampak asap yang berkepul-kepul di udara.


.......“Eh, kau tengok tu. Asap berkepul-kepul. Macam ada rumah terbakar?” kata Hakim.


.......“Ah, itu hanya asap dari kilang kelapa sawit belakang ladang ini,” ujar Syah.


.......“Syah, Amran, cuba bayangkan kalau tiba-tiba babi hutan melintas depan kau?” potong Hakim. Kemudian dia menyeringai seperti monyet mendapat pisang.


.......“Eish, kau ni. Cakap bukan-bukan saja.” Hakim ketawa terbahak-bahak apabila melihat wajah Syah yang begitu serius. Kemudian, tawa kami berderai memecah kesunyian petang itu.


.......Tiba-tiba, semak di depan kami bergoyang-goyang. Pada mulanya, kami sangka babi hutan melintas. Sangkaan kami meleset apabila seorang budak lelaki menerpa ke arah kami.


.......“Abang… abang tolong saya! Rumah kami… rumah kami terbakar,” ujarnya sambil tercungap-cungap sambil tangannya menunding ke arah kilang kelapa sawit.


.......Kami kelu seribu bahasa. Sungguh, kami tidak menduga bahawa asap yang menebal di udara itu rupanya disebabkan oleh rumah yang terbakar. Tanpa membuang masa, kami bergegas mengikutnya. Ternyata kami juga kalah dengan larian budak yang berkaki ayam itu, walaupun kami merupakan atlet sekolah.


.......Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak. Keadaan menjadi tidak terkawal apabila kesemua bahagian rumah sudah dijilat oleh api. Sementara itu, beberapa orang wanita sedang mententeramkan ibu budak tadi.


.......“Tolong! Rumah aku! Tolong…” jerit perempuan tua itu dengan tangisan yang tidak henti-henti. Namun, suaranya tenggelam dalam keriuhan suara orang ramai yang berlarian-larian membantu memadamkan api.


.......Ada juga beberapa pemuda yang menyimbah air menggunakan baldi dan timba. Ternyata usaha itu tidak membuahkan hasil kerana api yang menjulang tinggi itu tidak terkalahkan oleh air setimba dua.


.......“Syah, pergi telefon bomba sekarang.” Aku mengarahkan Syah pergi menelefon bomba. Kebetulan, ada sebuah pondok telefon yang berhampiran. Menurut budak itu, adiknya bermain api, kemudiannya menyambar langsir.


.......Sementara menunggu bomba sampai, aku dan Hakim pergi membantu penduduk kampung yang berlari-larian mengangkut air dan menyimbahnya. Dalam masa kurang lima minit, sepasukan bomba pun sampai di tempat kejadian. Pihak bomba bertungkus-lumus memadamkan api yang kian marak kerana tiupan angin yang semakin kencang. Pasukan itu mengambil masa kurang dari 10 minit untuk memadamkan api itu. Walaupun begitu, tidak banyak peralatan yang dapat diselamatkan. Mujurlah tiada kemalangan nyawa yang berlaku.
Budak itu berdiri menghadap rumahnya yang tinggal rangka. Kami tahu, berat mata memandang, beri lagi bahu yang memikulnya. Barangkali dia memikirkan nasib keluarganya selepas ini.

.......Kami mendekati budak itu. Aku memegang bahunya. Matanya berkaca-kaca. Kolam matanya yang tidak mampu menahan menyebabkan air matanya tumpah. Kami berkongsi sebak.

.......“Abang, terima kasih kerana membantu saya. Tiada wang yang dapat saya hulurkan. Hanya ucapan berbanyak-banyak terima kasih,” ujarnya sambil menyeka air mata yang tersisa.

.......“Kami tak minta dibalas. Cuma kami harap adik tabah menghadapi ujian Allah,” pujuk aku perlahan-lahan.

.......memberikan kata-kata semangat, kami meminta diri untuk beredar. Walaupun penat, kami pulang dengan penuh rasa bangga kerana sudah menyumbangkan bakti. Setibanya di rumah, ibu sudah tercegat di muka pintu. Aku pun menceritakan kejadian sebenar. Ibu menasihati aku supaya tidak bermain api kerana khuatir kejadian itu menimpa keluarga kami.

Saturday, July 9, 2011

LANGKAH MENERAPKAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI SEKOLAH

Pencemaran alam telah membuatkan banyak pihak sedar akan kepentingan pendidikan alam sekitar dalam kehidupan.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.


.......Pendidikan alam sekitar dapat didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan bagi menyelamatkan alam sekitar daripada terus dirosakkan. Hal ini penting bagi membendung kerosakan yang dilakukan oleh manusia terhadap alam sekitar. Antara kerosakan itu adalah mencemarkan air dan udara, menggunakan bahan yang sukar dilupuskan, menebang hutan tanpa kawalan, menarah tanah tinggi, serta menggunakan air dan tenaga elektrik yang berlebihan. Ancaman ini telah membuatkan pendidikan alam sekitar dilihat sebagai satu senjata ampuh yang mampu mengubah tingkah manusia kepada menyayangi alam sekitar daripada terus digunakan secara sewenang-wenangnya. Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.



.......Antaranya adalah dengan mengadakan kempen ‘Sayangi Alam Sekitar’. Bagi menguruskan kempen ini, maka Persatuan Alam Sekitar boleh bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melicinkan perjalanan program yang dirancang. Antara program yang boleh dijalankan sepanjang kempen ini diadakan ialah pertandingan melukis poster, pertandingan mencipta dan mendeklamasikan puisi, pertandingan menulis esei, pertandingan pidato, syarahan dan debat, ceramah tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh menarik minat pelajar. Kesemua aktiviti ini menjurus kepada satu matlamat, iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Tegasnya, kempen sebegini harus dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan agar kesedaran yang ingin ditanam ranum di sukma mereka sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan hijaunya alam sekitar.




.......Selain itu, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji keperluan mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar sebagai subjek elektif di sekolah. Hal ini disebabkan oleh sikap remaja masa kini yang memandang enteng akan kepentingan menjaga alam sekitar. Mereka juga kabur akan rasionalnya, di samping diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Sains, dan Geografi yang telah memasukkan topik berkenaan alam sekitar, maka pengekalan perlu dilakukan. Seandainya cadangan mewujudkannya sebagai mata pelajaran elektif tidak dilaksanakan, maka sekurang-kurangnya kita sudah ada persediaan ke arah mengangani masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing. Ringkasnya, silibus tentang pendidikan alam sekitar perlu diwujudkan, tidak kiralah sebagai subjek tunggal mahupun sisipan memandangkan kepentingannya dalam jangka panjang.




.......Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan gotong-royong memghijaukan kawasan sekolah. Program penghijauan ini boleh dilakukan dengan menanam pokok-pokok di sekitar kawasan sekolah. Antara pokok-pokok yang boleh ditanam ialah pokok buah-buahan dan pokok perhiasan, seperti pokok bunga. Selain memcantikkan sekolah dan memberi hasil untuk dimakan, penanaman pokok ini sebenarnya telah membantu penambahan pengeluaran gas oksigen yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Program ini sebegini juga mampu mendidik remaja agar mengawal aktiviti penggondolan hutan secara berleluasa seperti yang didepani oleh dunia dewasa ini. Ringkasnya, aktiviti seperti ini sememangnya penting dalam mendidik tabiat sayang akan alam sekitar sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.



.......Bukan itu sahaja, sekolah boleh mengenakan peraturan baru bagi penggunaan air dan elektrik di sekolah. Hal ini bertujuan bagi mengawal penggunaan elektrik dan air daripada terus dibazirkan. Penggunaan elektrik dan air yang tidak terkawal merupakan salah satu bentuk kerosakan terhadap alam sekitar. Hal ini demikian kerana penggunaan elektrik yang berlebihan telah membebaskan gas-gas beracun seperti monoksida yang mampu mengancam ekosistem dan kesihatan manusia juga. Sekolah boleh menggariskan beberapa peraturan seperti menutup lampu setiap jam8.30 pagi misalnya, kecuali pada hari hujan dan mendung. Kipas pula perlu dihentikan sekiranya pelajar tidak berada di dalam kelas, umpamanya pergi ke makmal dan ketika waktu rehat. Bagi memastikan pelaksanaan peraturan ini berjaya, maka pengawas perlu prihatin dan bertanggungjawab memantau dan memastikan lampu dan kipas telah dimatikan sebelum meninggalkan kelas. Jelasnya, tindakan sebegini bukan sahaja mampu menjimatkan penggunaan air dan elektrik tetapi dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian kerana agama Islam menyifatkan pembaziran itu merupakan amalan syaitan.



.......Malahan, Kementerian Sumber Asli boleh bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menjalankan program kitar semula di sekolah. Walaupun program ini pernah diperkenalkan suatu tika dahulu, tetapi kali ini kerajaan perlu lebih proaktif. Sebagai contoh, kerajaan perlu menjelaskan konsep kitar semula dengan jelas, sama ada melalui media elektronik, media cetak, mahupun buku teks. Bahkan, kerajaan perlu melabelkan tong-tong kitar semula dengan perkataan, bukan lagi sekadar lambang dan simbol. Ternyata simbol yang terdapat pada setiap tong tidak banyak membantu kerana masih terdapat remaja, malah masyarakat yang keliru dan tersalah meletakkan bahan buangan ke dalam tong lain. Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula di sekolah ialah, surat khabar, kertas, tin aluminium, botol minuman plastik, dan kaca. Hal ini secara tidak langsung menjimatkan sumber dan mengelakkan penerokaan serta penebangan hutan secara berleluasa.



.......Seperti yang kita sedia maklum, remaja cukup sinonim dengan hiburan. Malahan, ada di antara mereka yang menjadikan artis popular sebagai idola. Sudah terang lagi bersuluh, atas dasar itulah kementerian perlu memanfaatkan situasi ini dengan sebaik mungkin. Sudah tiba masanya lagu kitar semula digubah dan dinyanyikan oleh artis popular tanah air. Lantaran itu, ceramah yang diadakan di sekolah boleh disampaikan oleh duta alam sekitar yang dilantik daripada kalangan artis. Meskipun begitu, artis yang dilantik perlu mempunyai ilmu dan minat yang mendalam terhadap pelestarian alam sekitar. Kita tidak mahu remaja hanya berhibur, sedangnya nilai kecintaan terhadap alam sekitar dikesampingkan. Sesungguhnya, kerajaan perlu mendapat pencerahan dalam memastikan pembenihan cinta akan alam sekitar dibugarkan dengan cara bilazim supaya pencambahan itu dapat dilakukan dengan lebih segar.



.......Sebagai intiha, pelestarian alam sekitar sebenarnya bukan bermula di bangku sekolah, sebaliknya harus disemai, dibaja dan disiram di rumah. Lebih-lebih lagi, tidak mungkin kayu yang bengkok mampu menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Atas dasar itu, ibu bapa perlu mencitrakan perlakuan yang boleh dijejaklangkahkan oleh anak-anak. Kerajaan dan guru hanya melengkapkan pengisian yang telah dicurahkan semasa anak-anak di rumah. Ingatlah, alam ini hanya pinjaman daripada generasi mendatang. Lantaran itu, seandainya semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil pencemaran alam sekitar hanya menjadi kenangan.



KESAN BENCANA ALAM

Telitikan gambar rajah di bawah ini, kemudian berikan pendapat anda tentang kesan-kesan bencana alam kepada negara. Panjangnya pendapat anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Kesan Bencana Alam
1. Ekonomi sesebuah negara terjejas
2. Meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan
3. Kemusnahan harta benda dan hilang mata pencarian


Contoh Jawapan:


.......Bencana alam dapat didefinisikan sebagai kejadian yang tidak terduga, yang berlaku sama ada disebabkan oleh manusia ataupun berlaku secara semula jadi. Antara contoh bencana alam ialah letusan gunung berapi, banjir, tanah runtuh, tsunami, gempa bumi, kemarau dan sebagainya. Belakangan ini, bencana alam sering menjadi topik hangat yang dihebahkan melalui dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Antara contoh bencana alam yang pernah dilaporkan di Malaysia ialah runtuhan di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa dan tsunami di Pulau Pinang. Persoalannya, apakah kesan-kesan bencana alam yang sering kali menjadi bualan masyarakat ini?

.......Kesan perdana yang dihadapi oleh sesebuah negara yang dilanda bencana alam ialah ekonomi sesebuah negara terjejas. Apabila bencana alam berlaku, banyak kemusnahan yang dilaporkan, antaranya infrastruktur, pejabat, kawasan pertanian, pusat perindustrian dan sebagainya. Sebagai contoh, tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini telah memaksa negara Matahari terbit itu membelanjakan berbilion-bilion yen untuk membina prasarana yang baru. Malahan, perbelanjaan yang besar juga perlu dilakukan bagi menyelamatkan mangsa bencana alam dengan cara memberi bantuan kecemasan dan menyediakan tempat tinggal yang selamat.

.......Selain itu, bencana alam juga meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan. Kata orang, malang tidak berbau. Dalam kejadian bencana alam seperti tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada 22 November 2002, empat nyawa yang dilaporkan terkorban. Barangkali itu angka yang cukup kecil jika dibandingkan gempa bumi yang berukuran 8.9 pada skala Ritcher yang mengorbankan nyawa melebihi 11,000 orang pada 26 Disember 2004. Dalam kejadian ini, banyak mangsa mati kerana ditimpa runtuhan bangunan dan dihempap pokok, tidak kurang juga dilemaskan oleh ombak ganas yang menggila. Keadaan ini tentunya menyebabkan ahli keluarga mangsa meratapi kematian mangsa bencana alam.

.......Di samping itu, bencana alam turut menyebabkan kemusnahan harta benda dan hilang mata pencarian bagi penduduk setempat. Laporan akhbar sering kali menunjukkan foto-foto tempat tinggal mangsa yang musnah dek kejadian bencana yang tidak disangka ini, sekali gus meranapkan barang berharga di dalam rumah. Sebagai contoh lainnya, kejadian ombak besar atau dalam bahasa Jepun, tsunami, telah menyebabkan Banda Acheh dan pantai Phuket menjadi sepi daripada kunjungan pelancong. Temu bual yang dilakukan dengan penduduk setempat, mereka menyatakan bahawa tempat itu tidak lagi menjadi destinasi pelancongan seperti sebelum petaka itu berlaku. Lantaran itu, penduduk setempat yang majoritinya bergantung kepada pelancongan sebagai sumber pendapatan terjejas teruk seterusnya menjatuhkan pendapatan negara Indonesia dan Thailand pada tahun tersebut.

.......Akhir kalam, bencana alam sememangnya memberikan impak yang buruk kepada semua orang. Oleh itu, semua pihak perlu bersinergi dalam memastikan musibah ini dapat dihindari. Disarankan supaya kerajaan perlu memasang sistem pengesanan bencana alam seperti yang dilakukan di beberapa buah negara maju, tamsilnya di Jepun dan Amerika Syarikat. Oleh sebab petaka ini sukar diramal, maka lebih baik kita ‘sediakan payung sebelum hujan’ kerana tidak guna ‘sudah terhantuk baru hendak terngadah’.

Tuesday, July 5, 2011

LANGKAH MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA


PMR



.......Mayapada, sektor pertanian semakin dipandang enteng oleh masyarakat. Terdapat pelbagai langkah yang perlu dilakukan untuk memajukan sektor pertanian negara.



.......Langkah perdana adalah dengan membantu petani memasarkan hasil, misalnya melalui organisasi FAMA. Pasar tani pula merupakan landasan kepada petani untuk menjual hasil tuaian mereka.



.......Selain itu, pihak bank perlulah memudahkan urusan pinjaman modal dengan memendekkan masa kelulusan pinjaman. Bahkan, kadar faedah juga perlulah diturunkan.



.......Di samping itu, kerajaan wajar memberikan insentif kepada petani seperti wang, subsidi baja dan racun serangga serta alatan pertanian. Petani yang berjaya pula perlu diberikan pengiktirafan contohnya memberi sijil penghargaan dan wang tunai.



.......Konklusinya, usaha yang bersepadu perlulah digerakkan oleh semua pihak. Saya begitu optimistik dengan kelebihan Malaysia seperti kecocokan iklim dan kesuburan tanih, pertanian mampu menjana pendapatan lumayan.



[120 patah perkataan]





SPM



.......Benarlah kata orang, sekali bah melanda, sekali itu jugalah pantai akan berubah. Begitu juga situasi yang dapat dilihat kepada sektor pertanian negara. Semasa pemerintah Tun Dr Mahathir Mohamed, ekonomi berasaskan perindustian dititikberatkan. Namun, apabila tampuk pemerintahan bertukar tangan kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, sektor pertanian kembali mendapat tempat. Hal ini demikian kerana pertanian mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara, selain menawarkan peluang pekerjaan serta menjadi sekuriti bekalan makanan rakyat. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk memajukan sektor ini?




.......Strategi perdana untuk memacu sektor ini ke tempat yang lebih depan adalah dengan membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka. Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah menghulurkan tangan untuk membantu golongan petani, khususnya petani kecil yang terdapat di desa terpencil. Bagi menyambung hayat rezeki, kerajaan telah mewujudkan satu organisasi khas, iaitu FAMA bagi membantu petani untuk memasarkan hasil tani mereka kepada masyarakat. Selain itu, kerajaan telah membuka ruang untuk petani bagi menjual hasil tuaian mereka, iaitu melalui kewujudan pasar tani di seluruh pelosok negara.


.......Bukan itu sahaja, kerajaan telah memberi insentif yang pelbagai kepada petani supaya sektor ini dapat berkembang pesat kembali. Ibarat ingin mengembangkan bunga di taman, perlulah ditaruh baja yang banyak. Begitulah ibaratnya dengan cara untuk memajukan sektor ini. Realitinya, kerajaan telah banyak memberikan bantuan modal kepada petani di negara ini. Sebagai tamsilannya, sumbangan wang tunai, subsidi biji benih dan racun serangga, bantuan baja kimia yang berkualiti, serta jentera mampu membuatkan petani tradisional meraih pendapatan yang lumayan kerana hasil yang dituai lebih produktif. Bagi petani yang bergelar usahawan berjaya, saban tahun kerajaan menyediakan platform untuk mengiktiraf kerja keras mereka dengan menganugerahi mereka sijil penghargaan dan wang tunai bagi menyuntik semangat mereka untuk terus giat membangunkan bidang ini. Dengan cara ini juga, petani lain akan lebih bermotivasi untuk menurut jejak langkah mereka yang telah berjaya.



.......Di samping itu, pihak bank perlu memudahkan urusan pinjaman modal. Banyak petani yang mengeluh kerana tempoh kelulusan pinjaman yang begitu panjang, sementelahan prosedur untuk membuat permohonan terlalu rumit. Pemohon perlu mengisi pelbagai borang dengan perlu mendapatkan sokongan beberapa pihak sebelum diluluskan. Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan menjalinkan usahasama dengan bank tertentu untuk membantu golongan petani. Sebagai contohnya, Bank Rakyat telah menawarkan kemudahan pinjaman yang luwes yang diyakini dapat membantu petani membuat urusan lebih lancar. Bahkan, kadar faedah perlulah diturunkan kepada satu tingkat yang maksimum, misalnya pada tahap 1.0 peratus. Oleh itu, petani tidak pula terbeban dengan hutang yang akhirnya mematikan semangat mereka untuk memajukan sektor ini.



.......Selain itu, kerajaan wajar memanfaatkan penggunaan teknologi tinggi dalam proses pembangunan sektor ini. Tujuannya adalah untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan selain memantapkan produktiviti melalui penggunaan sumber yang optimum. Dalam hal ini, penggunaan jentera dilihat cukup membantu petani, terutamanya bagi petani yang mengusahakan pertanian ladang seperti padi sawah, kelapa sawit dan lada hitam. Di samping menjimatkan tenaga dan masa, penggunaan jentera juga mampu mengeluarkan hasil yang lebih memberangsangkan. Dalam arus globalisasi, sudah tiba masanya kerajaan menjinakkan petani supaya memasarkan hasil tani mereka melalui jaringan internet. Natijahnya, pemanfaatan usaha ini membolehkan pemasaran hasil bukan sahaja meliputi pasaran domestik, malah menjangkau pasaran luar negara.


.......Intihanya, sinergi yang bersepadu perlulah digerakkan semaksimum mungkin bagi memastikan sektor pertanian menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK) seperti suatu ketika dahulu. Saya begitu optimistik, dengan segala kelebihan yang kita miliki seperti iklim khatulistiwa yang cocok dengan banyak jenis tanaman dan tanih yang subur, sektor pertanian bisa menunjangi pembangunan negara. Perlu diingat, kita bukan meminggirkan sektor perindustrian secara total. Kata orang, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis’, kerana target mencapai penduduk seramai 70 juta orang memerlukan sekuriti bekalan makanan yang mencukupi. Adakah dengan mengimport bekalan makanan dapat menampung kadar pertumbuhan penduduk yang begitu pesat sekali gus mengimbangi imbangan pembayaran negara? Tepuk dada, tanya minda.




Sunday, July 3, 2011

KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN KEPADA NEGARA

Berdasarkan rajah di bawah, berikan pendapat anda tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara. Panjangnya karangan anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.


KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN


1. Memastikan bekalan makanan mencukupi

2. Menyediakan peluang pekerjaan

3. Menjana pendapatan negara dan masyarakat


...........Sektor pertanian pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum kebangkitan era kegemilangan perindustrian yang dibawa oleh arus pemerintahan Tun Dr Mahadhir Mohamed melalui Dasar Perindustrian. Sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan, Malaysia mengerjakan pelbagai tanaman komersial seperti padi sawah, kelapa sawit, lada hitam dan nanas. Walaupun begitu, kepentingannya tidaklah diabaikan sepenuhnya kerana beliau telah melancarkan Dasar Pertanian Negara yang sebenarnya menjadi garis panduan kepada pembangunan sektor ini. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pertanian kepada negara sehingga mendesak kerajaan memajukannya?


...........Kepentingan perdana sektor ini adalah untuk menjadi sekuriti bekalan makanan yang cukup kepada masyarakat. Malaysia antara negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Oleh hal yang demikian, kerajaan berusaha menghasilkan padi dua kali setahun untuk menampung permintaan masyarakat, selain berusaha mengurangkan import beras dari Thailand. Realitinya, kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada negara luar, memandangkan padi sawah boleh ditanam di negara ini. Maka, tidak menghairankan apabila kerajaan telah berusaha bagai air mencari jenisnya supaya padi dapat ditanam lima kali setahun sejak tahun ini. Tambahan pula, kadar pertumbuhan penduduk negara kita yang semakin pesat mendesak sektor ini tidak boleh dipandang enteng.


...........Selain itu, sektor ini mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada rakyat di negara kita. Sejak zaman nenek moyang kita, pertanian merupakan pekerjaan warisan yang menjana ekonomi keluarga, khususnya. Di negara membangun seperti Malaysia, sektor pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Perlu diingat bahawa definisi pekerjaan dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan pemasaran. Realitinya, masyarakat desa sememangnya bergantung harap kepada sektor ini memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang mudah didapati. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional. Tegasnya, sektor ini boleh diibaratkan bulan jatuh ke riba kepada golongan kurang terpelajar untuk tidak bergelar penganggur.


...........Bukan itu sahaja, yang lebih penting lagi ialah sektor ini mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara dan petani. Seperti yang kita sedia maklum, iklim dan tanih yang sesuai mampu memberikan pulangan yang lumayan. Hasil tani yang dituai oleh petani kecil-kecilan dapatlah dijual kepada pemborong dengan harga yang berpatutan untuk dijadikan penyambung rezeki. Bagi tanaman komersial pula, negara akan menambahkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengeskportan tanaman seperti kelapa sawit dan lada hitam. Secara tidak langsung, pengaliran wang ke luar negara dapat dikurangkan, di samping menimbangi imbangan pembayaran negara melalui hasil eskport yang semakin bertambah. Ringkasnya, dengan adanya sinergi yang hebat, industri ini mampu menjadi penyumbang terbesar seperti suatu ketika dahulu.


...........Konklusinya, sektor pertanian perlulah digerakkan kembali dengan menaruh beberapa strategi yang mampan supaya segala kemaslahatannya dapat dinikmati masyarakat Malaysia keseluruhannya. Saya begitu optimistik dengan segala kelebihan yang kita ada, industri pertanian pasti mampu memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara. Realitinya, dijangkan pada tahun 2050 sekiranya telaga minyak yang baharu tidak dijumpai, maka hasil petroleum akan kehabisan seterusnya menganggu pengeluaran dalam sektor perindustrian. Akhir kata, slogan ‘Pertanian Satu Perniagaan’ perlulah diselami maknanya dengan lebih mendalam.

Saturday, July 2, 2011

PUNCA PENCEMARAN UDARA

Fenomena jerebu telah menjadi masalah global sejak dua puluh tahun yang lalu.

Huraikan punca-punca yang mendorong masalah ini berlaku.


Pendahuluan :
- Pencemaran udara berlaku apabila udara mengandungi bahan-bahan terampai atau habuk halus yang tidak lagi selamat untuk dihidu oleh manusia.
- Pada tahun 1998, Malaysia telah mengalami pencemaran udara yang teruk, iaitu apabila Indeks Kualiti Udara dilaporkan melepasi aras berbahaya.
- Mudahnya, udara dikatakan tercemar apabila kualiti udara bersih semakin berkurangan.
- Antara bahan yang boleh menyebabkan kualiti udara merosot ialah karbon monoksida, asap, dan plumbum.
- Sebenarnya, terdapat pelbagai punca yang mendorong kepada permasalahan ini.



Isi 1 : Asap kilang dan kenderaan
- negara menuju negara maju yang dilambangkan melalui aktiviti perindustrian
- asap kilang dilepaskan terus ke udara tanpa menapisnya terlebih dahulu
- kuasa beli pengguna meningkat – mampu membeli kenderaan
- plumbum yang dilepaskan ke udara boleh menjejaskan fungsi pernafasan manusia



Isi 2 : Pembakaran terbuka
- tempat pembuangan sampah dan tempat pelupusan sampah – membakar sampah sarap
- pembakaran sisa pertanian selepas musim menuai – di Kedah – petani membakar jerami padi
- membersihkan tapak pertanian – orang Asli – cara paling mudah dan cepat



Isi 3 : Fenomena alam
- letusan gunung berapi – Gunung Merapi di Indonesia – membebaskan asap tebal
- fenomena El-Nino – menjadikan suhu bumi terlalu panas
- tanah gambut mudah terbakar – membebaskan asap yang banyak – pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan suatu tika dahulu disebabkan oleh faktor ini



Isi 4 : Pembangunan yang pesat
- proses mendirikan bangunan baru – menyebabkan habuk berterbangan
- terutamanya di laluan lori pasir yang membawa habuk melayang ke udara
- cuaca panas yang melampau memudahkan habuk berterbangan – pihak pemaju tidak mahu membasahkan jalan yang berhabuk



Penutup :
- semua pihak perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing
- perlu ada mekanisme yang praktis dan drastik bagi menyelesaikan masalah ini – penguatkuasaan undang-undang terhadap kilang yang membebaskan asap yang banyak
- kempen perkongsian kenderaan dan pengangkutan awam yang lebih agresif
- sediakan payung sebelum hujan kerana tidak guna sudah terhantuk baru hendak terngadah