Thursday, September 29, 2011

RENCANA: USAHA MENJAGA KEBERSIHAN SUNGAI (LAUT)

Pencemaran Sungai: Perlu Dinoktahkan Segera
Oleh: Roslan bin Daud


.....Sungai merupakan anugerah daripada Tuhan yang tidak ternilai. Mencemarkan sungai bermaksud kita tidak bersyukur dengan nikmat kurniaan Tuhan. Mayapada, sungai di Malaysia semakin tercemar teruk seperti Sungai Tiram, Sungai Klang dan Sungai Perak. Hal ini disebabkan oleh kegiatan perindustrian dan pembangunan yang kian rancak di pinggir sungai ‘bagai cendawan tumbuh selepas hujan’. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang patut dilakukan bagi menjaga kebersihan sungai di negara kita?

.....Antara usaha perdana adalah melalui penguatkuasaan undang-undang. Kementerian Alam Sekitar perlu membuat pemeriksaan secara mengejut kepada penduduk berhampiran sungai. Disarankan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat yang menjadi tumpuan penduduk membuang sampah sarap perlu dilakukan. Pihak berkuasa tempatan pula perlu mengenakan denda atau saman kepada kilang yang menyalurkan sisa toksik terus ke dalam sungai. Jika masih ingkar, mereka wajar diberikan pengajaran dengan cara menyita harta syarikat seterusnya melumpuhkan operasi kilang mereka.

.....Selain itu, kempen Cintai Sungai Kita perlu digiatkan ke seluruh pelosok negara. Penyebaran informasi tentang kesan mencemarkan sungai bukan sahaja dilakukan melalui kaca televisyen tetapi juga perlu dilakukan di radio dan media cetak seperti akhbar arus perdana. Ceramah dan pengedaran risalah tentang penjagaan kebersihan sungai dan impak pencemaran sungai juga boleh dilakukan di kawasan perumahan supaya masyarakat sedar akan tabiat buruk membuang sampah sarap ke dalam sungai. Kini, penggunaan internet juga dilihat sebagai senjata baru dalam memastikan kempen yang dicanang berjaya membekas di hati masyarakat.

.....Di samping itu, sekolah juga boleh memainkan peranan melalui pendidikan kesedaran. Guru-guru perlu menyelitkan kepentingan memeliharan kebersihan sungai melalui mata pelajaran yang sesuai seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Geografi dan Sains. Realitinya, mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sudah mampu menyemai perasaan cinta akan sungai dalam diri anak-anak. Benarlah kata bijak pandai dahulukala, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Jika anak-anak ini dapat dipupuk dengan rasa tersebut, maka masalah pencemaran sungai tentu dapat dinoktahkan pada masa hadapan memandangkan merekalah generasi yang akan meneruskan legasi kehidupan.

.....Seterusnya, penduduk setempat melalui rukun tetangga perlu mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan sungai. Umpamanya, penduduk boleh mengutip plastik, botol dan kayu yang ada di dalam sungai. Malah, sepanjang sungai boleh dibina laluan pejalan kaki dan taman yang dihiasi oleh jajaran pokok bunga. Jadi, secara tidak langsung, sungai menjadi kawasan rekreasi untuk penduduk. Dengan cara ini, penduduk lebih menghargai kewujudan sungai dalam kehidupan mereka.

.....Akhir kalam, usaha menjaga kebersihan sungai menuntut sinergi yang bersepadu daripada segenap lapisan masyarakat. Sekiranya sungai semakin tercemar, hidupan akuatik bukan sahaja terancam tetapi kita juga turut menerima tempias yang sama. Hal ini demikian kerana sumber air bersih semakin berkurang. Kita tidak mahu generasi akan datang tidak dapat menikmati segala keindahan sungai. Ingatlah, alam ini merupakan pinjaman generasi mendatang, dan kita hanya pemegang amanah.


Sekiranya karangan mengajukan langkah memelihara dan memulihara kebersihan laut, isi ini juga boleh digunakan. Cuma, pelajar perlu menukar sungai kepada laut, juga contoh-contoh laut di Malaysia seperti Laut China Selatan, Selat Melaka dan Selat Johor.

CERAMAH: PUNCA DAN LANGKAH MENGATASI PENYAKIT DEMAM DENGGI

.....Selamat sejahtera saya ucapkan buat Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Keamanan Kampung (JKKK) Kampung Selayang Pandang, Encik Hamid bin Jalil, seterusnya penduduk kampung sekalian.

Hadirin yang dihormati,

.....Saya berasa cukup bertuah kerana dapat bertemu dengan penduduk kampung yang sudi meluangkan masa untuk mendengar ceramah saya yang bertajuk ‘Punca dan Langkah Mengatasi Penyakit Demam Denggi’. Saya cukup yakin, penduduk kampung ini cukup arif dengan perkataan demam denggi dan nyamuk aedes. Spesis nyamuk aedes cukup mudah untuk dikenali, iaitu mempunyai kaki dan badan yang berjalur hitam putih selain aktif pada waktu pagi dan petang. Nyamuk ini boleh menyebarkan wabak demam denggi hanya melalui gigitan. Kes demam denggi pernah menjadi serius pada tahun 2010 dengan mencatatkan kematian sebanyak hingga 45 kes sehingga Oktober tahun tersebut.

.....Persoalannya, bagaimanakah kita tahu bahawa diri kita mahupun orang terdekat dijangkiti wabak ini? Pertama, mereka yang dijangkiti akan diserang demam panas secara mengejut. Selain itu, terdapat juga binti-bintik merah dan sakit sendi di seluruh anggota badan pesakit. Mereka yang dihinggapi penyakit ini juga akan sering loya dan muntah-muntah. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka hilang selera makan dan kuantiti air dalam tubuh. Jika keadaan ini berlarutan, maka tidak mustahil mereka akan kurus kering. Realitinya, pesakit hanya akan menganggap demam itu adalah biasa. Tanggapan ini menyebabkan mereka membiarkannya tanpa menyedari bahawa penyakit itu boleh membawa maut jika lambat diselamatkan.

Sidang dewan yang dikasihi,

.....Apakah pula punca-punca yang menyebabkan wabak denggi mudah merebak? Realitinya, persekitaran yang kotor dengan tin-tin, botol-botol, tayar kereta dan tempurung kelapa menjadi sarang buat pemangsa ini. Untuk makluman, telur nyamuk aedes boleh bertahan selama seminggu sekiranya air dalam bekas-bekas tersebut telah kering. Bayangkan, adakah dalam seminggu itu hujan tidak turun? Selain itu, kawasan yang ditakungi air seperti pasu bunga, kolah, dan saluran di bumbung juga menjadi kawasan pembiakan pilihan nyamuk aedes.

.....Jadi, apakah yang perlu kita lakukan untuk mencegah wabak denggi ini? Langkah mudah, luangkan masa 10 minit seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah. Antara tempat yang perlu diberikan perhatian ialah longkang, saluran hujan, kolah, dan pasu bunga. Bahan-bahan terbuang seperti tin, botol, tayar kereta dan tempurung kelapa elok ditanam. Bagi barang yang boleh menakung air dan masih berguna, pastikan diletakkan dalam keadaan terbalik. Apa salahnya jika keluarga meluangkan masa untuk membersihkan persekitaran rumah?

Hadirin yang dimuliakan,


.....Selain itu, kita perlu memberikan kerjasama kepada pihak yang datang menyembur racun atau ‘fogging’ di kawasan perumahan. Adakah anda tahu bilakah semburan akan dilakukan? Sebaik sahaja menerima aduan berhubung kes denggi di tempat anda, semburan akan dilakukan secara berkala. Hal ini bagi memastikan telur nyamuk aedes akan musnah dengan semburan racun tersebut. Oleh itu, pastikan anda menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan asap semburan itu masuk ke dalam rumah. Siapa tahu anda nyamuk aedes sedang membiak di sekitar tempat tinggal anda tanpa pengetahuan sendiri? Jadi, tindakan ini akan boleh menyelamatkan anda seisi keluarga.

.....Bagi individu yang mengalam simptom-simptom yang disebutkan, usah takut untuk datang merujuk ke hospital atau klinik berhampiran. Doktor akan mengambil sampel darah dan mengujinya sama ada anda benar-benar dihinggapi wabak tersebut atau tidak. Suntikan vaksin pelali dapat menguatkan daya tahan tubuh dan antibodi bagi melawan serangan wabak denggi. Jika pesakit berada dalam kondisi tidak stabil, maka dia akan ditahan dan dirawat di hospital selama beberapa minggu. Keadaan ini membolehkan pesakit melawan vektor penyakit denggi melalui suntikan yang diberikan oleh doktor.

Saudara dan saudari sekalian,

.....Bagi pengguna yang mempunyai kolah dan tempat yang ditakungi dengan air, penggunaan ubat jentik-jentik juga berkesan. Ubat yang mudah larut ini boleh didapati daripada klinik dan hospital yang berhampiran. Di samping meletakkannya ke dalam kolah, ubat ini juga sesuai diletakkan di saluran hujan. Bagi penduduk yang alah dengan gigitan nyamuk, penggunaan kelambu juga amatlah digalakkan. Kelambu juga dapat mengelakkan gigitan nyamuk seterusnya mengelakkan ahli keluarga menjadi korban virus denggi ini. Benarlah kata peribahasa, sebelum ‘nasi menjadi bubur’, eloklah kita berjaga-jaga kerana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

.....Sesungguhnya, angka kes yang dilaporkan pasti akan meningkat dari sehari ke sehari andainya tiada langkah proaktif yang dilakukan di rumah. Tiada guna Kempen Hapuskan Aedes jika masyarakat memandang enteng akan pelaksanaannya. Ingatlah, 10 minit penentu sama ada selamat atau tidak anda sekeluarga. Saya akhiri ceramah saya dengan serangkap pantun:
.....Subur merimbun cili api,
........Dipetik sedahan oleh kera;
.....Kalau persekitaran dijaga rapi,
........Denggi dihindar, diri sejahtera.

LANGKAH MENGERATKAN HUBUNGAN KEJIRANAN

.....Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Walaupun khalayak sedia maklum akan kepentingan semangat kejiranan, namun masih ramai dalam kalangan masyarakat yang memandang enteng akan kepentingannya. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar ‘seperti aur dengan tebing’. Dasawarsa ini, hubungan sesama jiran semakin renggang ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh merapatkan hubungan yang semakin renggang ini?

.....Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat kejiranan, antaranya adalah dengan menghidupkan kembali konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga merupakan satu badan yang berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan, terutamanya pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang secara tidak langsung mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Ketidaksamaan taraf sosial dapat dilupuskan melalui rukun tetangga kerana dalam konsep badan ini, semua orang berada pada martabat yang sama, seperti kata orang tua, ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’.

.....Selain itu, kita juga perlu menyuburkan kembali amalan bergotong-royong. Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran, bak kata peribahasa ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

.....Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri.

.....Malahan, hubungan kejiranan dapat dipererat melalui aktiviti menziarahi jiran tetangga. Amalan ziarah-menziarahi dan bertanya khabar dapat menyemarakkan rasa prihatin. Umpamanya, apabila jiran ditimpa kemalangan, dan ada kematian, kunjungan jiran tetangga sedikit sebanyak dapat mengurangkan rawan yang bersarang dalam lubuk hati. Apabila berkunjung, usah lupa membawa ‘buah tangan’ seperti buah-buahan, manisan atau hadiah sebagai tanda ingatan. Kata orang, ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’.

.....Intihanya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari peri pentingnya semangat tersebut dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat kejiranan juga penting dalam konteks negara kita sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa. Dengan itu, penyuburan semangat kejiranan yang kental dapat membantu usaha-usaha perpaduan negara yang selama ini menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan keharmonian negara. Marilah kita sama-sama mempraktikkan slogan ‘jiran sepakat membawa berkat’ ini dalam kehidupan berjiran agar negara kita terus aman dan harmoni sepanjang masa. Saya cukup optimistik, sekiranya kepincangan dalam membentuk semangat kejiranan dalam dibedah dan dibubuh ubat yang mujarab, sudah tentu kesejahteraan yang diidamkan selama ini akan terus meronai pembangunan negara.


Sekiranya soalan langkah memupuk semangat perpaduan antara kaum, isi yang sama juga boleh digunakan. Bezakanya, pelajar hanya perlu menukarkan frasa 'semangat kejiranan' kepada 'semangat perpaduan'.

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

.....Pelajar cemerlang merupakan gelaran idaman setiap pelajar. Persoalannya, apakah ciri-ciri pelajar cemerlang?

.....Pelajar cemerlang biasanya dilihat dari segi pencapaian akademik. Biasanya, mereka mendapat keputusan yang baik dalam ujian dan mempunyai kecerdasan yang tinggi.

.....Selain itu, pelajar cemerlang memiliki sahsiah terpuji. Mereka unggul dalam tingkah laku dengan mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan sehingga layak diberi anugerah Sahsiah Terpuji.

...Bahkan, mereka juga memiliki daya kepimpinan yang tinggi. Realitinya, mereka akan menerajui pucuk kepimpinan kokurikulum seperti badan beruniform dan berani bertutur di khalayak, misalnya berpidato.

.....Akhir sekali, pelajar cemerlang juga diukur dari segi kecergasan di padang. Mereka selalu menjuarai pertandingan sukan dan memiliki stamina yang baik.

.....Kesimpulannya, pelajar cemerlang perlu mempunyai kecemerlangan secara holistik. Namun, tidak guna bijaksana dalam pelajaran, namun dungu dalam tindakan.

(121 patah perkataan)

CIRI-CIRI SEKOLAH SELAMAT

.....Sekolah selamat bermaksud sekolah yang berada dalam keadaan yang aman. Terdapat pelbagai ciri sekolah selamat.

.....Antaranya adalah dengan mempunyai sistem kawalan keselamatan. Realitinya, pintu utama akan diawasi oleh pengawal, selain mereka akan meronda sekolah.

.....Selain itu, setiap kelas mempunyai pelan arah kebakaran. Pelan ini membolehkan pelajar tahu tempat berkumpul dan memudahkan guru menyemak bilangan pelajar.

.....Malahan, pihak sekolah perlu menyediakan pengawal lalu lintas yang boleh terdiri daripada ahli Kelab Keselamatan Jalan raya. Tindakan ini penting untuk mengawal lalu lintas seterusnya mengelakkan kemalangan.

.....Seterusnya, setiap blok perlu dibekalkan alat pemadam kebakaran. Alat ini mustahak untuk memadamkan api. Bahkan, penggunaannya perlu diajar kepada warga sekolah.

.....Sesungguhnya, sekolah selamat amat penting dalam mewujudkan suasana yang harmoni. Benarlah kata orang, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.


(119 patah perkataan)

KEPENTINGAN INTERNET DALAM KEHIDUPAN MANUSIA ZAMAN INI (Ting 1, hal.35)

Pendahuluan
- Internet bermaksud rangkaian dari satu komputer ke komputer yang lain
- Internet memberi seribu satu manfaat kepada manusia jika digunakan dengan baik
- Persoalannya, apakah kepentingan internet dalam kehidupan manusia zaman ini?

Perniagaan
- Pesanan dilakukan atas talian tanpa memerlukan pengguna bersesak-sesak di pasar raya atau kedai
- Pelanggan hanya perlu klik sebagai tanda bersetuju untuk membeli barangan tersebut
- Contohnya, zaman ini perniagaan atas talian semakin berkembang dengan penjualan bermacam-macam jenis barangan termasuklah pakaian, makanan dan keperluan sampingan

Perkhidmatan
- Memudahkan dan menjimatkan masa – tidak perlu beratur panjang
- Misalnya, pelancong boleh menempah tiket kapal terbang hanya perlu melayari internet
- Contoh lain, masyarakat boleh membayar bil elektrik, air dan telefon bimbit hanya menggunakan perkhidmatan Maybank2u yang disediakan oleh Maybank

Pendidikan
- Menyahut konsep pembelajaran sepanjang hayat
- Masa pembelajaran lebih fleksibel – bila-bila masa boleh belajar
- Pelajar mencari maklumat di laman sesawang – menambahkan pengetahuan
- Contohnya, kuliah Open University hanya dilakukan menggunakan kaedah e-learning, iaitu belajar secara atas talian
- Umpamanya, sekolah bestari yang diperkenalkan turut mengaplikasikan penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran

Perubatan
- Dengan kemudahan teleperubatan, pesakit tidak perlu datang ke hospital
- Sebagai contoh, teleperubatan membolehkan data pesakit, gambar radiograf dan gambar video endoskop dihantar menggunakan jaringan internet
- Pakar perubatan boleh menggunakan telekonferens video untuk membimbing , menasihati dan memberi tunjuk ajar kepada doktor pelatih di klinik perubatan desa

Pentadbiran
- Kewujudan bandar pintar seperti di Putrajaya dan Cyberjaya
- Penghantaran tugasan dan laporan serta perkongsian fail hanya dilakukan menerusi e-mel atau mel elektronik
- Sebagai tamsilnya, sistem pentadbiran di Putrajaya mengaplikasikan penggunaan internet sepenuhnya

Penutup
- Teknologi dicipta untuk memudahkan manusia
- Penyalahgunaan internet seperti jenayah internet, penggodaman, gangguan seksual di laman sosial dan sebagainya perlu dihindari
- Dijangka pada masa hadapan, semua urusan akan melalui penggunaan internet

LANGKAH MENINGKATKAN HASIL PERTANIAN

Berikan pendapat anda tentang langkah meningkatkan hasil pertanian. Panjangnya karangan anda tidak melebihi 120 patah perkataan.


.....Sektor pertanian banyak memberi keuntungan kepada negara. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan bagi meningkatkan hasil pertanian.

.....Antaranya ialah kerajaan perlu membekalkan benih yang berkualiti supaya produktiviti lebih berganda. Kajian yang giat perlu dilakukan bagi menghasilkan baka yang tahan penyakit.

.....Selain itu, kerajaan perlu memberikan peralatan moden seperti menyediakan jentera moden. Di samping menjimatkan penggunaan tenaga manusia, alat ini juga mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

.....Bahkan, kerajaan harus menyediakan kawasan yang strategik bagi membantu petani memasarkan hasil, misalnya pasar tani. Malah, tapak pertanian juga boleh disediakan.

.....Seterusnya, kerajaan wajar membantu pengeluaran modal, misalnya memberi dana untuk petani yang baru berjinak-jinak dengan bidang ini supaya mereka lebih bermotivasi.

.....Ringkasnya, usaha yang holistik pasti mampu mengangkat sektor ini sebagai penyumbang utama pendapatan negara.


(122 patah perkataan)

LANGKAH MEMPERKENALKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh masyarakat.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi memperkenalkan warisan yang begitu bernilai ini?


.....Dahulu, permainan tradisional dijadikan sebagai alat hiburan bagi masyarakat Melayu setelah seharian penat bermandi peluh. Antaranya ialah wau, gasing, congkak dan konda-kondi. Kemudian, apabila masa berganti masa, semua itu telah terkakis daripada ingatan masyarakat, lantaran ibu bapa tidak mewarisinya kepada anak-anak. Kini, permainan tradisional seakan tidak lagi mempunyai tempat di hati masyarakat, khususnya dalam kalangan remaja. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional seperti waktu dahulukala?

.....Cara perdana ialah produk pelancongan ini boleh dibuat dalam bentuk buku, majalah, filem dokumentari dan sebagainya dan dipasarkan di pasaran tempatan mahupun di luar negara. Hal ini disebabkan oleh masyarakat kini lebih akrab dengan media elektronik seperti televisyen dan internet. Pengisiannya perlulah diteliti dengan memasukkan sejarah permainan, cara pembuatan, syarat permainan dan langkah permainan. Penerbitan ini perlulah dimanfaatkan dengan baik memandangkan cara ini sebenarnya merupakan proses membukukan sejarah warisan lampau dan boleh menjadi bukti pensejarahan yang mahal. Jelaslah, cara ini boleh meletakkan permainan warisan ini ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan permainan video pada masa ini.

.....Di samping itu, kerajaan juga boleh memasukkan permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah dan pusat pengajian tinggi. Oleh hal yang demikian, kerajaan perlu mewujudkan satu panel khas dalam mengkaji sukatan pelajaran yang baharu. Dengan kata lain, perlu ada satu badan perancang yang merencana segala agenda dengan berkesan dan bijaksana. Perlu diingat bahawa guru-guru yang mengajar perlu diberi kursus asas tentang teknik permainan supaya dapat diaplikasikan di sekolah. Ringkasnya, cara ini membolehkan remaja kini mengenali permainan tradisional dengan lebih dekat lagi.

.....Bukan itu sahaja, kerajaan boleh mempromosikan permainan tradisonal kepada negara luar melalui duta-duta yang berkhidmat di sana. Sebagai contoh, duta tersebut perlulah diberikan risalah dan pamplet tentang permainan tradisional yang menyertakan sejarah dan penerangan ringkas sesebuah permainan. Hal itu dikatakan demikian kerana, cara ini dapat memperkenalkan permainan tersebut kepada masyarakat luar dengan lebih berkesan. Misalnya, apabila berwisata ke Malaysia, sudah tentu pelancong akan mahu lebih dekat lagi dengan permainan tersebut. Tegasnya, promosi di luar negara juga dapat membantu masyakarat luar untuk mengenali warisan kita yang cukup unik.

.....Bahkan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Budaya perlu membuat pameran dan pertunjukan secara berkala dan tekal. Pameran ini mungkin boleh dilakukan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong. Kementerian juga perlu menjemput orang-orang yang mahir dan pakar dalam setiap permainan ini bagi menunjukkan cara pembuatan alat permainan dan juga teknik bermain setiap permainan. Sebagai tambahan, bengkel boleh dilakukan jika mendapat permintaan dan sambutan hangat daripada pengunjung. Diharapkan dengan langkah ini, mampu menjadikan permainan ini disuburkan kembali dalam era globalisasi dan teknologi ini.

.....Kesimpulannya, semua pihak perlu menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana warisan ini merupakan amanah bersama dan perlu dijaga oleh setiap lapisan masyarakat. Sekiranya langkah ini dilakukan secara sistematik, tidak mustahil kita dapat mengembalikan martabat permainan tradisional seperti dahulu kala. Perkara yang paling penting, usaha yang dilakukan usahlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’.

PERANAN REMAJA MENGURANGKAN MASALAH SOSIAL

Masalah sosial kini semakin meruncing. Oleh hal yang demikian, remaja selaku rakan sebaya mempunyai peranan dalam memastikan masalah ini dapat dikurangkan.

Bincangkan pernyataan di atas.


.....Dahulu, masalah sosial kurang diperkatakan dan menjadi buah mulut masyarakat. Kini, masalah ini semakin menjadi ‘duri dalam daging’ sehingga menimbulkan kegusaran hati banyak pihak. Antara masalah sosial yang biasa menjadi paparan di dada akhbar dan kaca televisyen ialah gengsterisme, vandalisme, melepak, ponteng sekolah, seks bebas dan penyalahgunaan dadah. Persoalannya, apakah peranan remaja dalam mengurangkan masalah sosial ini daripada terus meruncing?


.....Peranan perdana dalam mengurangkan masalah ini ialah remaja perlu bijak memilih rakan. Kajian mendapati bahawa masalah sosial banyak dipengaruhi oleh pengaruh rakan sebaya. Pilihlah rakan yang mempunyai peribadi yang baik, berjati diri yang kukuh dan berdisplin dalam semua aspek. Hal ini bagi memastikan kita dapat menjadikan mereka sebagai idola dan suri teladan. Kata orang, kalau memilih untuk berkawan dengan tukang besi, kita akan terkena asapnya manakala kalau memilih untuk berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan terkena wanginya. Jadi, ‘tepuk tanya, tanya selera’.

....Selain itu, remaja perlu menasihati rakan, sama ada yang baru mahu terlibat atau yang telah terlibat dalam kancah sosial. Dalam hal ini, kita perlu berhati-hati umpama ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak’ bagi mengelakkan ada rakan yang terguris hati. Kita perlu menceritakan keburukan dan akibat jika terlibat dalam masalah sosial seperti menggelapkan masa depan, terdedah dengan risiko tindakan tatatertib dan dicemuh oleh masyarakat. Jika khuatir, bolehlah mengusulkan rakan untuk berjumpa dengan kaunselor bagi mendapatkan nasihat dan panduan.

.....Di samping itu, memanfaatkan masa senggang dengan kegiatan yang berfaedah juga dapat mengurangkan remaja daripada terlibat dalam kancah tersebut. Remaja yang terlibat dalam masalah sosial ini sebenarnya tidak bijak merencanakan masa dengan baik. Disarankan, mereka mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, kenduri-kendara, dan menyertai kem motivasi dan jati diri. Selain dapat mengelakkan diri daripada salah haluan, mereka juga dapat bertukar-tukar pandangan dengan rakan yang lain.

.....Bukan itu sahaja, remaja perlu senantiasa berfikiran positif dan rasional dalam semua perkara. Kajian mendapati gejala seperti ponteng sekolah berlaku apabila remaja terlalu mengikut nafsu dan keseronokan, iaitu ingin mendapat kebebasan dan benci akan pelajaran. Untuk itu, remaja perlu merenung kembali tujuan dihantar untuk belajar, iaitu bagi mencerahkan masa depan dan melahirkan modal insan kelas pertama bagi menghadapi gelombang globalisasi dan cabaran alam pekerjaan. Oleh itu, buangkan semua keseronokan sementara dan terimalah balasannya pada dewasa kelak.

.....Bahkan, remaja perlu menetapkan matlamat hidup dengan jelas. Sebenarnya, remaja yang bermasalah tidak pernah tahu tujuan mereka hidup. Oleh sebab itu, mereka sewenang-wenangnya menghabiskan masa dengan melepak dan sebagainya. Seandainya mereka ada tujuan yang tetap, sudah pasti kehidupan mereka tidak disia-siakan kerana mereka tahu ‘masa itu emas’. Dengan cara ini juga, mereka akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita yang diidam-idamkan.

.....Secara holistiknya, masalah sosial perlu ditangani segera. Kerjasama semua pihak amat mustahak bagi memastikan masalah ini dapat diperangi hingga ke akar umbi. Dalam hal ini, masyarakat perlu mengambil sikap ‘menjaga tepi kain orang’ dan usah mengamalkan resmi ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Perkara yang lebih penting, pendidikan agama yang cukup boleh menjadi benteng yang ampuh dalam memastikan anak-anak dapat mengelakkan daripada terjebak dalam kancah yang tidak berpenghunjungnya ini.

Friday, September 16, 2011

AKTIVITI MEWUJUDKAN KELUARGA BAHAGIA

Sejak akhir-akhir ini, terdapat lebih banyak masalah sosial yang dikaitkan dengan kepincangan dalam hubungan kekeluargaan.

Pada pendapat anda, apakah aktiviti-aktivit yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan keluarga bahagia dapat diwujudkan.




.....Mayapada, hubungan kekeluargaan dilihat semakin renggang. Buktinya, pelbagai masalah sosial wujud dan dikatakan berpunca daripada kepincangan dalam hubungan kekeluargaan. Masalah komunikasi dan kurangnya kasih sayang menjadi faktor dominan kepada perlakuan di luar batas oleh remaja marcapada. Oleh itu, pelbagai aktiviti bersama perlu dijadikan amalan oleh setiap keluarga bagi memastikan hubungan kekeluargaan menjadi lebih intim.


.....Antaranya adalah dengan makan bersama-sama. Semasa penyediaan makanan, anak-anak boleh membantu ibu bapa selain mengurangkan jumlah masa makan di luar seperti di restoran makanan segera. Misalnya, anak-anak perempuan membantu ibu di dapur, sementara anak-anak lelaki menolong bapa mempersiapkan keperluan di meja makan. Dengan cara ini, ibu bapa dapat memupuk perasaan saling bergantung antara satu sama lain, sandar-menyandar ‘bagai aur dengan tebing’. Amalan ini juga membolehkan hubungan anak-anak dan ibu bapa menjadi bagai isi dengan kuku.



.....Selain itu, ibu bapa boleh pergi bercuti ke lokasi menarik ketika cuti sekolah. Selain memanfaatkan masa senggang dan mengelakkan anak-anak daripada melakukan kebejatan moral seperti melepak, vandalisme dan gengsterisme, percutian dalam mengurangkan kadar stres anak-anak di sekolah dan ibu bapa di pejabat. Sepanjang percutian, buatlah aktiviti sekeluarga yang menarik seperti berkelah, bermandi-manda di pantai, mendaki gunung, berfoto, menyelam di laut dan sebagainya, Melalui cara ini, anak-anak akan lebih rasa dihargai kerana kehadiran mereka disedari dan mempunyai fungsi dalam membahagiakan ibu bapa.



.....Malahan, ibu bapa perlu menemani anak-anak belajar dan mengulang kaji pelajaran. Walaupun sudah penat bergelut dengan kerja dan masalah di pejabat, ibu bapa harus meluangkan masa bagi tujuan ini. Anak-anak yang tidak faham sudah tentu akan mahu mencari rujukan. Bagi abang dan kakak yang mempunyai ilmu, maka boleh membantu adik-adik bagi menyiapkan tugasan. Apabila perkara ini berlaku, sudah tentu ibu bapa berjaya menzahirkan teladan yang baik terhadap keprihatinan dan keperluan anak-anak. Kajian menunjukkan ibu bapa yang menemani anak-anak belajar menunjukkan tahap motivasi untuk mereka belajar dengan tekun lebih tinggi.


.....Bukan itu sahaja, ibu bapa boleh meluangkan masa bagi menyelesaikan masalah anak-anak. Tidak dapat dinafikan, zaman remaja merupakan era penuh konflik bagi diri mereka, sama ada konflik dalam atau konflik luaran. Semua orang menyakini bahawa sifat ibu bapa ibarat ‘sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya’. Perubahan dalam diri anak-anak perlu usah dipandang enteng. Untuk itu, ibu bapa perlu memiliki kemahiran komunikasi dan pendekatan psikologi dalam memastikan anak-anak tidak takut dan malu untuk berkongsi masalah. Dengan cara ini, hubungan anak dan ibu bapa semakin erat kerana kepercayaa anak terhadap kemampuan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah mereka.


.....Sesungguhnya, kebahagiaan sebuah keluarga terletak pada kebijaksanaan nakhodanya, iaitu ayah. Seandainya nakhoda ini sering bertelagah dengan anak-anak kapal, maka sukar untuk sampai ke destinasi utama, iaitu pantai keluarga sakinah. Dengan wujudnya hubungan yang erat antara ahli keluarga, maka anak-anak akan lebih kurang untuk keluar rumah dan bercampur dengan kawan-kawan yang nakal. Kesannya, masalah sosial pasti tidak akan menjadi ‘duri dalam daging’ bagi keluarga yang bahagia.

KEPENTINGAN BANGUNAN BERSEJARAH KEPADA NEGARA

Bangunan bersejarah merupakan antara bahan sejarah yang begitu penting. Oleh itu, kerajaan telah bertindak memelihara dan memulihara bangunan ini.


Pada pendapat anda, apakah kepentingan bangunan ini kepada negara?

.....Bangunan bersejarah merupakan bangunan peninggalan daripada leluhur kita. Bangunan bersejarah lazimnya mempunyai signifikan dan ciri-ciri yang unik sehingga mampu dikagumi dan dilestarikan. Antara contoh bangunan bersejarah ialah Kota A’ Famosa di Melaka, Istana Menanti di Negeri Sembilan, dan Candi Lembah Bujang di Kedah. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan bangunan bersejarah ini sehingga perlu dikekalkan oleh kerajaan?

.....Antara kepentingannya adalah dapat menarik kedatangan pelancong. Bangunan bersejarah sememangnya mempunyai tarikan yang tersendiri, sehingga mampu memancing hati pelancong, bukan sahaja pelancong asing, malahan pelancong domestik. Lihatlah, betapa Kota Melaka yang terkenal dengan bangunan bersejarah yang berbagai-bagai rupa menyebabkan kunjungan pelancong ke Bandar raya Bersejarah itu tidak pernah surut. Disebabkan negeri ini mempunyai banyak bangunan bersejarah, UNESCO telah mengisytiharkannya sebagai harta warisan dunia yang perlu dipelihara. Secara tidak langsung, pengekalannya telah membantu negara menambahkan pendapatan negara.


.....Selain itu, bangunan bersejarah juga dapat mempamerkan estika dan keunikan seni binanya yang tersendiri. Sesungguhnya, setiap monumen bersejarah mempunyai gaya seni bina masing-masing, sama ada menerima pengaruh luar mahu pun dibina berdasarkan pengaruh tempatan. Misalnya, Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di depan Dataran Merdeka jelas memperlihatkan keindahan seni binanya melalui pengaruh Inggeris dan Islam. Uniknya, bangunan ini mempunyai menara jam yang didirikan di tengah-tengah bangunan. Begitu juga dengan bangunan Stesen Kereta api Tanah Melayu di Kuala Lumpur yang jelas menonjolkan ciri-ciri seni bina Islam melalui kubahnya seperti masjid.


.....Di samping itu, bangunan ini juga dapat mengimbau kembali sejarah negara. Dengan masih berdiri megahnya bangunan yang dibina semasa zaman penjajahan yang membawa air mata sengara dan derita, membolehkan masyarakat menginsafi perjuangan datuk nenek moyang kita yang bermatian-matian sehingga mengalirkan darah, bak kata peribahasa, ‘biar putih tulang, jangan putih mata’. Kota A’ Famosa umpamanya, mengingatkan kita Tanah Melayu dijajah pada tahun 1511 oleh Portugis dan menjadi penanda aras berakhirnya zaman kemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Dengan ini, kita akan lebih berhati-hati dalam menjaga kemerdekaan negara daripada dicabul oleh bangsa asing.



.....Bukan itu sahaja, bangunan ini juga dapat menonjolkan identiti sesuatu masyarakat. Biasanya, untuk mempersembahkan jati diri dan keunikan sesuatu kaum akan ditonjolkan melalui seni bina. Tamsilnya, Istana Menanti di Negeri Sembilan begitu jelas mempamerkan jati diri masyarakatnya yang dikatakan berasal daripada bangsa Minang. Lihatlah, bentuk bumbungnya yang mempunyai pengaruh Minangkabau. Tidak ketinggalan, Candi Lembah Bujang di Kedah juga memperlihatkan betapa penduduk zaman itu mempunyai pegangan yang kuat terhadap agama anutannya, iaitu agama Hindu.



.....Secara totalnya, bangunan bersejarah sememangnya membawa 1001 kepentingan kepada negara serta masyarakat seluruhnya. Oleh itu, semua pihak perlu sedar akan peranan masing-masing dalam usaha mengekalkan struktur dan nilai bangunan ini daripada dimusnahkan. Ahli sejarawan ada berkata, “Orang yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”. Oleh itu, peliharalah bangunan bersejarah supaya episod lara yang pernah dibawa oleh Portugis, British, Belanda, dan Jepun tidak berulang semula. Tidak bermakna bangunan yang telah berusia berates-ratus tahun ini perlu dirobohkan kerana dianggap sudah uzur. Sebaliknya, pewartaannya sebagai bangunan warisan perlu dilakukan oleh kerajaan dengan segera.

KEPENTINGAN HUTAN KEPADA KEHIDUPAN

Hutan semakin banyak ditebang kerana tuntutan pembangunan. Oleh itu, kerajaan telah bersungguh-sungguh memuliharanya daripada terus diceroboh.


Huraikan kepentingan memelihara hutan kepada kehidupan.




.....Hutan merupakan anugerah semula jadi yang tidak ternilai. Mayapada, hutan sering kali digondolkan kerana pembangunan yang kian rancak. Keadaan ini membawa 1001 masalah seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pemanasan global. Sesungguhnya, hutan menawarkan berbagai-bagai manfaat kepada kehidupan di muka bumi. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan hutan kepada manusia?



......Antara kepentingan perdana adalah untuk mengawal suhu bumi. Pokok mengeluarkan oksigen dan menyedut karbon dioksida. Apabila pokok banyak ditebang, maka keseimbangan antara kedua-dua gas itu telah tergugat. Maka tidak menghairankan apabila suhu bumi pada masa ini semakin meningkat. Jika hutan tidak dijaga, tidak mustahil suhu bumi boleh mencecah sehingga 40 darjah celcius.



.....Selain itu, hutan juga menjadi habitat flora dan fauna. Kepelbagaian spesis flora dan fauna di dalam hutan menjadikan ekosistem lebih terkawal. Di dalam hutan terdapat pelbagai jenis unggas, serangga, haiwan liar dan tumbuh-tumbuhan. Misalnya, Hutan Simpan Belum, Perak merupakan satu-satu hutam simpan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai bunga pakma atau rafflesia. Pengekalan spesis ini membolehkan pengkaji dan pencinta alam sekitar memesrai hutan dan segala hidupan di situ.



.....Di samping itu, hutan juga membekalkan sumber kayu balak. Di dalam hutan, terdapat pelbagai jenis kayu yang berguna, misalnya kayu jati, cengal, jelutung dan sebagainya. Kesemua kayu ini mengembangkan industri pemprosesan kayu untuk dibuat perabot dan kertas. Hutan paya bakau pula memberikan sumbangan terhadap penghasilan kayu arang dan cerucuk bagi tujuan pembinaan.



.....Bukan itu sahaja, hutan mampu mencegah kejadian tanah runtuh. Dengan adanya hutan, cerun dan lereng-lereng bukit tidak terdedah dengan risiko tanah runtuh. Hal ini demikian kerana akar pokok berperanan mencengkam tanah dan menguatkan struktur ikatan tanah. Misalnya, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa suatu ketika dahulu sebenarnya disebabkan oleh hutan yang ditebang secara berleluasa.



.....Bahkan, hutan mampu menyediakan sumber perubatan. Pernahkah anda mendengar tongkat ali dan kacip fatimah? Dua tumbuhan herba itu antara beribu-ribu jenis tumbuhan yang dapat merawat penyakit melalui perubatan tradisional. Disebabkan khasiatnya yang tinggi, pokok ini mendapat permintaan yang menggalakkan. Umpamanya, orang Asli di Pahang menjadikan kerja mencari tumbuhan itu sebagai pekerjaan utama, seterusnya memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka. Tambahan pula, pokok ini dijamin selamat digunakan kerana tiada bahan kimia yang berbahaya.



.....Malahan, hutan amat berpotensi menjadi kawasan pelancongan eko. Dalam hutan, lazimnya terdapat air sungai yang mengalir jernih dan air terjun yang menderu. Keindahan ini menjadi daya tarikan yang mampu memancing hati pengunjung untuk bertandang ke sini. Misalnya, Taman Negara Pahang amat sesuai bagi pelancong asing mahupun domestik untuk melapangkan fikiran dan menjelajah setiap ceruk hutannya. Kata orang, ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’.




.....Sesungguhnya, hutan amat bernilai kepada kehidupan di muka bumi. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak proaktif dengan mewartakan lebih banyak lagi hutan sebagai hutan simpan bagi mengelakkan diceroboh. Pendidikan kesedaran dan kempen ‘Cintai Hutan’ perlu dipergiat sejak di bangku sekolah kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ingatlah, kita hanya pemegang amanah dan alam ini merupakan pinjaman daripada generasi akan datang.