Tuesday, October 4, 2011

PERISTIWA YANG MENGGEMBIRAKAN

MENITI KACA
- Mahyun telah diambil pulang ke rumah selepas beberapa bulan dipindahkan ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.
- Nazar mendapat keputusan yang cemerlangan dalam PMR.
- Nazar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.


PAHLAWAN PASIR SALAK
- Dua orang penting Inggeris, iaitu Mat Arshad dan Birch telah mati dibunuh.
- Dato Maharaja Lela dan pengikutnya berjaya mengalahkan askar Inggeris.


PANAS SALJU
- Tan Sri Shamsuddin telah sudi membiayai kos pembedahan pemindahan hati antara Busharah dengan Nadhirah.
- Pembedahan pemindahan hati antara Bushrah dan Nadhirah telah berjaya dan selamat.
- Nadhiurah telah berjaya menjadi seorang pegawai bank di Bank Islam di Kuala Lumpur.


Selamat membaca! :)

Monday, October 3, 2011

LATAR MASYARAKAT DALAM NOVEL TING 1 -3

Masyarakat yang tabah


Meniti Kaca
- Nazar tabah menghadapi kerenah Mahyun yang nanar.
- Nazar tabah menghadapi fitnah orang kampung antaranya dengan Zainab.
- Nazar tabah menghadapi kematian ibu dan bapanya.


Pahlawan Pasir Salak
- Dato Maharaja Lela tabah menjaga kedaulatan tanah air daripada cengkaman penjajah.
- Pak Wan tabah menghadapi kematian anaknya akibat dipatuk ular.


Panas Salju
- Busharah tabah menanggung kesakitannya selepas pembedahan kerana dia tidak memberitahu kepada sesiapa pun.
- Nadhirah tabah meneruskan hidupnya walaupun mendapat tahu dirinya ada penyakit hati dan hempedu.
- Zulkifli tabah meneruskan kehidupannya selepas kematian isterinya.


Masyarakat yang tolong-menolong / baik hati / kerjasama


Meniti Kaca
- Nazar membantu Zainab dan Ah Seong dalam pelajaran dengan cara belajar bersama-sama.
- Mak Miah membantu Nazar dan Pak Sahar menjaga dan memberi makan kepada Mahyun.
- Penduduk Kampung membantu Nazar mencari Mahyun yang hilang.


Pahlawan Pasir Salak
- Deli membantu ayahnya menjaga warung apabila ayahnya ada urusan.
- Deli membantu penduduk kampung membina pondok kawalan keselamatan secara bergotong-royong.


Panas Salju
- Zulkifli dan Bushrah membantu pasangan Sikh yang terlibat dalam kemalangan.
- Tan Sri Shamsuddin membatu meringankan beban Zulkifli dengan membiayai kos pemindahan hati antara Bushrah dan Nadhirah.


Masyarakat yang bertanggungjawab


Meniti Kaca
- Pak Sahar bertanggungjawab terhadap Nazar selepas Mahyun gila dengan cara menyiapkan sarapan untuk Nazar sebelum dia keluar bekerja.
- Nazar bertanggungjawab terhadap keselamatan ibunya apabila dia akan mencari ibunya sebaik sahaja pulang dari sekolah.


Pahlawan Pasir Salak
- Dato Maharaja Lela bertanggungjawab atas kampungnya apabila berusaha mempertahankannya daripada dijajah.


Panas Salju
- Bushrah bertanggungjawab terhadap ibunya di kampung dengan cara mengirimi ibunya wang saku setiap bulan.
- Zulkifli bertanggungjawab menyelamatkan nyawa Nadhirah dengan cara mengiklankan penderitaan Nadhirah di akhbar.


Masyarakat yang penyayang


Meniti Kaca
- Nazar sayang akan ibunya kerana dia tak sanggup Mahyun dihantar ke Tanjung Rambutan.
- Pak Sahar sayang akan Nazar kerana dia akan menyediakan sarapan untuk anaknya sebelum dia keluar kerja.


Pahlawan Pasir Salak
- Dato Maharaja Lela dan penduduk kampung sayang akan tanah air kerana berjuang habis-habisan untuk mengusir penjajah.


Panas Salju
- Bushrah sayang akan anaknya, Nadhirah kerana sanggup mendermakan sebahagian hatinya.
- Zulkifli sayang akan Nadhirah kerana sanggup bersusah payah mencari orang yang dapat meringankan penderitaan Nadhirah.


Selamat menjawab!

LANGKAH MENGURANGKAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Pendahuluan:
- Kemalangan jalan raya saban tahun mencatatkan angka yang tinggi
- Terutamanya menjelang musim perayaan dan cuti umum
- Pelbagai faktor kemalangan – kecuaian pemandu, keadaan kereta serta persekitaran dan kelonggaran pelaksanaan undang-undang
- Pelbagai langkah mengurangkan kemalangan jalan raya


Isi 1 : penguatkuasaan undang-undang
- Memasang lebih banyak perangkap kelajuaan, terutamanya di lebuh raya
- Mengenakan denda yang tinggi kepada pemandu yang melanggar peraturan jalan raya
- Menarik atau menggantung lessen pemandu yang banyak melakukan kesalahan trafik
- Memenjarakan pesalah trafik yang enggan membayar saman
- Memberikan lessen kepada pemandu berumur 21 tahun – lebih matang


Isi 2 : pendidikan kesedaran jalan raya
- Dilakukan melalui Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
- Melentur buluh biarlah dari rebungnya
- Mendidik anak-anak supaya menanamkan sikap berhemah semasa memandu
- Menghormati undang-undang dan hak pengguna jalan raya yang lain


Isi 3 : pembaikpulihan keadaan fizikal jalan raya
- Meletakkan lebih banyak lampu isyarat di simpang berbahaya
- Memasang lebih banyak lampu jalan terutamanya di tempat gelap
- Meletakkan papan tanda di tempat berbahaya seperti selekoh dan jalan berbukit
- Membaik pulih jalan raya yang rosak seperti berlubang dan tidak rata


Isi 4 : persiapan fizikal dan mental
- Tidak mengambil minum mabuk – menjejaskan fungsi saraf
- Tidur dan rehat yang cukup - tertidur
- Elakkan diri memandu ketika tertekan – memandu dalam keadaan berbahaya dan laju
- Mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kehilangan nyawa


Isi 5 : pemeriksaan rapi terhadap kenderaan sebelum memulakan perjalanan
- Memeriksa brek, lampu sisi boleh berfungsi dengan baik
- Memastikan tayar tidak haus dan angin yang mencukupi
- Menghantar kereta ke bengkel untuk diservis –contohnya ganti minyak hitam


Isi 6 : pemanduan mengikut peraturan jalan raya
- Tidak memotong di garisan berkembar
- Mematuhi lampu isyarat
- Sentiasa menggunakan lampu sisi dan cermin sebelum membelok dan memasuki lorong lain
- Memandu mengikut had laju yang ditetapkan


Penutup:
- Semua pihak perlu memainkan peranan
- Biar lambat asalkan selamat – tidak perlu terburu-buru
- Kempen Ops Sikap tidak berguna selagi pengguna tidak mahu mematuhi peraturan jalan raya
- Pandu cermat, jiwa selamat – ingatlah orang yang tersayang

FAEDAH MENABUNG

.....Amalan menabung banyak manfaatnya. Persoalannya, apakah faedah amalan tersebut?

.....Antara faedahnya ialah memupuk amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat mengelakkan masalah inflasi dan pembaziran dengan membeli barangan yang tidak perlu.

.....Selain itu, wang tabungan dapat digunakan sebagai kegunaan hari tua. Semasa hari tua, kudrat tidak sekuat dulu untuk bekerja. Jadi, wang ini boleh digunakan untuk menyara hidup.

.....Malahan, persediaan mengadapi kecemasan juga antara faedahnya. Dengan wang tabungan, kita boleh membiayai rawatan sakit dan membayar kerosakan kereta yang tidak pernah terduga kerana ‘malang tidak berbau’.

.....Seterusnya, amalan ini juga sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke menara gading. Kini, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) diwujudkan untuk tujuan tersebut.

.....Sesungguhnya, terdapat seribu satu manfaat menabung. Peribahasa juga ada mengungkapkan, ‘sediakan payung sebelum hujan’.


[ 120 patah perkataan]

Thursday, September 29, 2011

RENCANA: USAHA MENJAGA KEBERSIHAN SUNGAI (LAUT)

Pencemaran Sungai: Perlu Dinoktahkan Segera
Oleh: Roslan bin Daud


.....Sungai merupakan anugerah daripada Tuhan yang tidak ternilai. Mencemarkan sungai bermaksud kita tidak bersyukur dengan nikmat kurniaan Tuhan. Mayapada, sungai di Malaysia semakin tercemar teruk seperti Sungai Tiram, Sungai Klang dan Sungai Perak. Hal ini disebabkan oleh kegiatan perindustrian dan pembangunan yang kian rancak di pinggir sungai ‘bagai cendawan tumbuh selepas hujan’. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang patut dilakukan bagi menjaga kebersihan sungai di negara kita?

.....Antara usaha perdana adalah melalui penguatkuasaan undang-undang. Kementerian Alam Sekitar perlu membuat pemeriksaan secara mengejut kepada penduduk berhampiran sungai. Disarankan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat yang menjadi tumpuan penduduk membuang sampah sarap perlu dilakukan. Pihak berkuasa tempatan pula perlu mengenakan denda atau saman kepada kilang yang menyalurkan sisa toksik terus ke dalam sungai. Jika masih ingkar, mereka wajar diberikan pengajaran dengan cara menyita harta syarikat seterusnya melumpuhkan operasi kilang mereka.

.....Selain itu, kempen Cintai Sungai Kita perlu digiatkan ke seluruh pelosok negara. Penyebaran informasi tentang kesan mencemarkan sungai bukan sahaja dilakukan melalui kaca televisyen tetapi juga perlu dilakukan di radio dan media cetak seperti akhbar arus perdana. Ceramah dan pengedaran risalah tentang penjagaan kebersihan sungai dan impak pencemaran sungai juga boleh dilakukan di kawasan perumahan supaya masyarakat sedar akan tabiat buruk membuang sampah sarap ke dalam sungai. Kini, penggunaan internet juga dilihat sebagai senjata baru dalam memastikan kempen yang dicanang berjaya membekas di hati masyarakat.

.....Di samping itu, sekolah juga boleh memainkan peranan melalui pendidikan kesedaran. Guru-guru perlu menyelitkan kepentingan memeliharan kebersihan sungai melalui mata pelajaran yang sesuai seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Geografi dan Sains. Realitinya, mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sudah mampu menyemai perasaan cinta akan sungai dalam diri anak-anak. Benarlah kata bijak pandai dahulukala, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Jika anak-anak ini dapat dipupuk dengan rasa tersebut, maka masalah pencemaran sungai tentu dapat dinoktahkan pada masa hadapan memandangkan merekalah generasi yang akan meneruskan legasi kehidupan.

.....Seterusnya, penduduk setempat melalui rukun tetangga perlu mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan sungai. Umpamanya, penduduk boleh mengutip plastik, botol dan kayu yang ada di dalam sungai. Malah, sepanjang sungai boleh dibina laluan pejalan kaki dan taman yang dihiasi oleh jajaran pokok bunga. Jadi, secara tidak langsung, sungai menjadi kawasan rekreasi untuk penduduk. Dengan cara ini, penduduk lebih menghargai kewujudan sungai dalam kehidupan mereka.

.....Akhir kalam, usaha menjaga kebersihan sungai menuntut sinergi yang bersepadu daripada segenap lapisan masyarakat. Sekiranya sungai semakin tercemar, hidupan akuatik bukan sahaja terancam tetapi kita juga turut menerima tempias yang sama. Hal ini demikian kerana sumber air bersih semakin berkurang. Kita tidak mahu generasi akan datang tidak dapat menikmati segala keindahan sungai. Ingatlah, alam ini merupakan pinjaman generasi mendatang, dan kita hanya pemegang amanah.


Sekiranya karangan mengajukan langkah memelihara dan memulihara kebersihan laut, isi ini juga boleh digunakan. Cuma, pelajar perlu menukar sungai kepada laut, juga contoh-contoh laut di Malaysia seperti Laut China Selatan, Selat Melaka dan Selat Johor.

CERAMAH: PUNCA DAN LANGKAH MENGATASI PENYAKIT DEMAM DENGGI

.....Selamat sejahtera saya ucapkan buat Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Keamanan Kampung (JKKK) Kampung Selayang Pandang, Encik Hamid bin Jalil, seterusnya penduduk kampung sekalian.

Hadirin yang dihormati,

.....Saya berasa cukup bertuah kerana dapat bertemu dengan penduduk kampung yang sudi meluangkan masa untuk mendengar ceramah saya yang bertajuk ‘Punca dan Langkah Mengatasi Penyakit Demam Denggi’. Saya cukup yakin, penduduk kampung ini cukup arif dengan perkataan demam denggi dan nyamuk aedes. Spesis nyamuk aedes cukup mudah untuk dikenali, iaitu mempunyai kaki dan badan yang berjalur hitam putih selain aktif pada waktu pagi dan petang. Nyamuk ini boleh menyebarkan wabak demam denggi hanya melalui gigitan. Kes demam denggi pernah menjadi serius pada tahun 2010 dengan mencatatkan kematian sebanyak hingga 45 kes sehingga Oktober tahun tersebut.

.....Persoalannya, bagaimanakah kita tahu bahawa diri kita mahupun orang terdekat dijangkiti wabak ini? Pertama, mereka yang dijangkiti akan diserang demam panas secara mengejut. Selain itu, terdapat juga binti-bintik merah dan sakit sendi di seluruh anggota badan pesakit. Mereka yang dihinggapi penyakit ini juga akan sering loya dan muntah-muntah. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka hilang selera makan dan kuantiti air dalam tubuh. Jika keadaan ini berlarutan, maka tidak mustahil mereka akan kurus kering. Realitinya, pesakit hanya akan menganggap demam itu adalah biasa. Tanggapan ini menyebabkan mereka membiarkannya tanpa menyedari bahawa penyakit itu boleh membawa maut jika lambat diselamatkan.

Sidang dewan yang dikasihi,

.....Apakah pula punca-punca yang menyebabkan wabak denggi mudah merebak? Realitinya, persekitaran yang kotor dengan tin-tin, botol-botol, tayar kereta dan tempurung kelapa menjadi sarang buat pemangsa ini. Untuk makluman, telur nyamuk aedes boleh bertahan selama seminggu sekiranya air dalam bekas-bekas tersebut telah kering. Bayangkan, adakah dalam seminggu itu hujan tidak turun? Selain itu, kawasan yang ditakungi air seperti pasu bunga, kolah, dan saluran di bumbung juga menjadi kawasan pembiakan pilihan nyamuk aedes.

.....Jadi, apakah yang perlu kita lakukan untuk mencegah wabak denggi ini? Langkah mudah, luangkan masa 10 minit seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah. Antara tempat yang perlu diberikan perhatian ialah longkang, saluran hujan, kolah, dan pasu bunga. Bahan-bahan terbuang seperti tin, botol, tayar kereta dan tempurung kelapa elok ditanam. Bagi barang yang boleh menakung air dan masih berguna, pastikan diletakkan dalam keadaan terbalik. Apa salahnya jika keluarga meluangkan masa untuk membersihkan persekitaran rumah?

Hadirin yang dimuliakan,


.....Selain itu, kita perlu memberikan kerjasama kepada pihak yang datang menyembur racun atau ‘fogging’ di kawasan perumahan. Adakah anda tahu bilakah semburan akan dilakukan? Sebaik sahaja menerima aduan berhubung kes denggi di tempat anda, semburan akan dilakukan secara berkala. Hal ini bagi memastikan telur nyamuk aedes akan musnah dengan semburan racun tersebut. Oleh itu, pastikan anda menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan asap semburan itu masuk ke dalam rumah. Siapa tahu anda nyamuk aedes sedang membiak di sekitar tempat tinggal anda tanpa pengetahuan sendiri? Jadi, tindakan ini akan boleh menyelamatkan anda seisi keluarga.

.....Bagi individu yang mengalam simptom-simptom yang disebutkan, usah takut untuk datang merujuk ke hospital atau klinik berhampiran. Doktor akan mengambil sampel darah dan mengujinya sama ada anda benar-benar dihinggapi wabak tersebut atau tidak. Suntikan vaksin pelali dapat menguatkan daya tahan tubuh dan antibodi bagi melawan serangan wabak denggi. Jika pesakit berada dalam kondisi tidak stabil, maka dia akan ditahan dan dirawat di hospital selama beberapa minggu. Keadaan ini membolehkan pesakit melawan vektor penyakit denggi melalui suntikan yang diberikan oleh doktor.

Saudara dan saudari sekalian,

.....Bagi pengguna yang mempunyai kolah dan tempat yang ditakungi dengan air, penggunaan ubat jentik-jentik juga berkesan. Ubat yang mudah larut ini boleh didapati daripada klinik dan hospital yang berhampiran. Di samping meletakkannya ke dalam kolah, ubat ini juga sesuai diletakkan di saluran hujan. Bagi penduduk yang alah dengan gigitan nyamuk, penggunaan kelambu juga amatlah digalakkan. Kelambu juga dapat mengelakkan gigitan nyamuk seterusnya mengelakkan ahli keluarga menjadi korban virus denggi ini. Benarlah kata peribahasa, sebelum ‘nasi menjadi bubur’, eloklah kita berjaga-jaga kerana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

.....Sesungguhnya, angka kes yang dilaporkan pasti akan meningkat dari sehari ke sehari andainya tiada langkah proaktif yang dilakukan di rumah. Tiada guna Kempen Hapuskan Aedes jika masyarakat memandang enteng akan pelaksanaannya. Ingatlah, 10 minit penentu sama ada selamat atau tidak anda sekeluarga. Saya akhiri ceramah saya dengan serangkap pantun:
.....Subur merimbun cili api,
........Dipetik sedahan oleh kera;
.....Kalau persekitaran dijaga rapi,
........Denggi dihindar, diri sejahtera.

LANGKAH MENGERATKAN HUBUNGAN KEJIRANAN

.....Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Walaupun khalayak sedia maklum akan kepentingan semangat kejiranan, namun masih ramai dalam kalangan masyarakat yang memandang enteng akan kepentingannya. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar ‘seperti aur dengan tebing’. Dasawarsa ini, hubungan sesama jiran semakin renggang ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh merapatkan hubungan yang semakin renggang ini?

.....Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat kejiranan, antaranya adalah dengan menghidupkan kembali konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga merupakan satu badan yang berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan, terutamanya pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang secara tidak langsung mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Ketidaksamaan taraf sosial dapat dilupuskan melalui rukun tetangga kerana dalam konsep badan ini, semua orang berada pada martabat yang sama, seperti kata orang tua, ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’.

.....Selain itu, kita juga perlu menyuburkan kembali amalan bergotong-royong. Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran, bak kata peribahasa ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

.....Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri.

.....Malahan, hubungan kejiranan dapat dipererat melalui aktiviti menziarahi jiran tetangga. Amalan ziarah-menziarahi dan bertanya khabar dapat menyemarakkan rasa prihatin. Umpamanya, apabila jiran ditimpa kemalangan, dan ada kematian, kunjungan jiran tetangga sedikit sebanyak dapat mengurangkan rawan yang bersarang dalam lubuk hati. Apabila berkunjung, usah lupa membawa ‘buah tangan’ seperti buah-buahan, manisan atau hadiah sebagai tanda ingatan. Kata orang, ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’.

.....Intihanya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari peri pentingnya semangat tersebut dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat kejiranan juga penting dalam konteks negara kita sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa. Dengan itu, penyuburan semangat kejiranan yang kental dapat membantu usaha-usaha perpaduan negara yang selama ini menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan keharmonian negara. Marilah kita sama-sama mempraktikkan slogan ‘jiran sepakat membawa berkat’ ini dalam kehidupan berjiran agar negara kita terus aman dan harmoni sepanjang masa. Saya cukup optimistik, sekiranya kepincangan dalam membentuk semangat kejiranan dalam dibedah dan dibubuh ubat yang mujarab, sudah tentu kesejahteraan yang diidamkan selama ini akan terus meronai pembangunan negara.


Sekiranya soalan langkah memupuk semangat perpaduan antara kaum, isi yang sama juga boleh digunakan. Bezakanya, pelajar hanya perlu menukarkan frasa 'semangat kejiranan' kepada 'semangat perpaduan'.

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

.....Pelajar cemerlang merupakan gelaran idaman setiap pelajar. Persoalannya, apakah ciri-ciri pelajar cemerlang?

.....Pelajar cemerlang biasanya dilihat dari segi pencapaian akademik. Biasanya, mereka mendapat keputusan yang baik dalam ujian dan mempunyai kecerdasan yang tinggi.

.....Selain itu, pelajar cemerlang memiliki sahsiah terpuji. Mereka unggul dalam tingkah laku dengan mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan sehingga layak diberi anugerah Sahsiah Terpuji.

...Bahkan, mereka juga memiliki daya kepimpinan yang tinggi. Realitinya, mereka akan menerajui pucuk kepimpinan kokurikulum seperti badan beruniform dan berani bertutur di khalayak, misalnya berpidato.

.....Akhir sekali, pelajar cemerlang juga diukur dari segi kecergasan di padang. Mereka selalu menjuarai pertandingan sukan dan memiliki stamina yang baik.

.....Kesimpulannya, pelajar cemerlang perlu mempunyai kecemerlangan secara holistik. Namun, tidak guna bijaksana dalam pelajaran, namun dungu dalam tindakan.

(121 patah perkataan)

CIRI-CIRI SEKOLAH SELAMAT

.....Sekolah selamat bermaksud sekolah yang berada dalam keadaan yang aman. Terdapat pelbagai ciri sekolah selamat.

.....Antaranya adalah dengan mempunyai sistem kawalan keselamatan. Realitinya, pintu utama akan diawasi oleh pengawal, selain mereka akan meronda sekolah.

.....Selain itu, setiap kelas mempunyai pelan arah kebakaran. Pelan ini membolehkan pelajar tahu tempat berkumpul dan memudahkan guru menyemak bilangan pelajar.

.....Malahan, pihak sekolah perlu menyediakan pengawal lalu lintas yang boleh terdiri daripada ahli Kelab Keselamatan Jalan raya. Tindakan ini penting untuk mengawal lalu lintas seterusnya mengelakkan kemalangan.

.....Seterusnya, setiap blok perlu dibekalkan alat pemadam kebakaran. Alat ini mustahak untuk memadamkan api. Bahkan, penggunaannya perlu diajar kepada warga sekolah.

.....Sesungguhnya, sekolah selamat amat penting dalam mewujudkan suasana yang harmoni. Benarlah kata orang, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.


(119 patah perkataan)

KEPENTINGAN INTERNET DALAM KEHIDUPAN MANUSIA ZAMAN INI (Ting 1, hal.35)

Pendahuluan
- Internet bermaksud rangkaian dari satu komputer ke komputer yang lain
- Internet memberi seribu satu manfaat kepada manusia jika digunakan dengan baik
- Persoalannya, apakah kepentingan internet dalam kehidupan manusia zaman ini?

Perniagaan
- Pesanan dilakukan atas talian tanpa memerlukan pengguna bersesak-sesak di pasar raya atau kedai
- Pelanggan hanya perlu klik sebagai tanda bersetuju untuk membeli barangan tersebut
- Contohnya, zaman ini perniagaan atas talian semakin berkembang dengan penjualan bermacam-macam jenis barangan termasuklah pakaian, makanan dan keperluan sampingan

Perkhidmatan
- Memudahkan dan menjimatkan masa – tidak perlu beratur panjang
- Misalnya, pelancong boleh menempah tiket kapal terbang hanya perlu melayari internet
- Contoh lain, masyarakat boleh membayar bil elektrik, air dan telefon bimbit hanya menggunakan perkhidmatan Maybank2u yang disediakan oleh Maybank

Pendidikan
- Menyahut konsep pembelajaran sepanjang hayat
- Masa pembelajaran lebih fleksibel – bila-bila masa boleh belajar
- Pelajar mencari maklumat di laman sesawang – menambahkan pengetahuan
- Contohnya, kuliah Open University hanya dilakukan menggunakan kaedah e-learning, iaitu belajar secara atas talian
- Umpamanya, sekolah bestari yang diperkenalkan turut mengaplikasikan penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran

Perubatan
- Dengan kemudahan teleperubatan, pesakit tidak perlu datang ke hospital
- Sebagai contoh, teleperubatan membolehkan data pesakit, gambar radiograf dan gambar video endoskop dihantar menggunakan jaringan internet
- Pakar perubatan boleh menggunakan telekonferens video untuk membimbing , menasihati dan memberi tunjuk ajar kepada doktor pelatih di klinik perubatan desa

Pentadbiran
- Kewujudan bandar pintar seperti di Putrajaya dan Cyberjaya
- Penghantaran tugasan dan laporan serta perkongsian fail hanya dilakukan menerusi e-mel atau mel elektronik
- Sebagai tamsilnya, sistem pentadbiran di Putrajaya mengaplikasikan penggunaan internet sepenuhnya

Penutup
- Teknologi dicipta untuk memudahkan manusia
- Penyalahgunaan internet seperti jenayah internet, penggodaman, gangguan seksual di laman sosial dan sebagainya perlu dihindari
- Dijangka pada masa hadapan, semua urusan akan melalui penggunaan internet

LANGKAH MENINGKATKAN HASIL PERTANIAN

Berikan pendapat anda tentang langkah meningkatkan hasil pertanian. Panjangnya karangan anda tidak melebihi 120 patah perkataan.


.....Sektor pertanian banyak memberi keuntungan kepada negara. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan bagi meningkatkan hasil pertanian.

.....Antaranya ialah kerajaan perlu membekalkan benih yang berkualiti supaya produktiviti lebih berganda. Kajian yang giat perlu dilakukan bagi menghasilkan baka yang tahan penyakit.

.....Selain itu, kerajaan perlu memberikan peralatan moden seperti menyediakan jentera moden. Di samping menjimatkan penggunaan tenaga manusia, alat ini juga mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

.....Bahkan, kerajaan harus menyediakan kawasan yang strategik bagi membantu petani memasarkan hasil, misalnya pasar tani. Malah, tapak pertanian juga boleh disediakan.

.....Seterusnya, kerajaan wajar membantu pengeluaran modal, misalnya memberi dana untuk petani yang baru berjinak-jinak dengan bidang ini supaya mereka lebih bermotivasi.

.....Ringkasnya, usaha yang holistik pasti mampu mengangkat sektor ini sebagai penyumbang utama pendapatan negara.


(122 patah perkataan)

LANGKAH MEMPERKENALKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh masyarakat.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi memperkenalkan warisan yang begitu bernilai ini?


.....Dahulu, permainan tradisional dijadikan sebagai alat hiburan bagi masyarakat Melayu setelah seharian penat bermandi peluh. Antaranya ialah wau, gasing, congkak dan konda-kondi. Kemudian, apabila masa berganti masa, semua itu telah terkakis daripada ingatan masyarakat, lantaran ibu bapa tidak mewarisinya kepada anak-anak. Kini, permainan tradisional seakan tidak lagi mempunyai tempat di hati masyarakat, khususnya dalam kalangan remaja. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional seperti waktu dahulukala?

.....Cara perdana ialah produk pelancongan ini boleh dibuat dalam bentuk buku, majalah, filem dokumentari dan sebagainya dan dipasarkan di pasaran tempatan mahupun di luar negara. Hal ini disebabkan oleh masyarakat kini lebih akrab dengan media elektronik seperti televisyen dan internet. Pengisiannya perlulah diteliti dengan memasukkan sejarah permainan, cara pembuatan, syarat permainan dan langkah permainan. Penerbitan ini perlulah dimanfaatkan dengan baik memandangkan cara ini sebenarnya merupakan proses membukukan sejarah warisan lampau dan boleh menjadi bukti pensejarahan yang mahal. Jelaslah, cara ini boleh meletakkan permainan warisan ini ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan permainan video pada masa ini.

.....Di samping itu, kerajaan juga boleh memasukkan permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah dan pusat pengajian tinggi. Oleh hal yang demikian, kerajaan perlu mewujudkan satu panel khas dalam mengkaji sukatan pelajaran yang baharu. Dengan kata lain, perlu ada satu badan perancang yang merencana segala agenda dengan berkesan dan bijaksana. Perlu diingat bahawa guru-guru yang mengajar perlu diberi kursus asas tentang teknik permainan supaya dapat diaplikasikan di sekolah. Ringkasnya, cara ini membolehkan remaja kini mengenali permainan tradisional dengan lebih dekat lagi.

.....Bukan itu sahaja, kerajaan boleh mempromosikan permainan tradisonal kepada negara luar melalui duta-duta yang berkhidmat di sana. Sebagai contoh, duta tersebut perlulah diberikan risalah dan pamplet tentang permainan tradisional yang menyertakan sejarah dan penerangan ringkas sesebuah permainan. Hal itu dikatakan demikian kerana, cara ini dapat memperkenalkan permainan tersebut kepada masyarakat luar dengan lebih berkesan. Misalnya, apabila berwisata ke Malaysia, sudah tentu pelancong akan mahu lebih dekat lagi dengan permainan tersebut. Tegasnya, promosi di luar negara juga dapat membantu masyakarat luar untuk mengenali warisan kita yang cukup unik.

.....Bahkan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Budaya perlu membuat pameran dan pertunjukan secara berkala dan tekal. Pameran ini mungkin boleh dilakukan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong. Kementerian juga perlu menjemput orang-orang yang mahir dan pakar dalam setiap permainan ini bagi menunjukkan cara pembuatan alat permainan dan juga teknik bermain setiap permainan. Sebagai tambahan, bengkel boleh dilakukan jika mendapat permintaan dan sambutan hangat daripada pengunjung. Diharapkan dengan langkah ini, mampu menjadikan permainan ini disuburkan kembali dalam era globalisasi dan teknologi ini.

.....Kesimpulannya, semua pihak perlu menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana warisan ini merupakan amanah bersama dan perlu dijaga oleh setiap lapisan masyarakat. Sekiranya langkah ini dilakukan secara sistematik, tidak mustahil kita dapat mengembalikan martabat permainan tradisional seperti dahulu kala. Perkara yang paling penting, usaha yang dilakukan usahlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’.

PERANAN REMAJA MENGURANGKAN MASALAH SOSIAL

Masalah sosial kini semakin meruncing. Oleh hal yang demikian, remaja selaku rakan sebaya mempunyai peranan dalam memastikan masalah ini dapat dikurangkan.

Bincangkan pernyataan di atas.


.....Dahulu, masalah sosial kurang diperkatakan dan menjadi buah mulut masyarakat. Kini, masalah ini semakin menjadi ‘duri dalam daging’ sehingga menimbulkan kegusaran hati banyak pihak. Antara masalah sosial yang biasa menjadi paparan di dada akhbar dan kaca televisyen ialah gengsterisme, vandalisme, melepak, ponteng sekolah, seks bebas dan penyalahgunaan dadah. Persoalannya, apakah peranan remaja dalam mengurangkan masalah sosial ini daripada terus meruncing?


.....Peranan perdana dalam mengurangkan masalah ini ialah remaja perlu bijak memilih rakan. Kajian mendapati bahawa masalah sosial banyak dipengaruhi oleh pengaruh rakan sebaya. Pilihlah rakan yang mempunyai peribadi yang baik, berjati diri yang kukuh dan berdisplin dalam semua aspek. Hal ini bagi memastikan kita dapat menjadikan mereka sebagai idola dan suri teladan. Kata orang, kalau memilih untuk berkawan dengan tukang besi, kita akan terkena asapnya manakala kalau memilih untuk berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan terkena wanginya. Jadi, ‘tepuk tanya, tanya selera’.

....Selain itu, remaja perlu menasihati rakan, sama ada yang baru mahu terlibat atau yang telah terlibat dalam kancah sosial. Dalam hal ini, kita perlu berhati-hati umpama ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak’ bagi mengelakkan ada rakan yang terguris hati. Kita perlu menceritakan keburukan dan akibat jika terlibat dalam masalah sosial seperti menggelapkan masa depan, terdedah dengan risiko tindakan tatatertib dan dicemuh oleh masyarakat. Jika khuatir, bolehlah mengusulkan rakan untuk berjumpa dengan kaunselor bagi mendapatkan nasihat dan panduan.

.....Di samping itu, memanfaatkan masa senggang dengan kegiatan yang berfaedah juga dapat mengurangkan remaja daripada terlibat dalam kancah tersebut. Remaja yang terlibat dalam masalah sosial ini sebenarnya tidak bijak merencanakan masa dengan baik. Disarankan, mereka mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, kenduri-kendara, dan menyertai kem motivasi dan jati diri. Selain dapat mengelakkan diri daripada salah haluan, mereka juga dapat bertukar-tukar pandangan dengan rakan yang lain.

.....Bukan itu sahaja, remaja perlu senantiasa berfikiran positif dan rasional dalam semua perkara. Kajian mendapati gejala seperti ponteng sekolah berlaku apabila remaja terlalu mengikut nafsu dan keseronokan, iaitu ingin mendapat kebebasan dan benci akan pelajaran. Untuk itu, remaja perlu merenung kembali tujuan dihantar untuk belajar, iaitu bagi mencerahkan masa depan dan melahirkan modal insan kelas pertama bagi menghadapi gelombang globalisasi dan cabaran alam pekerjaan. Oleh itu, buangkan semua keseronokan sementara dan terimalah balasannya pada dewasa kelak.

.....Bahkan, remaja perlu menetapkan matlamat hidup dengan jelas. Sebenarnya, remaja yang bermasalah tidak pernah tahu tujuan mereka hidup. Oleh sebab itu, mereka sewenang-wenangnya menghabiskan masa dengan melepak dan sebagainya. Seandainya mereka ada tujuan yang tetap, sudah pasti kehidupan mereka tidak disia-siakan kerana mereka tahu ‘masa itu emas’. Dengan cara ini juga, mereka akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita yang diidam-idamkan.

.....Secara holistiknya, masalah sosial perlu ditangani segera. Kerjasama semua pihak amat mustahak bagi memastikan masalah ini dapat diperangi hingga ke akar umbi. Dalam hal ini, masyarakat perlu mengambil sikap ‘menjaga tepi kain orang’ dan usah mengamalkan resmi ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Perkara yang lebih penting, pendidikan agama yang cukup boleh menjadi benteng yang ampuh dalam memastikan anak-anak dapat mengelakkan daripada terjebak dalam kancah yang tidak berpenghunjungnya ini.

Friday, September 16, 2011

AKTIVITI MEWUJUDKAN KELUARGA BAHAGIA

Sejak akhir-akhir ini, terdapat lebih banyak masalah sosial yang dikaitkan dengan kepincangan dalam hubungan kekeluargaan.

Pada pendapat anda, apakah aktiviti-aktivit yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan keluarga bahagia dapat diwujudkan.




.....Mayapada, hubungan kekeluargaan dilihat semakin renggang. Buktinya, pelbagai masalah sosial wujud dan dikatakan berpunca daripada kepincangan dalam hubungan kekeluargaan. Masalah komunikasi dan kurangnya kasih sayang menjadi faktor dominan kepada perlakuan di luar batas oleh remaja marcapada. Oleh itu, pelbagai aktiviti bersama perlu dijadikan amalan oleh setiap keluarga bagi memastikan hubungan kekeluargaan menjadi lebih intim.


.....Antaranya adalah dengan makan bersama-sama. Semasa penyediaan makanan, anak-anak boleh membantu ibu bapa selain mengurangkan jumlah masa makan di luar seperti di restoran makanan segera. Misalnya, anak-anak perempuan membantu ibu di dapur, sementara anak-anak lelaki menolong bapa mempersiapkan keperluan di meja makan. Dengan cara ini, ibu bapa dapat memupuk perasaan saling bergantung antara satu sama lain, sandar-menyandar ‘bagai aur dengan tebing’. Amalan ini juga membolehkan hubungan anak-anak dan ibu bapa menjadi bagai isi dengan kuku.



.....Selain itu, ibu bapa boleh pergi bercuti ke lokasi menarik ketika cuti sekolah. Selain memanfaatkan masa senggang dan mengelakkan anak-anak daripada melakukan kebejatan moral seperti melepak, vandalisme dan gengsterisme, percutian dalam mengurangkan kadar stres anak-anak di sekolah dan ibu bapa di pejabat. Sepanjang percutian, buatlah aktiviti sekeluarga yang menarik seperti berkelah, bermandi-manda di pantai, mendaki gunung, berfoto, menyelam di laut dan sebagainya, Melalui cara ini, anak-anak akan lebih rasa dihargai kerana kehadiran mereka disedari dan mempunyai fungsi dalam membahagiakan ibu bapa.



.....Malahan, ibu bapa perlu menemani anak-anak belajar dan mengulang kaji pelajaran. Walaupun sudah penat bergelut dengan kerja dan masalah di pejabat, ibu bapa harus meluangkan masa bagi tujuan ini. Anak-anak yang tidak faham sudah tentu akan mahu mencari rujukan. Bagi abang dan kakak yang mempunyai ilmu, maka boleh membantu adik-adik bagi menyiapkan tugasan. Apabila perkara ini berlaku, sudah tentu ibu bapa berjaya menzahirkan teladan yang baik terhadap keprihatinan dan keperluan anak-anak. Kajian menunjukkan ibu bapa yang menemani anak-anak belajar menunjukkan tahap motivasi untuk mereka belajar dengan tekun lebih tinggi.


.....Bukan itu sahaja, ibu bapa boleh meluangkan masa bagi menyelesaikan masalah anak-anak. Tidak dapat dinafikan, zaman remaja merupakan era penuh konflik bagi diri mereka, sama ada konflik dalam atau konflik luaran. Semua orang menyakini bahawa sifat ibu bapa ibarat ‘sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya’. Perubahan dalam diri anak-anak perlu usah dipandang enteng. Untuk itu, ibu bapa perlu memiliki kemahiran komunikasi dan pendekatan psikologi dalam memastikan anak-anak tidak takut dan malu untuk berkongsi masalah. Dengan cara ini, hubungan anak dan ibu bapa semakin erat kerana kepercayaa anak terhadap kemampuan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah mereka.


.....Sesungguhnya, kebahagiaan sebuah keluarga terletak pada kebijaksanaan nakhodanya, iaitu ayah. Seandainya nakhoda ini sering bertelagah dengan anak-anak kapal, maka sukar untuk sampai ke destinasi utama, iaitu pantai keluarga sakinah. Dengan wujudnya hubungan yang erat antara ahli keluarga, maka anak-anak akan lebih kurang untuk keluar rumah dan bercampur dengan kawan-kawan yang nakal. Kesannya, masalah sosial pasti tidak akan menjadi ‘duri dalam daging’ bagi keluarga yang bahagia.

KEPENTINGAN BANGUNAN BERSEJARAH KEPADA NEGARA

Bangunan bersejarah merupakan antara bahan sejarah yang begitu penting. Oleh itu, kerajaan telah bertindak memelihara dan memulihara bangunan ini.


Pada pendapat anda, apakah kepentingan bangunan ini kepada negara?

.....Bangunan bersejarah merupakan bangunan peninggalan daripada leluhur kita. Bangunan bersejarah lazimnya mempunyai signifikan dan ciri-ciri yang unik sehingga mampu dikagumi dan dilestarikan. Antara contoh bangunan bersejarah ialah Kota A’ Famosa di Melaka, Istana Menanti di Negeri Sembilan, dan Candi Lembah Bujang di Kedah. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan bangunan bersejarah ini sehingga perlu dikekalkan oleh kerajaan?

.....Antara kepentingannya adalah dapat menarik kedatangan pelancong. Bangunan bersejarah sememangnya mempunyai tarikan yang tersendiri, sehingga mampu memancing hati pelancong, bukan sahaja pelancong asing, malahan pelancong domestik. Lihatlah, betapa Kota Melaka yang terkenal dengan bangunan bersejarah yang berbagai-bagai rupa menyebabkan kunjungan pelancong ke Bandar raya Bersejarah itu tidak pernah surut. Disebabkan negeri ini mempunyai banyak bangunan bersejarah, UNESCO telah mengisytiharkannya sebagai harta warisan dunia yang perlu dipelihara. Secara tidak langsung, pengekalannya telah membantu negara menambahkan pendapatan negara.


.....Selain itu, bangunan bersejarah juga dapat mempamerkan estika dan keunikan seni binanya yang tersendiri. Sesungguhnya, setiap monumen bersejarah mempunyai gaya seni bina masing-masing, sama ada menerima pengaruh luar mahu pun dibina berdasarkan pengaruh tempatan. Misalnya, Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di depan Dataran Merdeka jelas memperlihatkan keindahan seni binanya melalui pengaruh Inggeris dan Islam. Uniknya, bangunan ini mempunyai menara jam yang didirikan di tengah-tengah bangunan. Begitu juga dengan bangunan Stesen Kereta api Tanah Melayu di Kuala Lumpur yang jelas menonjolkan ciri-ciri seni bina Islam melalui kubahnya seperti masjid.


.....Di samping itu, bangunan ini juga dapat mengimbau kembali sejarah negara. Dengan masih berdiri megahnya bangunan yang dibina semasa zaman penjajahan yang membawa air mata sengara dan derita, membolehkan masyarakat menginsafi perjuangan datuk nenek moyang kita yang bermatian-matian sehingga mengalirkan darah, bak kata peribahasa, ‘biar putih tulang, jangan putih mata’. Kota A’ Famosa umpamanya, mengingatkan kita Tanah Melayu dijajah pada tahun 1511 oleh Portugis dan menjadi penanda aras berakhirnya zaman kemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Dengan ini, kita akan lebih berhati-hati dalam menjaga kemerdekaan negara daripada dicabul oleh bangsa asing.



.....Bukan itu sahaja, bangunan ini juga dapat menonjolkan identiti sesuatu masyarakat. Biasanya, untuk mempersembahkan jati diri dan keunikan sesuatu kaum akan ditonjolkan melalui seni bina. Tamsilnya, Istana Menanti di Negeri Sembilan begitu jelas mempamerkan jati diri masyarakatnya yang dikatakan berasal daripada bangsa Minang. Lihatlah, bentuk bumbungnya yang mempunyai pengaruh Minangkabau. Tidak ketinggalan, Candi Lembah Bujang di Kedah juga memperlihatkan betapa penduduk zaman itu mempunyai pegangan yang kuat terhadap agama anutannya, iaitu agama Hindu.



.....Secara totalnya, bangunan bersejarah sememangnya membawa 1001 kepentingan kepada negara serta masyarakat seluruhnya. Oleh itu, semua pihak perlu sedar akan peranan masing-masing dalam usaha mengekalkan struktur dan nilai bangunan ini daripada dimusnahkan. Ahli sejarawan ada berkata, “Orang yang melupakan sejarah pasti mengulanginya.”. Oleh itu, peliharalah bangunan bersejarah supaya episod lara yang pernah dibawa oleh Portugis, British, Belanda, dan Jepun tidak berulang semula. Tidak bermakna bangunan yang telah berusia berates-ratus tahun ini perlu dirobohkan kerana dianggap sudah uzur. Sebaliknya, pewartaannya sebagai bangunan warisan perlu dilakukan oleh kerajaan dengan segera.

KEPENTINGAN HUTAN KEPADA KEHIDUPAN

Hutan semakin banyak ditebang kerana tuntutan pembangunan. Oleh itu, kerajaan telah bersungguh-sungguh memuliharanya daripada terus diceroboh.


Huraikan kepentingan memelihara hutan kepada kehidupan.




.....Hutan merupakan anugerah semula jadi yang tidak ternilai. Mayapada, hutan sering kali digondolkan kerana pembangunan yang kian rancak. Keadaan ini membawa 1001 masalah seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pemanasan global. Sesungguhnya, hutan menawarkan berbagai-bagai manfaat kepada kehidupan di muka bumi. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan hutan kepada manusia?



......Antara kepentingan perdana adalah untuk mengawal suhu bumi. Pokok mengeluarkan oksigen dan menyedut karbon dioksida. Apabila pokok banyak ditebang, maka keseimbangan antara kedua-dua gas itu telah tergugat. Maka tidak menghairankan apabila suhu bumi pada masa ini semakin meningkat. Jika hutan tidak dijaga, tidak mustahil suhu bumi boleh mencecah sehingga 40 darjah celcius.



.....Selain itu, hutan juga menjadi habitat flora dan fauna. Kepelbagaian spesis flora dan fauna di dalam hutan menjadikan ekosistem lebih terkawal. Di dalam hutan terdapat pelbagai jenis unggas, serangga, haiwan liar dan tumbuh-tumbuhan. Misalnya, Hutan Simpan Belum, Perak merupakan satu-satu hutam simpan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai bunga pakma atau rafflesia. Pengekalan spesis ini membolehkan pengkaji dan pencinta alam sekitar memesrai hutan dan segala hidupan di situ.



.....Di samping itu, hutan juga membekalkan sumber kayu balak. Di dalam hutan, terdapat pelbagai jenis kayu yang berguna, misalnya kayu jati, cengal, jelutung dan sebagainya. Kesemua kayu ini mengembangkan industri pemprosesan kayu untuk dibuat perabot dan kertas. Hutan paya bakau pula memberikan sumbangan terhadap penghasilan kayu arang dan cerucuk bagi tujuan pembinaan.



.....Bukan itu sahaja, hutan mampu mencegah kejadian tanah runtuh. Dengan adanya hutan, cerun dan lereng-lereng bukit tidak terdedah dengan risiko tanah runtuh. Hal ini demikian kerana akar pokok berperanan mencengkam tanah dan menguatkan struktur ikatan tanah. Misalnya, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa suatu ketika dahulu sebenarnya disebabkan oleh hutan yang ditebang secara berleluasa.



.....Bahkan, hutan mampu menyediakan sumber perubatan. Pernahkah anda mendengar tongkat ali dan kacip fatimah? Dua tumbuhan herba itu antara beribu-ribu jenis tumbuhan yang dapat merawat penyakit melalui perubatan tradisional. Disebabkan khasiatnya yang tinggi, pokok ini mendapat permintaan yang menggalakkan. Umpamanya, orang Asli di Pahang menjadikan kerja mencari tumbuhan itu sebagai pekerjaan utama, seterusnya memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka. Tambahan pula, pokok ini dijamin selamat digunakan kerana tiada bahan kimia yang berbahaya.



.....Malahan, hutan amat berpotensi menjadi kawasan pelancongan eko. Dalam hutan, lazimnya terdapat air sungai yang mengalir jernih dan air terjun yang menderu. Keindahan ini menjadi daya tarikan yang mampu memancing hati pengunjung untuk bertandang ke sini. Misalnya, Taman Negara Pahang amat sesuai bagi pelancong asing mahupun domestik untuk melapangkan fikiran dan menjelajah setiap ceruk hutannya. Kata orang, ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’.




.....Sesungguhnya, hutan amat bernilai kepada kehidupan di muka bumi. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak proaktif dengan mewartakan lebih banyak lagi hutan sebagai hutan simpan bagi mengelakkan diceroboh. Pendidikan kesedaran dan kempen ‘Cintai Hutan’ perlu dipergiat sejak di bangku sekolah kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ingatlah, kita hanya pemegang amanah dan alam ini merupakan pinjaman daripada generasi akan datang.

Tuesday, August 23, 2011

LANGKAH MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Harga barangan pasti akan naik setiap tahun, terutamanya menjelang musim perayaan. Bincangkan langkah-langkah yang berkesan untuk membendung permasalahan tersebut.



Pendahuluan:
- Harga barang akan meningkat setiap tahun, terutamanya menjelang musim perayaan
- Disebabkan oleh permintaan masyarakat yang melebihi penawaran di pasaran
- Masalah ini juga disebabkan oleh sikap tamak peniaga yang mahu ‘menghisap darah’ dan menjadi 'lintah darat'
- Keadaan ini sebenarnya telah menekan golongan miskin yang hidup mereka ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’
- Pelbagai langkah berkesan boleh dilaksanakan untuk membendung masalah tersebut

1. Penguatkuasaan undang-undang
- Menggesa peniaga mempamerkan tanda harga bagi mengelakkan pengguna tertipu
- Menetapkan harga barangan kawalan seperti gula, tepung gandum, dan minyak masak
- Begitu juga peniaga yang menyorok barangan untuk ‘menangguk di air keruh’
- Mengenakan denda dan hukuman penjara kepada peniaga yang ingkar dan didapati bersalah
- Pemantauan berkala oleh pihak berkuasa dari kedai ke kedai sangat musatahak
- Masyarakat perlu melaporkan penyelewengan yang dilakukan oleh peniaga yang enggan mematuhi gesaan kerajaan

2. Penerapan amalan berjimat cermat
- Harga barangan perlu dibandingkan antara satu tempat dengan tempat yang lain
- Biasanya, membeli di pasar raya lebih menjimatkan kerana harganya jauh lebih murah berbanding kedai biasa
- Menyarankan pengguna berbelanja di tempat yang mempunyai sijil pengiktirafan ‘Kedai Harga Patut’
- Membeli barang yang perlu dan mengikut keutamaan kerana ‘beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis’
- Menggunakan barangan lama dan terpakai, misalnya baju, perabot dan langsir

3. Kempen yang berkesan
- Kempen Inflasi Sifar
- Inflasi bermaksud situasi kenaikan harga yang berlaku secara berterusan
- Harga barang akan menaik apabila pengguna terus-menerus meminta barang tersebut
- Peranan pengguna amat penting bagi mengelakkan harga barang terus meningkat
- Digalakkan membuat senarai barangan sebelum ke kedai atau pasar raya bagi membolehkan penggunan membeli barang yang diperlukan sahaja
- Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna perlu dilakukan secara ‘ke bukit sama didaki, ke lembah sama dituruni, ke laut sama direnangi’
- Kempen menanam sayur-sayuran di rumah seperti cili, sawi, kangkung, dan tomato menggunakan kaedah hidroponik – mengurangkan import sayur-sayuran
- Kempen perlu dilakukan secara menyeluruh menggunakan media massa seperti akhbar, televisyen, radio dan internet

4. Pengeluaran mengikut unjuran permintaan
- Pengeluaran barangan perlulah sering dengan permintaan pengguna
- Jumlah barangan utama dan keperluan pengguna perlu ditambah khususnya menjelang musim perayaan
- Kerajaan perlu mengkaji dan menganalisis unjuran permintaan masyarakat saban tahun untuk dijangkakan penggunaan pada masa hadapan
- Produktiviti perlu dilipatgandakan bagi menampung kekurangan yang ada
- Pemberian subsidi kepada pengeluar dapat membantu pengeluaran yang mencukupi untuk menampung permintaan rakyat yang semakin bertambah

5. Penggunaan wang tunai
- Menggalakkan penggunaan wang tunai berbanding membayar menggunakan kad kredit
- Menggunakan wang tunai menyebabkan pengguna terasa ‘kehilangannya’
- Menggunakan kad kredit, pengaliran wang tidak nampak dan menyebabkan pengguna lebih cenderung berbelanja secara berlebih-lebihan boleh ‘membesarkan kerak nasi’ membawa implikasi negatif kepada diri sendiri
- Cara ini lebih berkesan bagi membantu mengurangkan kesan inflasi kepada golongan sederhana dan miskin kerana ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’
- Pengurusan kewangan secara berhemah amat diperlukan terutamanya menjelang musim perayaan



Kesimpulan
- Kenaikan harga barangan bukanlah satu isu yang baru kerana saban tahun negara akan menghadapinya
- Peniaga usah terlalu mengaut keuntungan sehingga menekan pengguna
- Pengguna pula perlu bijak menguruskan perbelanjaan dan jangan terlalu menurut nafsu
- Kerajaan perlu bertindak dengan bijaksana dalam membendung masalah ini ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak’
- Masalah ini pasti dapat dibendung sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak melaksanakannya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’

Saturday, August 20, 2011

KEBAIKAN AMALAN BERBELANJA SECARA BERHEMAH

Amalan berbelanja secara berhemat sememangnya memberikan manfaat yang besar. Oleh itu, amalan ini perlu disuburkan dalam kalangan masyarakat.
Berikan pendapat anda tentang kebaikan amalan tersebut. (Ting 1, hal.10)



Pendahuluan: Maksud pengguna berhemah: pengguna yang bijak dalam merancang perbelanjaan, melakukan perbandingan harga dan meneliti maklumat produk – sebab masyarakat menjadi kurang berhemah: karnival beli-belah sepanjang tahun - terdapat pelbagai kebaikan amalan berbelanja secara berhemah



Isi 1: Menjimatkan wang perbelanjaan
a. Membeli barangan yang perlu sahaja – mengurangkan kos keseluruhan
b. Mencatat barangan yang hendak dibeli mengikut keutamaan – mengelakkan diri membeli barangan yang tidak perlu
c. Memilih untuk berbelanja di pasar raya besar ataupun pada masa harga runtuh





Isi 2: Menggalakkan amalan menabung
a. Menyimpan baki wang perbelanjaan – memperuntukkan sejumlah wang yang mesti disimpan daripada gaji bulanan – sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
b. Simpanan kecemasan – memerlukan pada waktu yang tidak diduga – misalnya kemalangan – malang tidak berbau
c. Simpanan pendidikan – untuk anak-anak yang akan menyambung pelajaran – contohnya Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)




Isi 3: Mengurangkan beban hutang
a. Berbelanja mengikut kemampuan – ukur baju di badan sendiri - membuang prinsip biar papa, asalkan bergaya – tidak membawa sebarang manfaat
b. Pengehadan penggunaan kad kredit – menyebabkan kita muflis - jangan berbelanja lebih daripada pendapatan – masuk tiga keluar empat – membebankan diri pada masa hadapan – memanggul beban hutang





Isi 4: Membantu negara mengurangkan masalah inflasi
a. Inflasi bermaksud kenaikan harga barangan secara berterusan di pasaran
b. Permintaan masyarakat yang berlebih-lebihan akan menyebabkan kadar inflasi terus meningkat –merugikan pengguna





Isi 5 : Mengelakkan ditipu oleh penjual yang tidak jujur
a. Mendaparkan maklumat tentang produk melalui media massa – akhbar, televisyen, internet tentang promosi hari raya – pengguna tidak ditipu
b. Membandingkan harga barangan – jaminan jenama dan kualiti– pengguna berhemah, negara sejahtera – mengelakkan penipuan
c. Melihat maklumat produk di bungkusan – tarikh luput – logo halal JAKIM - bahan kimia berbahaya



Penutup: Pengguna perlu berbelanja secara berhemah – banyak manfaat – kempen berjimat-cermat tidak berguna seandainya pengguna masih tidak mampu mengawal nafsu berbelanja - ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis




Perbendaharaan Kata:


1. berhemah - bijak


2. produk - barangan


3. harga runtuh - promosi


4. kualiti - mutu


5. memanggul - memikul

CARA MENINGKATKAN HASIL PERTANIAN

Telitikan rajah di bawah dan kemudian tulis pendapat anda tentang cara meningkatkan hasil pertanian. Panjangnya karangan anda tidak melebihi 120 patah perkataan. (Ting 1, hal. 188)




Cara meningkatkan hasil pertanian.

1. Membekalkan benih yang berkualiti
2. Memberikan peralatan moden
3. Menyediakan kawasan yang strategik
4. Membantu pengeluaran modal




Cadangan jawapan:


.....Sektor pertanian banyak memberi keuntungan kepada negara. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan bagi meningkatkan hasil pertanian.



.....Antaranya ialah kerajaan perlu membekalkan benih yang berkualiti supaya produktiviti lebih berganda. Kajian yang giat perlu dilakukan bagi menghasilkan baka yang tahan penyakit.



.....Selain itu, kerajaan perlu memberikan peralatan moden seperti menyediakan jentera moden. Di samping menjimatkan penggunaan tenaga manusia, alat ini juga mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak.



.....Bahkan, kerajaan harus menyediakan kawasan yang strategik bagi membantu petani memasarkan hasil, misalnya pasar tani. Malah, tapak pertanian juga boleh disediakan.



.....Seterusnya, kerajaan wajar membantu pengeluaran modal, misalnya memberi dana untuk petani yang baru berjinak-jinak dengan bidang ini supaya mereka lebih bermotivasi.



.....Ringkasnya, usaha yang holistik pasti mampu mengangkat sektor ini sebagai penyumbang utama pendapatan negara.



(122 patah perkataan)

Tuesday, August 16, 2011

CARA MENJAGA KESIHATAN GIGI

Telitikan gambar di bawah dan kemudian tulis pendapat anda tentang cara-cara menjaga kesihatan gigi. Panjangnya karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. (Buku Teks Ting 1, hal.25)


Menjaga kesihatan gigi
1. Makan makanan berkhasiat
2. Mengurangkan pengambilan makanan bergula
3. Menggosok gigi
4. Menjalani pemeriksaan gigi



Cadangan jawapan:


Penjagaan gigi merupakan aspek yang sering diabaikan oleh masyarakat. Terdapat pelbagai cara untuk mengelakkan kerosakan gigi.


Antaranya adalah dengan makan makanan berkhasiat yang kaya dengan kalsium dan vitamin D. Amalan minum susu misalnya boleh membantu menguatkan struktur gigi.


Bahkan, tabiat pengambilan makanan bergula perlulah dikurangkan. Oleh itu, makanan seperti coklat, gula-gula dan donut perlulah dikurangkan kerana boleh merosakkan gigi.

Kita juga perlu menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, iaitu selepas bangkit daripada tidur dan sebelum tidur. Amalan bersugi dapat menyahkan sisa makanan dari celah gigi.


Malahan, kita perlu menjalani pemeriksaan gigi, sekurang-kurangnya dua kali setahun. Dengan cara ini, kita boleh mengetahui keadaan gigi sama ada sihat atau hampir rosak.


Sesungguhnya, penjagaan gigi perlu dititikberatkan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Dalam Islam, menjaga kebersihan itu separuh daripada iman.


(126 patah perkataan)

Sunday, July 31, 2011

KESAN RASUAH KEPADA NEGARA

Karangan yang dipaparkan di sini merupakan hasil nukilan anak didik saya. Terdapat beberapa kesalahan tatabahasa yang minimum telah saya betulkan sebelum menyiarkannya. Harap boleh dijadikan panduan.

Contoh 1

.....Rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Namun, kes ini semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Terdapat pelbagai kesan rasuah yang timbul kepada negara sekiranya amalan ini berlarutan.

.....Antaranya ialah menjejaskan imej negara. Apabila kes ini berlaku, kes ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan sistem perundangan di negara kita di samping menganggu kehidupan masyarakat dan birokrasi pemerintahan.


.....Selain itu, kes ini akan menjejaskan kualiti infrastruktur. Ramai pemaju sekarang hanya mementingkan wang daripada kualiti infrastruktur tersebut. Akibatnya, bangunan yang dibina mudah rosak dan tidak berkualiti.

.....Di samping itu, jenayah rasuah juga hanya membazirkan perbelanjaan kerajaan. Wang yang diberikan oleh kerajaan untuk melakukan kebajikan disalahgunakan. Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana hanya menjejaskan nama baik negara kita.

.....Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan yang berlaku akibat gejala ini. Ada yang berpendapat, rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang bisa menumbangkan pohon besar kerana kerjanya tidak nyata tetapi mampu melumpuhkan pembangunan negara.

(Nur Syahireen bt Yusoff, 3 Harmoni)



Contoh 2


.....Rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Gejala rasuah telah banyak berlaku di negara kita. Persoalannya, apakah kesan rasuah kepada negara kita?

.....Kesan perdana ialah rasuah boleh menjejaskan imej negara. Jika kes rasuah tidak ditangani dengan cepat, pelabur asing di negara kita akan berkurangan kerana takut ditipu oleh syarikat di negara kita. Natijahnya, pendapatan negara kita juga akan berkurangan.

.....Selain itu, gejala rasuah boleh menyebabkan pembaziran perbelanjaan kerajaan. Wang yang rasuah sepatutnya disalurkan ke arah dan kebajikan rakyat telah disalahgunakan. Keadaan ini mampu melumpuhkan ekonomi negara.

.....Di samping itu, rasuah boleh menjejaskan kualiti infrastruktur. Pelaku rasuah ini akan mengaut keuntungan yang lebih tanpa memikirkan kualiti bangunan yang akan menyebabkan kebocoran dan keretakan.

.....Akhirul kalam, langkah secara holistik perlu digembleng. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketat lagi agar timbul rasa takut dalam kalangan masyatakat.

Amirul Asyraf bin Che Azhar, 3 Harmoni)

Monday, July 25, 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN JENAYAH RASUAH

PMR

Berdasarkan rajah di bawah, tulis pendapat anda tentang langkah-langkah mengurangkan jenayah rasuah. Panjangnya pendapat anda tidak melebihi 120 patah perkataan.

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN JENAYAH RASUAH
1. Menguatkuasakan undang-undang
2. kempen Perangi Rasuah
3. Tempoh penyiasatan dan perbicaraan kes disegerakan


.....Mayapada, rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Persoalannya, bagaimanakah jenayah rasuah dapat dikurangkan?

.....Strategi perdana ialah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang seperti melalui Akta Pencegahan Rasuah 1997. Oleh itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu bertindak lebih agresif dengan menghukum perasuah yang didakwa bersalah.

.....Selain itu, kempen Perangi Rasuah perlu disebarluaskan melalui media massa. Ceramah dan seminar merupakan dua cara untuk memerangi rasuah melalui pendidikan kesedaran tentang bahaya rasuah kepada negara.

.....Malahan, tempoh penyiasatan dan pembicaraan kes rasuah mestilah disegerakan. Realitinya, kes yang lama akan digugurkan seterusnya memberi keyakinan kepada pelaku bahawa kerajaan tidak begitu komited.

.....Akhirul kalam, langkah secara holistik perlu digembleng. Ada yang berpendapat, rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang bisa menumbangkan pohon besar kerana kerjanya tidak nyata dan tersembunyi tetapi mampu melumpuhkan pembangunan sesebuah negara.

(121 patah perkataan)


SPM


Berdasarkan rajah di bawah, tulis pendapat anda tentang langkah-langkah mengurangkan jenayah rasuah. Panjangnya pendapat anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Langkah-langkah mengurangkan jenayah rasuah:
1. Menguatkuasakan undang-undang
2. Kempen Perangi Rasuah
3. Menyegerakan tempoh kes rasuah


.....Mayapada, rasuah merupakan musuh negara, selain dadah dan penyakit kronik. Apakah yang dimaksudkan dengan rasuah? Rasuah merupakan perbuatan memberi dan menerima sama ada berupa wang tunai, hadiah mahupun kuasa yang sebenarnya mempunyai niat yang tersembunyi, kata orang tua-tua dahulukala, ada udang di sebalik batu. Sejarah rasuah amat panjang dan kewujudannya di Tanah Melayu ini sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu semasa pembahagiaan kuasa yang Tun Muktakhir terhadap kroni-kroninya . Persoalannya, bagaimanakah jenayah rasuah dapat dikurangkan?


.....Strategi perdana ialah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang seperti melalui Akta Pencegahan Rasuah 1997. Ada pendapat yang mengatakan, undang-undang dibuat untuk dipatuhi, bukan untuk dilanggar. Salah satu tujuan undang-undang diwujudkan adalah untuk mendisiplinkan masyarakat. Sebagai tamsilannya, bagi Akta 575 pula, tiga jenis penalti dikenakan iaitu pemenjaraan, denda atau melucutkan harta. Seksyen 16 memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh minimum 14 hari dan tempoh maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang ditawarkan atau diterima, jika dapat dinilaikan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi. Sewajarnya, nilai denda perlulah dilipatgandakan supaya pelaku berasa lebih gerun.


.....Selain itu, kempen Perangi Rasuah perlu disebarluaskan melalui media massa. Pengunaan media massa secara holistik, yakni daripada siaran di surat khabar sehinggalah internet, perlulah dibuat. Hal ini demikian kerana pada masa kini, penyebaran sebarang informasi lebih mudah dan cepat dicapai oleh masyarakat melalui satu klik sahaja. Seharusnya kita perlu membugarkan bangga di dada kerana kerajaan memerangi gejala tumbuk rusuk ini secara habis-habisan. Bukan itu sahaja, ceramah dan seminar juga merupakan dua cara perlulah diadakan dari semasa ke semasa. Kata orang, melentur buluh biar dari rebungnya. Memegang kata-kata ini, pendidikan di sekolah juga perlulah diberikan keutamaan kerana merekalah yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.


.....Malahan, tempoh penyiasatan dan pembicaraan kes rasuah mestilah disegerakan. Realitinya, kes rasuah antara kes yang mengambil masa perbicaraan yang begitu lama. Hal ini disebabkan oleh pengumpulan maklumat dan bukti perlu dilakukan dengan berhati-hati. Akibatnya, banyak kes yang digugurkan begitu sahaja seterusnya memberi keyakinan kepada pelaku bahawa kerajaan tidak begitu komited dalam memerangi gejala yang tidak sihat ini. Untuk tujuan itu, pegawai penyiasat perlulah bertindak dengan lebih teliti dalam menghidu suspek yang boleh membantu proses penyiasatan berjalan dengan lebih lancar dan cepat diselesaikan. Bahkan, pelapor yang memberikan maklumat yang tepat dan benar, sewajarnya diberikan imbuhan serta pengiktirafan bagi menghargai sumbangan mereka dalam usaha membantu membanteras jenayah kolar putih ini.


.....Akhirul kalam, langkah secara holistik perlu digembleng oleh semua pihak. Ada yang berpendapat, rasuah diibaratkan sebagai anai-anai yang bisa menumbangkan pohon besar kerana kerjanya tidak nyata dan tersembunyi tetapi mampu melumpuhkan pembangunan sesebuah negara. Sekiranya diteliti, memang benar pendapat itu kerana anai-anai yang bersifat pemusnah kerjanya dilakukan secara implisit tetapi kesan akhirnya akan terdedah apabila pembongkaran berjaya dilakukan. Anda mahu terlibat dalam gejala ini? Tepuk dada, tanya minda.


Perbendaharaan kata:
a. Kroni – rakan dan saudara terdekat
b. Gerun – takut
c. Informasi – maklumat
d. Membugarkan – menyegarkan, menonjolkan
e. Komited – bersungguh-sungguh
f. Holistik – menyeluruh
g. Implisit – tersembunyi, tidak nyata


Friday, July 15, 2011

semuanya tentang MEMOTONG

1. memotong
mengerat sesuatu

2. membelah
menjadikan sesuatu kepada dua bahagian.
Kakak membelah buah tembikai untuk dihidangkan kepada tetamu.

3. memayang (mayang) / menghiris
memotong halus-halus dan nipis-nipis (bawang, daun)
Ibu memayang daun pandan untuk dijadikan bunga rampai.

4. menyembelih
memotong leher binatang dengan benda tajam sehingga putus merihnya
Pak Hamdan menyembelih tiga ekor ayam menggunakan pisau yang cukup tajam.

5. memenggal (penggal) / memancung (pancung)
memotong kepala
Mereka memenggal kepala musuh dan menggantungkannya di pintu masuk rumah.

6. mencantas /memangkas (pangkas)
memotong sesuatu dengan sekali hayun
Ayah mencantas dahan pokok rambutan yang menghalang pandangan.

7. menebang (tebang)
memotong pokok kayu yang besar-besar
Pekerja itu sedang menebang pokok kelapa yang semakin condong ke rumah nenek.

8. menebas (tebas) / merambah / membabat
memotong pokok-pokok kecil seperti lalang, semak
Datuk kelihatan menebas lalang yang semakin meninggi ketika kami tiba di kampung.

9. menoreh (toreh)
memotong kulit kayu / pokok dengan tidak berapa dalam
Selepas subuh, Nek Yang akan menoreh getah bagi menyara hidupnya.

10. menarah (tarah)
meratakan sesuatu (kayu, dll) dengan menggunakan kapak dll
Bapa menarah kayu merbah untuk dibuat lantai.

Tuesday, July 12, 2011

KARANGAN ULASAN BUKU : TUMBUH DI TENGAH BADAI

Anda telah memenangi sayembara menulis esei yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Antara hadiahnya ialah sebuah novel. Setelah membaca novel itu, anda ingin mengulasnya untuk disiarkan di papan kenyataan sekolah.
Ulaskan novel yang telah anda baca itu.


.......‘Tumbuh di Tengah Badai’ begitulah judul novel yang dikarang oleh novelis Indonesia, Herniwatty Moechiam. Melalui tajuknya saja telah menggendong seribu satu makna tersirat. Menyelak halaman pertama daripada 237 halaman kesemuanya membuatkan pembaca akan benar-benar disuntik kesegaran melalui bait-bait bahasa yang disusun sebegitu segar. Novel ini telah diterbitkan oleh PTS Litera yang diadaptasikan daripada cebisan kisah benar. Dengan menggabungkan tiga foto, iaitu seorang lelaki sedang memegang biola, seorang ibu tua dan sawah padi yang berbumbungkan langit kelabu, ternyata sudah menyelak sedikit demi sedikit rahsia intipati novel ini.

.......Benar seperti kata pengarang lewat pengenalan novel ini: Hidup ini sebenarnya memberikan banyak pilihan…. Novel ini juga menyingkap pengorbanan dan manifestasi kesabaran seorang ibu yang terpaksa berhadapan dengan anak keempatnya, Catra yang menghidapi penyakit disfungsi minimal otak yang akhirnya menyebabkan pertumbuhan mental anaknya itu tidak seperti anak-anak yang sebaya dengannya. Berhadapan dengan Wim, suami yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya tidak sempurna, cukup memeritkan. Hari-hari yang ditempuh bagaikan melalui bara yang membakar telapak kaki.
.

......Disebabkan sikap panas baran Wim, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai setelah masing-masing tidak lagi semesra sebelum Catra dilahirkan. Keperitan yang dilalui oleh seorang ibu tunggal lebih terserlah apabila terpaksa memperjudikan nasib dan keadaan untuk membesarkan keempat-empat anak yang masih kecil. Walaupun begitu, dengan berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, akhirnya Catra membesar sebagai seorang manusia, yang memiliki bakat semula jadi bermain biola. Malahan, Catra mampu belajar dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan sehingga dapat menyambungkan pengajian di pusat pengajian tinggi dalam bidang sastera.

.......Novel bercirikan Islamik ini mengangkat ketabahan seorang wanita dalam mengharungi kehidupan dengan dihujani badai dan gerimis ujian Allah. Hal ini ditonjolkan melalui perwatakan Aku (ibu Catra) yang dilihat begitu kuat menggenggam amanah Tuhan. Semasa suaminya, Wim cuba meloloskan diri daripada tanggungjawab dan tidak mahu bercerminkan kenyataan, Aku mengggumpul sejuta kekuatan untuk menjaga Catra yang cacat dan memerlukan perhatian yang lebih berbanding Yann dan Tantri. Catur Putra yang meninggal dalam kandungannya tidak pula sempat melihat dunia yang fatamorgana ini. Persoalan dalam novel ini begitu besar, antaranya ketidakmampuan untuk berhadapan dengan kenyataan, seperti watak Wim yang tidak mampu menelan kenyataan bahawa Catra tidak dapat membesar seperti Yann dan Tantri.

.......Selain itu, terdapat juga persoalan tentang hubungan manusia dengan Pencipta. Mungkin pembaca sejak awal pembacaan bertanya-tanya: Mengapa Aku begitu sabar mengasuh dan mendidik anak yang tidak sempurna itu? Walaupun Catra begitu ruwet untuk dijaga, bahkan membuatkan diri Aku terkongkong kerana Catra tidak boleh berhadapan dengan bunyi bising seperti di pasar raya? Jawapannya sederhana, kerana dia percaya bahawa Allah sedang menguji dirinya. Oleh sebab itulah, Aku tidak sesekali pernah mengalah sebaliknya mengumpul sejuta ketabahan untuk berhadapan dengan ujian maha hebat itu.

.......Walaupun novel ini dibina plotnya secara tidak kronologi, iaitu tidak mengikut susunan, namun pemahaman pembaca terhadap jalan ceritanya masih baik. Kesinambungan antara bab begitu signifikan kerana pergerakan plot berjalan secara sistematik. Unsur suspens, kejutan, imbas kembali dan sebagainya membuatkan pembaca tidak berasa bosan untuk menikmati karya ini sehingga selesai. Jalinan teknik plot yang pelbagai, serta tempo jalan cerita yang sesekali dipercepat membuatkan novel ini berada di kedudukan yang tersendiri. Konflik yang ditimbulkan dalam diri Aku juga antara Aku dengan persekitarannya dalam keadaan yang tidak diduga memberi kesan yang baik. Misalnya, Aku akhirnya berbaik dengan Wim setelah hubungan mereka berantakan angkara Catra tanpa disangka-sangka.

.......Keistimewaan novel ini juga dilihat daripada segi watak dan perwatakannya. Pada hemat saya, kelebihan penulis sebagai seorang wanita telah memberikan ‘jiwa’ kepada watak Aku yang juga seorang ibu. Kata Bhiku Parekh, jiwa perempuan hanya mampu diselami oleh golongan itu. Membaca novel ini, saya membenarkan kata-kata itu. Masakan tidak, diranjau oleh cabaran membesarkan anak yang tidak boleh bertutur dengan sempurna, selain sifatnya yang dianggap aneh, mampu digalas oleh watak Aku dengan begitu cemerlang. Sesungguhnya, jiwa Herniwatty Moechiam telah meresap dalam setiap perilaku Aku sehingga dapat dihidu oleh pembaca.

.......Satu hal yang saya begitu terkesan ketika membaca novel ini ialah ekspresi bahasanya. Walaupun novel ini merupakan terjemahan daripada bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia, ketulenan gaya bahasa yang membuai perasaan langsung tidak berubah. Penggunaan metafora dan persoanfikasi yang segar membuatkan novel ini cukup enak untuk dihadam. Tambahan pula, novel yang dipenuhi ungkapan berbunga dan berfalsafah membuatkan karya ini begitu istimewa. Tidak percaya? Nikmati petikan kata-kata ini: “Tuhan memberkati kami dengan memberikan hadiah istimewa-Nya. Namun, hamparan langit yang kuning menjingga berubah warna menjadi merah darah sebelum memekat dan bercampur warna kelabu. Nah, bukankah bait-bait itu begitu mempesona?”.

.......Dalam novel ini, terlalu banyak nilai dan pengajaran yang boleh dikutip oleh pembaca. Novel pembangunan rohani ini sesuai dijadikan bahan bacaan terapi minda, khususnya bagi golongan yang hampir putus asa dengan keadaan anak yang dilahirkan cacat sejak lahir. Pembaca harus meneladani sikap Aku yang tidak pernah menyerah dengan keadaan, sebaliknya sering memanjatkan doa kepada Allah supaya memberi kekuatan kepadanya menghadapi segala ketentuan. Seawal pembacaan, khalayak sudah dihidangkan dengan unsur didaktik yang menggunung, iaitu kepercayaan Aku kepada takdir Tuhan.

......Akhirul kalam, novel ini sememangnya sesuai dijadikan bahan bacaan oleh semua peringkat umur. Novel ini secara implisit memberi peringatan kepada kita bahawa tidak semua kekurangan yang kita nampak pada mata kasar itu adalah tidak baik. Dalam menelusuri kehidupan, sewajarnya kita mencontohi sikap Aku yang bersabar dalam keadaan apa sekalipun. Ingatlah, Allah tidak pernah menguji makhluk-Nya melebihi kemampuan makhluk itu sendiri. Tiada kata yang paling sesuai untuk dikongsi melainkan, silalah baca dan nikmatilah setiap bait di dalamnya.

KARANGAN GAMBARAN : KEBAKARAN

.......Pada petang itu, aku pulang lewat ke rumah kerana Cikgu Amir mengadakan pemilihan pemain bola sepak sekolah. Kebetulan Syah dan Hakim juga mahu bersaing pulang ke rumah memandangkan rumah mereka tidaklah begitu jauh dari rumahku. Kami bercadang untuk melalui jalan pintas yang memerlukan kami melalui sebuah kampung, iaitu Kampung Bunga Raya.


.......Sepanjang perjalanan, kami bercerita tentang harapan untuk mewakili sekolah. Sesekali, kami ketawa apabila Hakim yang memang terkenal dengan sikap suka berlawak, membuat jenaka. Dari jauh, kami ternampak asap yang berkepul-kepul di udara.


.......“Eh, kau tengok tu. Asap berkepul-kepul. Macam ada rumah terbakar?” kata Hakim.


.......“Ah, itu hanya asap dari kilang kelapa sawit belakang ladang ini,” ujar Syah.


.......“Syah, Amran, cuba bayangkan kalau tiba-tiba babi hutan melintas depan kau?” potong Hakim. Kemudian dia menyeringai seperti monyet mendapat pisang.


.......“Eish, kau ni. Cakap bukan-bukan saja.” Hakim ketawa terbahak-bahak apabila melihat wajah Syah yang begitu serius. Kemudian, tawa kami berderai memecah kesunyian petang itu.


.......Tiba-tiba, semak di depan kami bergoyang-goyang. Pada mulanya, kami sangka babi hutan melintas. Sangkaan kami meleset apabila seorang budak lelaki menerpa ke arah kami.


.......“Abang… abang tolong saya! Rumah kami… rumah kami terbakar,” ujarnya sambil tercungap-cungap sambil tangannya menunding ke arah kilang kelapa sawit.


.......Kami kelu seribu bahasa. Sungguh, kami tidak menduga bahawa asap yang menebal di udara itu rupanya disebabkan oleh rumah yang terbakar. Tanpa membuang masa, kami bergegas mengikutnya. Ternyata kami juga kalah dengan larian budak yang berkaki ayam itu, walaupun kami merupakan atlet sekolah.


.......Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak. Keadaan menjadi tidak terkawal apabila kesemua bahagian rumah sudah dijilat oleh api. Sementara itu, beberapa orang wanita sedang mententeramkan ibu budak tadi.


.......“Tolong! Rumah aku! Tolong…” jerit perempuan tua itu dengan tangisan yang tidak henti-henti. Namun, suaranya tenggelam dalam keriuhan suara orang ramai yang berlarian-larian membantu memadamkan api.


.......Ada juga beberapa pemuda yang menyimbah air menggunakan baldi dan timba. Ternyata usaha itu tidak membuahkan hasil kerana api yang menjulang tinggi itu tidak terkalahkan oleh air setimba dua.


.......“Syah, pergi telefon bomba sekarang.” Aku mengarahkan Syah pergi menelefon bomba. Kebetulan, ada sebuah pondok telefon yang berhampiran. Menurut budak itu, adiknya bermain api, kemudiannya menyambar langsir.


.......Sementara menunggu bomba sampai, aku dan Hakim pergi membantu penduduk kampung yang berlari-larian mengangkut air dan menyimbahnya. Dalam masa kurang lima minit, sepasukan bomba pun sampai di tempat kejadian. Pihak bomba bertungkus-lumus memadamkan api yang kian marak kerana tiupan angin yang semakin kencang. Pasukan itu mengambil masa kurang dari 10 minit untuk memadamkan api itu. Walaupun begitu, tidak banyak peralatan yang dapat diselamatkan. Mujurlah tiada kemalangan nyawa yang berlaku.
Budak itu berdiri menghadap rumahnya yang tinggal rangka. Kami tahu, berat mata memandang, beri lagi bahu yang memikulnya. Barangkali dia memikirkan nasib keluarganya selepas ini.

.......Kami mendekati budak itu. Aku memegang bahunya. Matanya berkaca-kaca. Kolam matanya yang tidak mampu menahan menyebabkan air matanya tumpah. Kami berkongsi sebak.

.......“Abang, terima kasih kerana membantu saya. Tiada wang yang dapat saya hulurkan. Hanya ucapan berbanyak-banyak terima kasih,” ujarnya sambil menyeka air mata yang tersisa.

.......“Kami tak minta dibalas. Cuma kami harap adik tabah menghadapi ujian Allah,” pujuk aku perlahan-lahan.

.......memberikan kata-kata semangat, kami meminta diri untuk beredar. Walaupun penat, kami pulang dengan penuh rasa bangga kerana sudah menyumbangkan bakti. Setibanya di rumah, ibu sudah tercegat di muka pintu. Aku pun menceritakan kejadian sebenar. Ibu menasihati aku supaya tidak bermain api kerana khuatir kejadian itu menimpa keluarga kami.

Saturday, July 9, 2011

LANGKAH MENERAPKAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI SEKOLAH

Pencemaran alam telah membuatkan banyak pihak sedar akan kepentingan pendidikan alam sekitar dalam kehidupan.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.


.......Pendidikan alam sekitar dapat didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan bagi menyelamatkan alam sekitar daripada terus dirosakkan. Hal ini penting bagi membendung kerosakan yang dilakukan oleh manusia terhadap alam sekitar. Antara kerosakan itu adalah mencemarkan air dan udara, menggunakan bahan yang sukar dilupuskan, menebang hutan tanpa kawalan, menarah tanah tinggi, serta menggunakan air dan tenaga elektrik yang berlebihan. Ancaman ini telah membuatkan pendidikan alam sekitar dilihat sebagai satu senjata ampuh yang mampu mengubah tingkah manusia kepada menyayangi alam sekitar daripada terus digunakan secara sewenang-wenangnya. Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan bagi menerapkan pendidikan alam sekitar di sekolah.



.......Antaranya adalah dengan mengadakan kempen ‘Sayangi Alam Sekitar’. Bagi menguruskan kempen ini, maka Persatuan Alam Sekitar boleh bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melicinkan perjalanan program yang dirancang. Antara program yang boleh dijalankan sepanjang kempen ini diadakan ialah pertandingan melukis poster, pertandingan mencipta dan mendeklamasikan puisi, pertandingan menulis esei, pertandingan pidato, syarahan dan debat, ceramah tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh menarik minat pelajar. Kesemua aktiviti ini menjurus kepada satu matlamat, iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Tegasnya, kempen sebegini harus dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan agar kesedaran yang ingin ditanam ranum di sukma mereka sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan hijaunya alam sekitar.




.......Selain itu, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji keperluan mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar sebagai subjek elektif di sekolah. Hal ini disebabkan oleh sikap remaja masa kini yang memandang enteng akan kepentingan menjaga alam sekitar. Mereka juga kabur akan rasionalnya, di samping diburukkan lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Sains, dan Geografi yang telah memasukkan topik berkenaan alam sekitar, maka pengekalan perlu dilakukan. Seandainya cadangan mewujudkannya sebagai mata pelajaran elektif tidak dilaksanakan, maka sekurang-kurangnya kita sudah ada persediaan ke arah mengangani masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing. Ringkasnya, silibus tentang pendidikan alam sekitar perlu diwujudkan, tidak kiralah sebagai subjek tunggal mahupun sisipan memandangkan kepentingannya dalam jangka panjang.




.......Di samping itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan gotong-royong memghijaukan kawasan sekolah. Program penghijauan ini boleh dilakukan dengan menanam pokok-pokok di sekitar kawasan sekolah. Antara pokok-pokok yang boleh ditanam ialah pokok buah-buahan dan pokok perhiasan, seperti pokok bunga. Selain memcantikkan sekolah dan memberi hasil untuk dimakan, penanaman pokok ini sebenarnya telah membantu penambahan pengeluaran gas oksigen yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Program ini sebegini juga mampu mendidik remaja agar mengawal aktiviti penggondolan hutan secara berleluasa seperti yang didepani oleh dunia dewasa ini. Ringkasnya, aktiviti seperti ini sememangnya penting dalam mendidik tabiat sayang akan alam sekitar sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.



.......Bukan itu sahaja, sekolah boleh mengenakan peraturan baru bagi penggunaan air dan elektrik di sekolah. Hal ini bertujuan bagi mengawal penggunaan elektrik dan air daripada terus dibazirkan. Penggunaan elektrik dan air yang tidak terkawal merupakan salah satu bentuk kerosakan terhadap alam sekitar. Hal ini demikian kerana penggunaan elektrik yang berlebihan telah membebaskan gas-gas beracun seperti monoksida yang mampu mengancam ekosistem dan kesihatan manusia juga. Sekolah boleh menggariskan beberapa peraturan seperti menutup lampu setiap jam8.30 pagi misalnya, kecuali pada hari hujan dan mendung. Kipas pula perlu dihentikan sekiranya pelajar tidak berada di dalam kelas, umpamanya pergi ke makmal dan ketika waktu rehat. Bagi memastikan pelaksanaan peraturan ini berjaya, maka pengawas perlu prihatin dan bertanggungjawab memantau dan memastikan lampu dan kipas telah dimatikan sebelum meninggalkan kelas. Jelasnya, tindakan sebegini bukan sahaja mampu menjimatkan penggunaan air dan elektrik tetapi dapat memupuk sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian kerana agama Islam menyifatkan pembaziran itu merupakan amalan syaitan.



.......Malahan, Kementerian Sumber Asli boleh bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi menjalankan program kitar semula di sekolah. Walaupun program ini pernah diperkenalkan suatu tika dahulu, tetapi kali ini kerajaan perlu lebih proaktif. Sebagai contoh, kerajaan perlu menjelaskan konsep kitar semula dengan jelas, sama ada melalui media elektronik, media cetak, mahupun buku teks. Bahkan, kerajaan perlu melabelkan tong-tong kitar semula dengan perkataan, bukan lagi sekadar lambang dan simbol. Ternyata simbol yang terdapat pada setiap tong tidak banyak membantu kerana masih terdapat remaja, malah masyarakat yang keliru dan tersalah meletakkan bahan buangan ke dalam tong lain. Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula di sekolah ialah, surat khabar, kertas, tin aluminium, botol minuman plastik, dan kaca. Hal ini secara tidak langsung menjimatkan sumber dan mengelakkan penerokaan serta penebangan hutan secara berleluasa.



.......Seperti yang kita sedia maklum, remaja cukup sinonim dengan hiburan. Malahan, ada di antara mereka yang menjadikan artis popular sebagai idola. Sudah terang lagi bersuluh, atas dasar itulah kementerian perlu memanfaatkan situasi ini dengan sebaik mungkin. Sudah tiba masanya lagu kitar semula digubah dan dinyanyikan oleh artis popular tanah air. Lantaran itu, ceramah yang diadakan di sekolah boleh disampaikan oleh duta alam sekitar yang dilantik daripada kalangan artis. Meskipun begitu, artis yang dilantik perlu mempunyai ilmu dan minat yang mendalam terhadap pelestarian alam sekitar. Kita tidak mahu remaja hanya berhibur, sedangnya nilai kecintaan terhadap alam sekitar dikesampingkan. Sesungguhnya, kerajaan perlu mendapat pencerahan dalam memastikan pembenihan cinta akan alam sekitar dibugarkan dengan cara bilazim supaya pencambahan itu dapat dilakukan dengan lebih segar.



.......Sebagai intiha, pelestarian alam sekitar sebenarnya bukan bermula di bangku sekolah, sebaliknya harus disemai, dibaja dan disiram di rumah. Lebih-lebih lagi, tidak mungkin kayu yang bengkok mampu menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Atas dasar itu, ibu bapa perlu mencitrakan perlakuan yang boleh dijejaklangkahkan oleh anak-anak. Kerajaan dan guru hanya melengkapkan pengisian yang telah dicurahkan semasa anak-anak di rumah. Ingatlah, alam ini hanya pinjaman daripada generasi mendatang. Lantaran itu, seandainya semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil pencemaran alam sekitar hanya menjadi kenangan.



KESAN BENCANA ALAM

Telitikan gambar rajah di bawah ini, kemudian berikan pendapat anda tentang kesan-kesan bencana alam kepada negara. Panjangnya pendapat anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Kesan Bencana Alam
1. Ekonomi sesebuah negara terjejas
2. Meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan
3. Kemusnahan harta benda dan hilang mata pencarian


Contoh Jawapan:


.......Bencana alam dapat didefinisikan sebagai kejadian yang tidak terduga, yang berlaku sama ada disebabkan oleh manusia ataupun berlaku secara semula jadi. Antara contoh bencana alam ialah letusan gunung berapi, banjir, tanah runtuh, tsunami, gempa bumi, kemarau dan sebagainya. Belakangan ini, bencana alam sering menjadi topik hangat yang dihebahkan melalui dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Antara contoh bencana alam yang pernah dilaporkan di Malaysia ialah runtuhan di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa dan tsunami di Pulau Pinang. Persoalannya, apakah kesan-kesan bencana alam yang sering kali menjadi bualan masyarakat ini?

.......Kesan perdana yang dihadapi oleh sesebuah negara yang dilanda bencana alam ialah ekonomi sesebuah negara terjejas. Apabila bencana alam berlaku, banyak kemusnahan yang dilaporkan, antaranya infrastruktur, pejabat, kawasan pertanian, pusat perindustrian dan sebagainya. Sebagai contoh, tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini telah memaksa negara Matahari terbit itu membelanjakan berbilion-bilion yen untuk membina prasarana yang baru. Malahan, perbelanjaan yang besar juga perlu dilakukan bagi menyelamatkan mangsa bencana alam dengan cara memberi bantuan kecemasan dan menyediakan tempat tinggal yang selamat.

.......Selain itu, bencana alam juga meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan. Kata orang, malang tidak berbau. Dalam kejadian bencana alam seperti tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada 22 November 2002, empat nyawa yang dilaporkan terkorban. Barangkali itu angka yang cukup kecil jika dibandingkan gempa bumi yang berukuran 8.9 pada skala Ritcher yang mengorbankan nyawa melebihi 11,000 orang pada 26 Disember 2004. Dalam kejadian ini, banyak mangsa mati kerana ditimpa runtuhan bangunan dan dihempap pokok, tidak kurang juga dilemaskan oleh ombak ganas yang menggila. Keadaan ini tentunya menyebabkan ahli keluarga mangsa meratapi kematian mangsa bencana alam.

.......Di samping itu, bencana alam turut menyebabkan kemusnahan harta benda dan hilang mata pencarian bagi penduduk setempat. Laporan akhbar sering kali menunjukkan foto-foto tempat tinggal mangsa yang musnah dek kejadian bencana yang tidak disangka ini, sekali gus meranapkan barang berharga di dalam rumah. Sebagai contoh lainnya, kejadian ombak besar atau dalam bahasa Jepun, tsunami, telah menyebabkan Banda Acheh dan pantai Phuket menjadi sepi daripada kunjungan pelancong. Temu bual yang dilakukan dengan penduduk setempat, mereka menyatakan bahawa tempat itu tidak lagi menjadi destinasi pelancongan seperti sebelum petaka itu berlaku. Lantaran itu, penduduk setempat yang majoritinya bergantung kepada pelancongan sebagai sumber pendapatan terjejas teruk seterusnya menjatuhkan pendapatan negara Indonesia dan Thailand pada tahun tersebut.

.......Akhir kalam, bencana alam sememangnya memberikan impak yang buruk kepada semua orang. Oleh itu, semua pihak perlu bersinergi dalam memastikan musibah ini dapat dihindari. Disarankan supaya kerajaan perlu memasang sistem pengesanan bencana alam seperti yang dilakukan di beberapa buah negara maju, tamsilnya di Jepun dan Amerika Syarikat. Oleh sebab petaka ini sukar diramal, maka lebih baik kita ‘sediakan payung sebelum hujan’ kerana tidak guna ‘sudah terhantuk baru hendak terngadah’.

Tuesday, July 5, 2011

LANGKAH MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA


PMR



.......Mayapada, sektor pertanian semakin dipandang enteng oleh masyarakat. Terdapat pelbagai langkah yang perlu dilakukan untuk memajukan sektor pertanian negara.



.......Langkah perdana adalah dengan membantu petani memasarkan hasil, misalnya melalui organisasi FAMA. Pasar tani pula merupakan landasan kepada petani untuk menjual hasil tuaian mereka.



.......Selain itu, pihak bank perlulah memudahkan urusan pinjaman modal dengan memendekkan masa kelulusan pinjaman. Bahkan, kadar faedah juga perlulah diturunkan.



.......Di samping itu, kerajaan wajar memberikan insentif kepada petani seperti wang, subsidi baja dan racun serangga serta alatan pertanian. Petani yang berjaya pula perlu diberikan pengiktirafan contohnya memberi sijil penghargaan dan wang tunai.



.......Konklusinya, usaha yang bersepadu perlulah digerakkan oleh semua pihak. Saya begitu optimistik dengan kelebihan Malaysia seperti kecocokan iklim dan kesuburan tanih, pertanian mampu menjana pendapatan lumayan.



[120 patah perkataan]





SPM



.......Benarlah kata orang, sekali bah melanda, sekali itu jugalah pantai akan berubah. Begitu juga situasi yang dapat dilihat kepada sektor pertanian negara. Semasa pemerintah Tun Dr Mahathir Mohamed, ekonomi berasaskan perindustian dititikberatkan. Namun, apabila tampuk pemerintahan bertukar tangan kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, sektor pertanian kembali mendapat tempat. Hal ini demikian kerana pertanian mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara, selain menawarkan peluang pekerjaan serta menjadi sekuriti bekalan makanan rakyat. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk memajukan sektor ini?




.......Strategi perdana untuk memacu sektor ini ke tempat yang lebih depan adalah dengan membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka. Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah menghulurkan tangan untuk membantu golongan petani, khususnya petani kecil yang terdapat di desa terpencil. Bagi menyambung hayat rezeki, kerajaan telah mewujudkan satu organisasi khas, iaitu FAMA bagi membantu petani untuk memasarkan hasil tani mereka kepada masyarakat. Selain itu, kerajaan telah membuka ruang untuk petani bagi menjual hasil tuaian mereka, iaitu melalui kewujudan pasar tani di seluruh pelosok negara.


.......Bukan itu sahaja, kerajaan telah memberi insentif yang pelbagai kepada petani supaya sektor ini dapat berkembang pesat kembali. Ibarat ingin mengembangkan bunga di taman, perlulah ditaruh baja yang banyak. Begitulah ibaratnya dengan cara untuk memajukan sektor ini. Realitinya, kerajaan telah banyak memberikan bantuan modal kepada petani di negara ini. Sebagai tamsilannya, sumbangan wang tunai, subsidi biji benih dan racun serangga, bantuan baja kimia yang berkualiti, serta jentera mampu membuatkan petani tradisional meraih pendapatan yang lumayan kerana hasil yang dituai lebih produktif. Bagi petani yang bergelar usahawan berjaya, saban tahun kerajaan menyediakan platform untuk mengiktiraf kerja keras mereka dengan menganugerahi mereka sijil penghargaan dan wang tunai bagi menyuntik semangat mereka untuk terus giat membangunkan bidang ini. Dengan cara ini juga, petani lain akan lebih bermotivasi untuk menurut jejak langkah mereka yang telah berjaya.



.......Di samping itu, pihak bank perlu memudahkan urusan pinjaman modal. Banyak petani yang mengeluh kerana tempoh kelulusan pinjaman yang begitu panjang, sementelahan prosedur untuk membuat permohonan terlalu rumit. Pemohon perlu mengisi pelbagai borang dengan perlu mendapatkan sokongan beberapa pihak sebelum diluluskan. Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan menjalinkan usahasama dengan bank tertentu untuk membantu golongan petani. Sebagai contohnya, Bank Rakyat telah menawarkan kemudahan pinjaman yang luwes yang diyakini dapat membantu petani membuat urusan lebih lancar. Bahkan, kadar faedah perlulah diturunkan kepada satu tingkat yang maksimum, misalnya pada tahap 1.0 peratus. Oleh itu, petani tidak pula terbeban dengan hutang yang akhirnya mematikan semangat mereka untuk memajukan sektor ini.



.......Selain itu, kerajaan wajar memanfaatkan penggunaan teknologi tinggi dalam proses pembangunan sektor ini. Tujuannya adalah untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan selain memantapkan produktiviti melalui penggunaan sumber yang optimum. Dalam hal ini, penggunaan jentera dilihat cukup membantu petani, terutamanya bagi petani yang mengusahakan pertanian ladang seperti padi sawah, kelapa sawit dan lada hitam. Di samping menjimatkan tenaga dan masa, penggunaan jentera juga mampu mengeluarkan hasil yang lebih memberangsangkan. Dalam arus globalisasi, sudah tiba masanya kerajaan menjinakkan petani supaya memasarkan hasil tani mereka melalui jaringan internet. Natijahnya, pemanfaatan usaha ini membolehkan pemasaran hasil bukan sahaja meliputi pasaran domestik, malah menjangkau pasaran luar negara.


.......Intihanya, sinergi yang bersepadu perlulah digerakkan semaksimum mungkin bagi memastikan sektor pertanian menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK) seperti suatu ketika dahulu. Saya begitu optimistik, dengan segala kelebihan yang kita miliki seperti iklim khatulistiwa yang cocok dengan banyak jenis tanaman dan tanih yang subur, sektor pertanian bisa menunjangi pembangunan negara. Perlu diingat, kita bukan meminggirkan sektor perindustrian secara total. Kata orang, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis’, kerana target mencapai penduduk seramai 70 juta orang memerlukan sekuriti bekalan makanan yang mencukupi. Adakah dengan mengimport bekalan makanan dapat menampung kadar pertumbuhan penduduk yang begitu pesat sekali gus mengimbangi imbangan pembayaran negara? Tepuk dada, tanya minda.