Wednesday, September 22, 2010

AYAT DALAM KARANGAN

Dalam membina karangan, pelajar perlu mengetahui sekurang-kurangnya sembilan jenis ayat. Berikut diterangkan jenis ayat tersebut.


Ayat pengenalan

Ayat pengenalan merupakan pembuka kepada karangan. Ayat ini boleh dalam bentuk pendefinisian atau memberi penjelasan kepada sesuatu konsep, boleh juga dalam bentuk pemaparan statistik, data, kajian serta laporan.

Perlu diingat, ayat pengenalan memberikan persepsi awal terhadap keseluruhan karangan. Jika ayat ini dibuat dengan penuh bergaya, maka tentulah pemeriksa akan menelah bahawa karangan itu tentunya baik.

Ayat pengenalan tidak ada penanda wacana yang khusus. Namun, pelajar boleh menggunakan penanda wacana seperti ini:
- Dewasa ini … / Dasawarsa ini …
- Seperti yang telah digembar-gemburkan oleh pihak media …
- Sejak dahulu lagi, kita sering mendengar berita …
- Era pascaperindustrian telah menjerumuskan kita …
- Pada zaman pascamodenisasi yang semakin memuncak ini …
- Hakikat yang selalu kita dengar tetapi jarang kita telan ialah …
- Dada-dada akhbar dan kaca televisyen sering diwarnai dengan …



Ayat arah

Sesuai dengan namanya sebagai ayat arah, ayat ini berfungsi sebagai menetapkan haluan karangan pelajar. Dalam kata lainnya, ayat ini boleh dicipta melalui kehendak soalan yang dipaparkan. Berikut merupakan contoh bagi soalan karangan.

Pencemaran air merupakan salah satu masalah yang kian meruncing. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang mendorong kepada permasalahan ini?

Kehendak soalan ini ialah memerlukan pelajar menghuraikan faktor-faktor yang mendorong kepada masalah pencemaran air. Jadi, ayat arah boleh ditulis sebagai:
- Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah pencemaran air.
- Natijahnya, banyak punca yang menyebabkan masalah pencemaran air semakin berleluasa.
- Jadi, apakah faktor yang mendorong kepada permasalah ini?



Ayat topik

Ayat topik akan menggariskan isi penting bagi sesebuah perenggan. Oleh itu, pelajar diingatkan bahawa menyusun isi yang dikemukakan mengikut susunan keutamaan, iaitu daripada yang paling penting atau efektif kepada yang kurang penting atau lemah.

Ayat topik perlulah segar dengan penggunaan kata-kata yang dapat menarik perhatian pemeriksa dengan isi yang dipaparkan. Oleh itu, elakkan menggunakan perkataan yang berulang-ulang. Ayat topik tidak perlu panjang, cukup untuk pelajar menyebut isi yang akan dihuraikan dalam ayat huraian.

Berikut penanda wacana yang boleh digunakan dalam setiap ayat pertama dalam karangan.
- Antaranya ialah … / Antaranya adalah dengan …
- Cara perdana … / Faktor perdana … / Kesan yang paling mendesak ialah …
- Di samping itu …
- Selain itu … / Selain itu juga
- Tidak kurang juga ...
- Bukan itu sahaja
- Malahan …
- Bahkan …



Ayat huraian

Selain ayat pengenalan, dalam karangan juga perlulah ada ayat huraian. Ayat huraian juga dapat dikatakan sebagai ayat lanjutan kepada isi yang telah diketengahkan. Ayat huraian biasanya menjawab persoalan mengapa dan apa, misalnya apa kesannya?

Perlu diingat bahawa ayat huraian yang baik perlulah padat dengan segala informasi yang berkaitan dengan isi yang digariskan pada setiap ayat. Berikut merupakan contoh penanda wacana yang boleh digunakan dalam membuat ayat huraian.
- Satu hakikat yang payah untuk dikesampingkan ialah …
- Realitinya, kita memang tidak dapat menyangkal …
- Seperti yang kita sedia maklum …
- Bertitik tolak daripada itu …
- Disebabkan kelebihan inilah … / Berpunca daripada kepincangan inilah …
- Hal ini secara tidak langsung …
- Lantaran itu … / Ekoran daripada tindakan itu …
- Keadaan ini tentunya menyumbang kepada …
- Kenyataannya ialah banyak di antara kita yang memandang masalah ini dengan enteng kerana …
- Perkara yang paling ketara ialah … / Fenomena yang begitu menyesakkan dada ialah …
- Walaupun pelbagai langkah telah dilakukan …
- Kendatipun menggunakan cara kekerasan …
- Serupa juga dengan situasi yang tercermin di …
- Sungguhpun tidak banyak yang mengetahuinya …



Ayat contoh

Ayat contoh merupakan pembuktian yang ingin dibuat, selain bertujuan mengukuhkan isi yang telah dinyatakan. Contoh boleh wujud dalam pelbagai bentuk, antaranya ialah contoh berbilang-bilang, contoh tunggal, statistik, kajian, laporan, juga dalam bentuk analogi yang terdiri daripada kias ibarat, simile, perumpamaan dan sebagainya.

Berikut merupakan penanda wacana yang boleh digunakan untuk menulis ayat ini.
- Sebagai contoh …
- Misalnya …
- Bukti yang paling jelas ialah …
- Biar kita ambil contoh yang begitu ketara …
- Contoh yang paling dekat dengan kita ialah …
- Bagi mengukuhkan hal ini, biar kita paparkan …



Ayat penegas

Ayat ini digunakan untuk menegaskan pendirian pelajar terhadap isi yang telah dinyatakan. Ayat penegas hanya mengulang isi yang telah dinyatakan bagi memperlihatkan kekuatan pendirian pelajar terhadap perenggan tersebut. Antara penanda wacana bagi ayat penegas ialah:
- Tegasnya …
- Natijahnya …
- Ringkasnya …
- Jelasnya …
- Sesungguhnya …
- Jadi …



Ayat kesimpulan

Ayat kesimpulan dibuat untuk memperlihatkan pendirian pelajar setelah berhujah dan menghuraikan isi dengan panjang lebar. Kesimpulan yang baik perlulah meliputi kesemua pihak kerana suatu matlamat tidak akan tercapai jika setiap pihak gagal melaksanakan peranan masing-masing. Berikut merupakan antara contoh penanda wacana bagi membuat ayat kesimpulan.
- Intihanya …
- Sebagai kesimpulannya …
- Akhirul kalam …
- Bagi menutup perbicaraan ini …
- Secara rumusannya …



Ayat cadangan
Ayat cadangan dibuat untuk mengemukakan usul atau tindakan yang paling efektif dalam menyelesaikan kepincangan sedia ada. Walaupun begitu, jika soalan sudah meminta pelajar mengemukakan langkah-langkah, maka cadangan yang dikemukakan perlulah mengambil kira pelbagai faktor seperti keberkesanan, kesesuaian, holistik, penglibatan semua pihak dan sebagainya. Berikut diperturunkan beberapa ayat cadangan yang boleh digunakan.
- Oleh hal yang demikian, kita perlulah
- Sewajarnya kerajaan perlu mencari pencerahan dalam usaha …
- Tidak menjadi satu kesalahan dominan jika …
- Sudah tiba masanya ibu bapa bertindak …



Ayat harapan

Ayat harapan digunakan untuk menyampaikan emosi pelajar sebagai penulis dan perenung kepada sesebuah peristiwa dan isu. Sudah tentu sesuatu masalah mahu diselesaikan atau dihapus terus. Oleh itu, harapan itu perlulah menghala ke arah penyelesaian secara berhemah. Pelajar boleh menggunakan penanda wacana seperti di bawah ini untuk membuat ayat harapan.
- Dengan itu, diharapkan …
- Besar harapan generasi mendatang untuk …
- Kecil tapak tangan, lautan mereka hamparkan seandainya generasi kita pada hari ini dapat menyelamatkan ….



Selamat mencuba!

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. wow thanks im really weak in bm this should help me

    ReplyDelete