Sunday, September 19, 2010

PANDUAN MERUMUS PETIKAN

Merumus petikan memerlukan kecekapan yang tersendiri. Walaupun rumusan merupakan sebahagian daripada kemahiran menulis, tetapi merumus petikan memerlukan kefahaman tersendiri memandangkan soalan ini mengandungi format tersendiri.

Berikut merupakan panduan untuk merumus petikan.

1. Baca petikan sekali imbas untuk mendapatkan gambaran secara kasar.

2. Baca arahan soalan dan gariskan kehendak soalan. Frasa yang ditebalkan dahulu ialah kehendak isi tersurat manakala frasa yang ditebalkan terkemudian ialah kehendak isi tersirat.
Contoh soalan: …kepentingan sektor pelancongan dan langkah-langkah memajukan industri ini.
kepentingan sektor pelancongan – isi tersurat
langkah-langkah memajukan industri ini – isi tersirat

3. Baca petikan dengan perlahan dan kenal pasti kemudian gariskan isi-isi tersurat yang terdapat dalam petikan. Cari isi tersurat sekurang-kurangnya 6 dan biasanya terdapat 8 hingga 10 isi tersurat dalam petikan.

4. Selepas mendapat isi tersurat, pelajar perlu menukar sinonim (perkataan sama erti) bagi perkataan awal pada kehendak isi tersurat. Berikut ialah diperturunkan kehendak soalan yang biasanya dijumpai.
a. faktor – sebab, punca, penyebab
b. langkah – usaha, cara, ikhtiar, inisiatif, tindakan
c. masalah – kekangan, halangan, kesulitan, kerumitan
d. kebaikan – manfaat, kelebihan, faedah, hikmat, kepentingan
e. keburukan – kekurangan, kelemahan, kepincangan
f. kesan – impak, efek, ekoran, padah
g. tanda – ciri, gejala, simptom

5. Pelajar boleh menulis pendahuluan seperti ini:
Petikan membincangkan / memperkatakan / mengetengahkan / membicarakan / membahas … (kehendak isi tersurat).

6. Kemudian, pelajar perlu membuat perenggan kedua yang mengandungi isi tersurat, iaitu kehendak soalan. Pelajar boleh gunakan penanda wacana seperti ini:
a. Antara manfaatnya ialah …
b. Kedua, Ketiga, Keempat, Seterusnya ...
c. Selain itu ..., Di samping itu ...
d. dan, serta, juga

7. Perlu diingat, pelajar perlu membezakan isi, huraian dan contoh semasa mencari isi tersurat. Huraian dan contoh perlu diketepikan dan jangan sesekali memasukkannya ke dalam isi.

8. Sesudah itu, bagi perenggan ketiga, pelajar perlu mengemukakan sekurang-kurangnya dua isi tersirat, iaitu bagi fasa kedua dalam kehendak soalan (selepas perkataan dan). Tidak ada kunci lain bagi menjawab bahagian ini selain membanyakkan membaca.

9. Bahagian kesimpulan boleh ditulis seperti ini:
a. Kesimpulannya ……….. supaya ……………..
b. Konklusiknya ……….. agar …………..

10. Sila semak ejaan dan tatabahasa. Pastikan tiada kesalahan bagi kedua-duanya kerana markah akan dipotong jika terdapat kesalahan ejaan dan tatabahasa.

11. Kirakan bilangan patah perkataan dan tulis di sebelah kanan pada akhir rumusan.

No comments:

Post a Comment