Sunday, May 8, 2011

CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH

Ayat cakap ajuk merupakan ayat yang dikemukakan oleh pihak pertama. Ayat cakap ajuk juga dikenali sebagai ayat dialog.

a. “Kenapa awak termengah-mengah ni? Macam kena kejar anjing!” soal Tina kepada Amir.

ATAU

b. Tina : Kenapa awak termengah-mengah ni? Macam kena kejar anjing!


Ayat cakap pindah pula ialah ayat yang diujarkan oleh pihak ketiga. Biasanya, ayat cakap pindah ini berbentuk ayat penyata.

a. Tina bertanya kepada Amir sebab dia termengah-mengah seperti dikejar oleh anjing.

ATAU

b. Tina menanyai Amir sebab dia termengah-mengah seperti dikejar oleh anjing.

Ayat tersebut dianggap tidak tepat jika diujarkan seperti berikut:
Tina bertanya kepada Amir mengapa dia termengah-mengah seperti dikejar oleh anjing.


Ada beberapa perkataan yang perlu diganti apabila menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah. Perhatikan contoh di bawah ini.

Dalam cakap ajuk...................Dalam cakap pindah
di sini.......................................di sana
mengapa/kenapa..................sebab
kamu.......................................dia
apa...........................................perkara
aku..........................................dia (nama penutur)
bagaimana..............................cara
kami........................................mereka
berapa.....................................jumlah/bilangan
ini.............................................itu
siapa........................................orang
bila...........................................masa/tarikh
di mana/mana........................tempat/arah
oh.............................................dengan perasaan hairan
aduh.........................................sambil mengerang kesakitan
eh.............................................penuh hairan
cis.............................................dengan marah
jangan......................................melarang/menegah
sila masuk...............................menjemput masuk
nak...........................................hendak
tak............................................tidak
dah...........................................sudah
mak..........................................emak/ibu
mau..........................................mahu
jom...........................................mengajak

Baca dengan teliti dialog antara dua orang rakan dan kemudian tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud serta struktur asalnya.

Asmah : Kejadian tanah runtuh makin menjadi-jadi sekarang ni.
Saleha : Mana taknya, pokok di cerun tinggi dah habis ditebang.
Asmah : Betul. Bila hari hujan, tanah itu menjadi lemah kerana tak ada akar mencengkam.
Saleha : Kesannya, kita juga yang menanggung. Orang lain yang buat, kita yang tanggung.

Asmah menyatakan bahawa kejadian tanah runtuh semakin kerap berlaku pada masa kini. Saleha menambah kejadian itu didorong oleh penebangan pokok di cerun tinggi. Asmah bersetuju dengan pendapat Saleha. Dia turut menyatakan bahawa apabila hari hujan, tanah tersebut menjadi lemah kerana tiada akar pokok yang mencengkam tanah. Saleha menyatakan bahawa kesannya akan ditanggung oleh masyarakat juga. Dia yang tidak berpuas hati menyatakan bahawa orang lain yang punya angkara, masyarakat juga yang perlu menanggungnya.

1 comment:

  1. assalaam. cikgu, macam mana pula nak tukarkan ucapan "selamat petang" dalam cakap pindah ?

    ReplyDelete