Tuesday, July 12, 2011

KARANGAN ULASAN BUKU : TUMBUH DI TENGAH BADAI

Anda telah memenangi sayembara menulis esei yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Antara hadiahnya ialah sebuah novel. Setelah membaca novel itu, anda ingin mengulasnya untuk disiarkan di papan kenyataan sekolah.
Ulaskan novel yang telah anda baca itu.


.......‘Tumbuh di Tengah Badai’ begitulah judul novel yang dikarang oleh novelis Indonesia, Herniwatty Moechiam. Melalui tajuknya saja telah menggendong seribu satu makna tersirat. Menyelak halaman pertama daripada 237 halaman kesemuanya membuatkan pembaca akan benar-benar disuntik kesegaran melalui bait-bait bahasa yang disusun sebegitu segar. Novel ini telah diterbitkan oleh PTS Litera yang diadaptasikan daripada cebisan kisah benar. Dengan menggabungkan tiga foto, iaitu seorang lelaki sedang memegang biola, seorang ibu tua dan sawah padi yang berbumbungkan langit kelabu, ternyata sudah menyelak sedikit demi sedikit rahsia intipati novel ini.

.......Benar seperti kata pengarang lewat pengenalan novel ini: Hidup ini sebenarnya memberikan banyak pilihan…. Novel ini juga menyingkap pengorbanan dan manifestasi kesabaran seorang ibu yang terpaksa berhadapan dengan anak keempatnya, Catra yang menghidapi penyakit disfungsi minimal otak yang akhirnya menyebabkan pertumbuhan mental anaknya itu tidak seperti anak-anak yang sebaya dengannya. Berhadapan dengan Wim, suami yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya tidak sempurna, cukup memeritkan. Hari-hari yang ditempuh bagaikan melalui bara yang membakar telapak kaki.
.

......Disebabkan sikap panas baran Wim, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai setelah masing-masing tidak lagi semesra sebelum Catra dilahirkan. Keperitan yang dilalui oleh seorang ibu tunggal lebih terserlah apabila terpaksa memperjudikan nasib dan keadaan untuk membesarkan keempat-empat anak yang masih kecil. Walaupun begitu, dengan berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, akhirnya Catra membesar sebagai seorang manusia, yang memiliki bakat semula jadi bermain biola. Malahan, Catra mampu belajar dan mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan sehingga dapat menyambungkan pengajian di pusat pengajian tinggi dalam bidang sastera.

.......Novel bercirikan Islamik ini mengangkat ketabahan seorang wanita dalam mengharungi kehidupan dengan dihujani badai dan gerimis ujian Allah. Hal ini ditonjolkan melalui perwatakan Aku (ibu Catra) yang dilihat begitu kuat menggenggam amanah Tuhan. Semasa suaminya, Wim cuba meloloskan diri daripada tanggungjawab dan tidak mahu bercerminkan kenyataan, Aku mengggumpul sejuta kekuatan untuk menjaga Catra yang cacat dan memerlukan perhatian yang lebih berbanding Yann dan Tantri. Catur Putra yang meninggal dalam kandungannya tidak pula sempat melihat dunia yang fatamorgana ini. Persoalan dalam novel ini begitu besar, antaranya ketidakmampuan untuk berhadapan dengan kenyataan, seperti watak Wim yang tidak mampu menelan kenyataan bahawa Catra tidak dapat membesar seperti Yann dan Tantri.

.......Selain itu, terdapat juga persoalan tentang hubungan manusia dengan Pencipta. Mungkin pembaca sejak awal pembacaan bertanya-tanya: Mengapa Aku begitu sabar mengasuh dan mendidik anak yang tidak sempurna itu? Walaupun Catra begitu ruwet untuk dijaga, bahkan membuatkan diri Aku terkongkong kerana Catra tidak boleh berhadapan dengan bunyi bising seperti di pasar raya? Jawapannya sederhana, kerana dia percaya bahawa Allah sedang menguji dirinya. Oleh sebab itulah, Aku tidak sesekali pernah mengalah sebaliknya mengumpul sejuta ketabahan untuk berhadapan dengan ujian maha hebat itu.

.......Walaupun novel ini dibina plotnya secara tidak kronologi, iaitu tidak mengikut susunan, namun pemahaman pembaca terhadap jalan ceritanya masih baik. Kesinambungan antara bab begitu signifikan kerana pergerakan plot berjalan secara sistematik. Unsur suspens, kejutan, imbas kembali dan sebagainya membuatkan pembaca tidak berasa bosan untuk menikmati karya ini sehingga selesai. Jalinan teknik plot yang pelbagai, serta tempo jalan cerita yang sesekali dipercepat membuatkan novel ini berada di kedudukan yang tersendiri. Konflik yang ditimbulkan dalam diri Aku juga antara Aku dengan persekitarannya dalam keadaan yang tidak diduga memberi kesan yang baik. Misalnya, Aku akhirnya berbaik dengan Wim setelah hubungan mereka berantakan angkara Catra tanpa disangka-sangka.

.......Keistimewaan novel ini juga dilihat daripada segi watak dan perwatakannya. Pada hemat saya, kelebihan penulis sebagai seorang wanita telah memberikan ‘jiwa’ kepada watak Aku yang juga seorang ibu. Kata Bhiku Parekh, jiwa perempuan hanya mampu diselami oleh golongan itu. Membaca novel ini, saya membenarkan kata-kata itu. Masakan tidak, diranjau oleh cabaran membesarkan anak yang tidak boleh bertutur dengan sempurna, selain sifatnya yang dianggap aneh, mampu digalas oleh watak Aku dengan begitu cemerlang. Sesungguhnya, jiwa Herniwatty Moechiam telah meresap dalam setiap perilaku Aku sehingga dapat dihidu oleh pembaca.

.......Satu hal yang saya begitu terkesan ketika membaca novel ini ialah ekspresi bahasanya. Walaupun novel ini merupakan terjemahan daripada bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia, ketulenan gaya bahasa yang membuai perasaan langsung tidak berubah. Penggunaan metafora dan persoanfikasi yang segar membuatkan novel ini cukup enak untuk dihadam. Tambahan pula, novel yang dipenuhi ungkapan berbunga dan berfalsafah membuatkan karya ini begitu istimewa. Tidak percaya? Nikmati petikan kata-kata ini: “Tuhan memberkati kami dengan memberikan hadiah istimewa-Nya. Namun, hamparan langit yang kuning menjingga berubah warna menjadi merah darah sebelum memekat dan bercampur warna kelabu. Nah, bukankah bait-bait itu begitu mempesona?”.

.......Dalam novel ini, terlalu banyak nilai dan pengajaran yang boleh dikutip oleh pembaca. Novel pembangunan rohani ini sesuai dijadikan bahan bacaan terapi minda, khususnya bagi golongan yang hampir putus asa dengan keadaan anak yang dilahirkan cacat sejak lahir. Pembaca harus meneladani sikap Aku yang tidak pernah menyerah dengan keadaan, sebaliknya sering memanjatkan doa kepada Allah supaya memberi kekuatan kepadanya menghadapi segala ketentuan. Seawal pembacaan, khalayak sudah dihidangkan dengan unsur didaktik yang menggunung, iaitu kepercayaan Aku kepada takdir Tuhan.

......Akhirul kalam, novel ini sememangnya sesuai dijadikan bahan bacaan oleh semua peringkat umur. Novel ini secara implisit memberi peringatan kepada kita bahawa tidak semua kekurangan yang kita nampak pada mata kasar itu adalah tidak baik. Dalam menelusuri kehidupan, sewajarnya kita mencontohi sikap Aku yang bersabar dalam keadaan apa sekalipun. Ingatlah, Allah tidak pernah menguji makhluk-Nya melebihi kemampuan makhluk itu sendiri. Tiada kata yang paling sesuai untuk dikongsi melainkan, silalah baca dan nikmatilah setiap bait di dalamnya.

1 comment: